Pages

Sunday, May 29, 2016

Damainya Anak-anak Syurga.


Tajuk    :   Catatan Harian

Teks     :   Rasidah bt Sarmani

Entri     19

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah.

Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih(fitrah)ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkan sama ada menjadi Yahudi,Nasrani dan Majusi. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hebatnya seorang pemimpin kerana pengikutnya,hebatnya seorang majikan kerana pekerjanya,hebatnya seorang artis kerana peminatnya,hebatnya seorang suami kerana isterinya,hebatnya seorang anak kerana ibu bapanya.Tirai Persada Tahfiz Muda telah pun melabuhkan tirainya dengan jayanya. Kita juga telah mengetahui juara program musim pertama ini iaitu Adik Mohamad Aqil Khair Mohamad Fairos,11 tahun yang  telah dinobatkan sebagai Juara Persada Tahfiz Muda 2016.Tahniah juga kepada peserta-peserta yang telah berjaya menempah tempat hingga ke minggu akhir,kalian sangat hebat dan berjaya memukau penonton dengan lantunan alunan ayat-ayat suci yang sangat indah dan penuh mukjizat.

  Saya tidak pernah tertinggal menonton program ini bermula dari minggu pertama hinggalah minggu akhir kerana rancangan ini berjaya menyuntik inspirasi untuk mendekatkan diri saya dengan Al-Quran yang mulia ini.Saya juga percaya program penuh barakah ini berjaya meninggalkan impak kepada masyarakat di luar sana.Syabas kepada produksi Astro Oasis yang berjaya mencetuskan fenomena terbaik kepada umat Islam di Malaysia yang dahagakan rancangan yang mendidik jiwa.Kebimbangan saya terhadap tandusnya rancangan bercorak ilmu mulai surut dengan adanya rancangan sebegini.Diharapkan saluran televisyen yang lain turut mengambil kira untuk menerbitkan rancangan yang positif untuk dihidangkan kepada penonton di samping mendapat keuntungan duniawi.

  Saya amat terkesan melihat anak-anak syurga yang suci dan ikhlas meletakkan Al-Quran di persada yang sangat dihormati.Diharapkan mereka ini akan menjadi ikon buat anak-anak di luar sana serta menjadi contoh kepada ibu bapa untuk melahirkan anak-anak generasi Al-Quran yang akan mendaulatkan Islam dalam kehidupan mereka.Hal ini kerana,anak-anak kini diuji dengan kecanggihan teknologi sehingga menyebabkan banyak yang leka dan tewas.Lebih membimbangkan kita apabila saban hari dipaparkan kes-kes salah laku melibatkan generasi 'pucuk pisang' yang menjadi mangsa kepada alat gadget yang menjadi sahabat mereka.Bagaimanakah nasib negara kita sekiranya generasi muda yang bakal mewarisi pemerintahan kelak tandus imannya,hilang malunya,lupa akar keturunannya dan keliru agamanya? Lantaran itu,wahai ibu bapa didiklah anak-anak kalian mengenal agamanya,mencintai Allah dan Rasul,menghormati orang tua,menyantuni yang muda mudah-mudahan lahirlah negara Malaysia yang aman makmur,sentosa dan mendapat rahmat-Nya,Insya-Allah.

   Akhir kalam, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada peserta-peserta Persada Muda Tahfiz. Syabas juga kepada ibu bapa anak-anak ini yang menjadi tulang belakang kejayaan anak-anak mereka,semoga anak-anak syurga ini  kekal mendaulatkan kalam Allah yang suci.
                                                       
                                                        Al-Quranku,sahabatku! 

No comments:

Post a Comment