Pages

Monday, December 19, 2016

Selesai akhirnya!



Tajuk   :Catatan Harian

Teks    : Rasidah bt Sarmani

Entri   :  44

Assalamualaikum.Salam Ukhuwah.

Setiap yang bermula akan ada akhirnya.Setiap yang bertemu akan berpisah sudahnyaSetiap yang baharu akan ada lamanya.Setiap coretan nota akan bertemu penghujung kalimatnya.
Begitulah lumrah hidup ibarat rencah yang melazatkan juadah.Apa jua rancangan manusia akan mengikut takdir Yang Esa.Biarpun manis atau pahit perjuangan mesti diteruskan sehingga lidah kelu bicara,mata tertutup buat selamanya.Maka berakhirlah hayat anak Adam di muka bumi ini.

   Setelah sekian lama berpencak dalam medan penulisan,tibalah tugasan saya yang terakhir menyiapkan entri yang ke-44.Sebelum tirai dilabuhkan,sebelum sampan ditambak di tepian,sebelum pena disisipkan,izinkan saya mengimbau kembali detik-detik melahirkan entri demi entri dengan penuh kepayahan lantaran ilmu kurang di dada,pengalaman tiada berpijak di bumi nyata.Hanya mengharap kepada nasib dan ilham yang ada kalanya timbul tenggelam

   Awalan saya mula berkenalan dengan keluarga ABDR pada penghujung bulan Mac.Pada awalnya semasa membaca syarat dan tugasan yang perlu disiapkan sebelum pergi lebih jauh dalam dunia maya ini saya fikir tugasan ini tidak ada masalah  untuk dilangsaikan.Sementelah,saya guru mata pelajaran bahasa Melayu menulis menjadi kebiasaan,lebih-lebih lagi saya telah 'berehat' dari dunia perguruan pasti saya punya masa luang yang amat selesa.Itu tanggapan awal saya sebelum cabaran menyiapkan tugasan saya sambut dengan penuh rela.Tugasan pertama,saya garap dengan mudah seawal pengenalan diri begitu juga tugasan seterusnya yang disiapkan semasa semangat masih membara.Namun,hari demi hari saya mula berdikit-dikit ibarat memanjat gunung untuk menggapai ke puncak di awanan.Tulisan saya mulai suam-suam kuku,ada kalanya langsung tidak berjejak.Meskipun begitu berbekalkan sisa-sisa semangat yang ada saya usahakan juga,ibarat tidak hilang bayang dibawa kabus senja.Bukan masa yang menjadi kekangan semasa menulis tetapi keinginan untuk melahirkan karya yang luar biasa yang sering menjerat.Saya sering berangan-angan seperti penulis tersohor yang telah melahirkan karya-karya agung yang hebat.Sehingga saya berfikir akhirnya, tulislah apa sahaja walaupun biasa-biasa tetapi boleh menyampaikan mesej yang luar biasa buat pembaca.Satu lagi faktor yang melembabkan tugasan saya ialah saya tidak ada apa-apa produk atau info berkaitan dengan dunia perniagaan untuk diketengahkan.Senang kata,saya tidak ada produk untuk diperkenalkan atau dipopularkan.Itu masalah saya!

   Hingga hari ini,saya amat bersyukur sekurang-kurangnya saya telah mula berlatih menulis biarpun adakalanya saya diserang 'kebekuan berfikir' yang menjadi sindorm yang sering menyerang insan yang bergelar penulis.Berbekalkan pengamatan,pengalaman dan juga pembacaan entri yang saya siapkan sarat dengan pelbagai plot penceritaan.Sama ada berkaitan diri sendiri,isu semasa mahupun peristiwa antarabangsa.Saya beranggapan seorang penyampai juga harus menjalankan tugas atau tanggungjawab sosial untuk mengetengahkan nasib dan masalah yang menimpa saudara kita di luar sana yang berada dalam kesusahan.Saya tampilkan isu mangsa peperangan yang mengharapkan bantuan kita seperti yang berlaku di Aleppo,Syiria.Saya juga sentuh nasib bangsa Rohingya yang sedang menghadapi krisis penghapusan etnik di bumi Myanmar.Meskipun saya tidak mempunyai keberanian untuk membantu mereka di sana,sekurang-kurangnya saya dedahkan masalah mereka dalam alam maya mudah-mudahan ada pembaca yang sudi menitipkan doa kesejahteraan buat mereka.Amin!

