Pages

Tuesday, May 24, 2016

Pemuda harapan agama.


Tajuk   :   Catatan Harian

Teks    :    Rasidah bt Sarmani

Entri   16

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah.

Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa akan datang,lihatlah generasi mudanya pada hari ini,sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemh tinggi tentunya negara akan datang merupakan sebuah negara yang aman makmur 'baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur'.Tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku - Prof. Dr. Yusuf Al Qaradhawi.


Bertemu kembali, harap semua sahabat dalam keadaan sukses dilindungi Allah SWT. Senario tentang golongan muda atau remaja sering menjadi topik yang hangat dibincangkan dan sehingga hari ini kita masih gagal mencari ramuan atau penawar untuk merawat penyakit sosial yang membarah dalam kalangan remaja.Timbul tanda tanya,mungkinkah remaja kita terlalu disogok dengan seribu bentuk kemewahan atau mungkinkah remaja kita terlalu didendang dengan khayalan hiburan hingga mereka gagal melihat sisi kebaikan dalam kehidupan muda mereka? Segala-galanya hanya dapat dirungkai oleh remaja sendiri.

   Hampir setiap hari kita sering dihidangkan dengan berita yang menggemparkan melibatkan golongan muda sama ada diuar-uarkan di media massa mahupun media cetak. Murid parah dibuli oleh rakan sekolah,mengandung luar nikah dan pembuangan bayi oleh remaja perempuan,bilangan pelajar lelaki yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah,perbuatan vandalisme dengan merosakkan harta benda awam,ragut,pembunuhan yang bermaharajalela,kegiatan sumbang mat rempit. Semua ini menyusahkan bahkan menyesakkan fikiran untuk diterjemah dalam kehidupan bermasyarakat. Sebagai warganegara yang bertanggungjawab,golongan dewasa perlu  membantu golongan muda ini untuk kembali ke pangkal jalan. Seharusnya,usia yang masih hijau,tenaga masih gagah,semangat masih membara,cita-cita masih menyala ini digunakan sepenuh jiwa untuk membela agama dan tanah air daripada dirempuh oleh budaya hedonisme. Bangkit remaja, waktu masih bersisa jangan tunggu dunia di penghujung senja baru hendak berubah.Segala-galanya sudah terlewat.

   Sejarah lalu hendaklah dijadikan sebagai panduan agar kehidupan mudamu menyemai benih bakti kepada keluarga,agama dan bangsa. Islam tidak pernah ketandusan ikon atau tokoh muda yang mempunyai jasa yang disanjung hingga ke hari ini. Usamah bin Zaid anak muda berumur 18 tahun menjadi kepercayaan Rasulullah dan Sayidina Abu Bakar apabila dipilih daripada puluhan tokoh terbilang yang lebih dewasa untuk memimpin bala tentera menyerang kerajaan Rom.Sultan Muhammad Al-Fateh berusia 21 tahun berjaya menembusi kota Konstatinopel sehingga membuka Kota Istanbul.Beliau merupakan sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera. Cukuplah dua tokoh muda tersebut sudah mewakili seribu tokoh pemuda yang mempunyai karakter yang sangat mulia dan terpuji.

   Tidak dapat dinafikan di negara kita juga ada anak muda yang menjadi harapan dan sandaran yang kukuh untuk melihat negara kita setara dengan negara maju yang lain,cuma bilangannya masih belum memuaskan. Banyak anak muda kita yang berjaya dalam pelbagai bidang sama ada dalam dunia perniagaan,pendidikan,mahupun kerja-kerja kesukarelawan. Kehebatan mereka bukan sahaja di negara kita malah cemerlang di peringkat antarabangsa. Dengan ini, kita boleh melahirkan lebih banyak Al-Fateh atau Usamah yang berperanan mengembalikan keagungan agama Islam daripada ditindas oleh orientalis Barat yang sering melihat agama kita lemah dan sudah tidak punya upaya untuk membela diri.Bangkitlah wahai anak muda tinggalkan keseronokan sementara,perkukuhkan iman,perbanyakkan ilmu di dada,semat nasihat orang tua,Insya-Allah kalian akan berjaya!

No comments:

Post a Comment