Pages

Wednesday, May 4, 2016

Kursus Profesionalisme Perguruan


Tajuk   :   Catatan Pengalaman

 Teks   :    Rasidah bt Sarmani

 Entri    9

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah.

"Pengalaman merupakan universiti kehidupan yang melahirkan graduan-graduan cemerlang kelas pertama di pentas dunia." - Penulis

Semasa cuti penggal ketiga yang lalu,saya telah turut serta dalam program tahunan yang dianjurkan oleh pihak sekolah iaitu Kursus Profesionalisme Perguruan yang diadakan di salah sebuah hotel di Negeri Sembilan selama tiga hari dua malam. Tujuan program ini diadakan adalah untuk menyuntik semangat baru kepada guru-guru di samping menambah nilai kualiti pengajaran dan pemelajaran guru.

   Setelah mendaftar, kami menuju ke medan selera untuk bersarapan. Sementara menanti program , bermula, kami berbual-bual sambil meneliti jadual perjalanan program. Saya dapati program yang disusun atur sangat padat dan menuntut komitmen penuh guru-guru. Tepat pukul 10.30 pagi,peserta program telah berada di dewan kuliah yang disediakan untuk mendengar sesi taklimat yang disampaikan oleh Encik Azmi selaku pengarah program. Encik Azmi memberi penekanan agar peserta program akan sentiasa akur kepada masa sepanjang program berjalan. Setengah jam kemudian,slot 1 bermula dengan mengetengahkan seorang penceramah iaitu Puan Hajah Tengku Azua. Beliau merupakan mantan Pengetua Cemerlang di Kolej Tengku Kursiah. Bertugas dalam profesion perguruan lebih daripada tiga puluh tahun. Walaupun telah bersara, beliau masih menabur bakti dalam dunia pendidikan dan menjawat jawatan yang penting dalam menaik taraf bidang pendidikan di negara kita.Beliau telah mendapat pelbagai pengiktirafan antaranya sebagai Pengetua Cemerlang. Meskipun telah dimakan usia namun penampilan beliau sangat berkarisma dan sentiasa bersemangat semasa berkongsi kejayaan beliau dengan kami.

   Ceramah dan perkongsian yang disampaikan sangat menyentuh hati nubari kami sebagai guru-guru yang masih mentah dengan pengalaman.Pn.Hajah Tengku Azua menyenaraikan beberapa tips untuk tersenarai sebagai pendidik cemerlang iaitu guru hendaklah membetulkan niat mengajar semata-mata kerana Allah. Jangan sekali-kali terlintas dalam hati kerja sebagai guru untuk mendapat gaji lebih atau untuk mendapat nama di sisi masyarakat. Setelah niat dibetulkan barulah kita dapat bekerja dengan ikhlas dan bertanggungjawab..Seterusnya,Tengku Azua jua menggariskan kepentingan mencari ilmu. Guru hendaklah rajin menuntut ilmu dari pelbagai sumber sama ada secara formal mahupun tidak formal. Dengan ini kita akan berasa lebih yakin dan berani untuk melakukan inovasi semasa mendidik anak murid. Di samping itu,guru juga perlu ada perasaan simpati dan empati kepada anak didik. Sensitif pada setiap perubahan tingkah laku murid-murid dan berusaha untuk membantu sekiranya mereka mengalami masalah.

    Kami juga amat bertuah kerana Pn.Hajah Tengku Azua sudi berkongsi pengalaman semasa beliau menjadi pengetua di Kolej Tengku Kursiah. Sungguh pun murid-murid di sini rata-ratanya terdiri daripada insan cemerlang namun kejayaan mereka banyak dijana oleh guru-guru dan pengetua. Pn.Hajah memainkan peranan sebagai ibu kepada anak-anak muridnya dengan mengambil berat setiap apa jua yang berlaku. Sakit pening,suka duka mereka sentiasa di  bawah perhatian dan pengawasan beliau.Pn.Hajah Tengku Azua juga  tiidak berasa canggung untuk sama-sama makan dan berbual-bual dengan murid-muridnya di medan selera kerana bagi beliau ular menyusul akar tidak akan hilang bisanya. Keikhlasan dan ketelusan sikap beliau memang banyak memberi inspirasi kepada saya yang kini berazam untuk menjadi pendidik yang berkebolehan. Buat pendidik di luar sana,ingatlah kerjaya sebagai guru amat mulia di sisi Islam. Dengan ini,kita janganlah mencemarkan kedudukan guru pada mata masyarakat dengan sikap lepas tangan atau mengajar sambil lewa Ingatlah kejayaan atau kegagalan anak didik banyak dicorakkan oleh golongan pendidik.

         Dialah pemberi paling setia
         Tiap akar ilmu miliknya
         Pelita dan lampu segala
         Untuk manusia sebelum menjadi dewasa

                                                                                 (Guru oh Guru, Usman Awang)

No comments:

Post a Comment