   Saya amat berharap setelah selesai menyiapkan tugasan entri yang ke-44 ini,penulisan saya tidak akan berakhir bahkan ini hanyalah sebagai titik permulaan untuk saya teruskan berkarya dalam medium blog dan medan penulisan yang lain.Saya juga amat dahagakan komentar dan nasihat daripada sahabat-sahabat di luar sana untuk saya perbaiki kepincangan dalam penulisan saya.Saya berlapang dada untuk menerima teguran meskipun akan berbekas tetapi saya harus kuat untuk mengharung badai untuk menjadi lebih baik dan bersemangat.Jangan biarkan saya terbuai dengan kealpaan dan syok sendiri semasa menulis kerana ini bakal memusnahkan impian saya.Sebelum pamitan,ampun maaf atas keterlanjuran bicara.

Kalau ada sumur di ladang,
  Boleh kita menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
  Boleh kita berjumpa lagi.

Maafkan kami saudaraku!



Tajuk   :   Catatan Harian

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri    :   43


Assalamualaikum.Salam Maulidur Rasul.

Diriwayatkan dari Ibnu Umar berkata Rasulullah SAW bersabda,"Seorang mukmim itu adalah saudara muslim yang lain.Disebabkan itu,jangan menzalimi dan meremehkannya dan jangan pula menyakitkannya."

                                     (HR Ahmad,Bukhari dan Muslim)

Alhamdulillah,umat Islam seluruh negara dapat menyambut Maulidur Rasul dalam suasana yang harmoni dan tenteram.Keakraban setiap kaum tanpa mengira bangsa Melayu.Cina mahupun India sangat dihargai.Bahkan,pihak Jawatankuasa sambutan Maulidur Rasul turut meraikan perjuangan penggiat sastera yang berbangsa Cina iaitu Dr.Lim Swee Tin sebagai salah seorang penerima anugerah sempena majlis yang diraikan.Mudah-mudahan keamanan negara yang penuh berkat ini akan tetap berkekalan sampai bila-bila.Seluruh rakyat turut gembira menerima pemasyhuran Baginda Sultan Kelantan,Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15,baru-baru ini.Bertambah berkat dan aman bawah payung pemerintahan Baginda Al-Sultan yang terkenal sebagai raja yang mendaulatkan Islam seiring slogan "Islam Dijunjung,Rakyat Disanjung"."Raja dan Rakyat Berpisah Tiada".

   Apa khabar umat Rohingya yang sekarang ini sedang bertarung nyawa untuk menghirup udara aman di bumi Myanmar? Saban waktu kita dihidangkan oleh berita yang menyedih dan menyayukan yang tak mampu untuk kita telusuri.Betapa pilu dan sadis apabila hak dan keberadaan mereka di sana tidak pernah diiktiraf oleh kerajaan yang tidak berperikemanusiaan.Umat Rohingya dilayan seumpama haiwan selayaknya,tanpa ada sedikit pun rasa bersalah bahkan berniat menghapuskan etnik minoriti di bumi mereka sendiri.Pedulikan sisi watak angkuh Aung San Suu Kyi yang bermuka dua dalam menangani soal kemanusiaan.Meski diberikan Hadiah Nobel Keamanan sebagai pembela hak kebebasan manusiawi namun dalam hal Rohingya,beliau membisu seribu bahasa!Saat kaum Rohingya di Rakhine disembelih,dibakar hidup-hidup,wanita dirogol,masjid,rumah,gedung perniagaan dibakar oleh pasukan keselamatan Myanmar dan pelmpau Budha,di manakah kita tika itu?Sedang gelak ketawa menonton rancangan lawak jenaka yang makin bercambah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan tika saudara kita sedang disembelih.Sedang makan dengan enaknya kita di restoran-restoran mewah tika saudara kita kelaparan.Sedang nyenyak tidur kita tika saudara kita merayu hiba mohon belas kasihan kita.Betapa malunya kita kerana tidak mampu berbuat apa-apa saat saudara kita dalam kesusahan.

   Apa khabar umat Islam di Aleppo?Lewat beberapa hari tatkala menonton berita semasa terlalu sarat dengan info penderitaan yang ditanggung oleh kalian.Beberapa kali air mata dikesat menyaksikan duka lara kalian tak mampu kami selami.Maafkan kami Aleppo saat kalian dihujani peluru tak bermata,kami di sini hanya mampu mendengar dan sekadar beristigfar sahaja.Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa kami yang amat lemah iman ini saat saudara kami menderita.Sangat-sangat terharu apabila melihat umat Islam Aleppo terpaksa menjadi pelarian mohon perlindungan dari negara lain.Di manakah kita saat anak-anak kecil mereka menangis menahan kesakitan akibat terjahan peluru?Mereka tidak pernah minta untuk meninggalkan tanah air yang sedang bergolak bahkan janji mereka akan kembali suatu hari nanti di bumi kelahiran mereka biarpun negara mereka telah menjadi abu seusai peperangan.Paling terkesan pada diri saya apabila mendengar rayuan dari barisan ulama di Syria menyatakan apakah kalian sanggup membiarkan umat Islam di Aleppo menderita dan hanya memandang sahaja tanpa melakukan apa-apa untuk membantu mengurangkan penderitaan mereka."Perumpamaan orang-orang mukmin dalam berkasih sayang bagaikan satu tubuh,apabila satu anggota badan merintih kesakitan,maka sekujur badan akan merasakan panas dan demam."

                                                                                 (Hadis Riwayat : Muslim)

Maafkan kami,wahai ibu,bapa,abang,kakak,anak-anak Aleppo!Kami yang berada nun jauh di bumi permai ini tak mampu buat apa-apa sekadar merafak doa kesejahteraan kalian.Maafkan kami kerana tidak mampu berkongsi penderitaan kalian.Maafkan kami kerana tidak mampu berkongsi kesedihan kalian.Maafkan kami kerana tidak mampu berkongsi kesakitan kalian.Kami tak kuat.kami tak seberani kalian untuk melawan musuh Allah dengan senjata.Kami tak mampu menyediakan rumah buat kalian berlindung lantaran jarak yang memisahkan kita.Namun kami percaya janji Allah adalah benar,Selepas kesulitan akan datang kesenangan.Kami doakan mudah-mudahan harapan menanti sinaran mentari akan terbit segera di bumi Aleppo.Hati kami turut bersedih,hati kami turut merasa sebak,hati kami turut tertekan melihat penderitaan kalian kerana kalian saudara kami.





Monday, November 7, 2016

Aku bersyukur Ya Allah


Tajuk   :   Catatan Harian

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri  42

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah.

Sabda Rasulullah SAW,'Memberi sedekah,menyuruh kepada kebaikan,berbakti kepada ibu bapa dan menghubungkan silaturahim dapat mengubah penderitaan menjadi kebahagiaan,menambah berkat umur dan menolak kejahatan.'

                                                             (HR :Abu Naim)

Ada pendapat yang menyatakan umur hanyalah sekadar angka yang akan meningkat setahun demi setahun.Semakin bertambah umur seseorang maka akan bertambah tahap kematangan dalam kehidupan.Namun,manusia sering alpa bahawa umur yang kian meningkat mendekatkan kita dengan kematian sebagaimana janji Allah,setiap yang hidup pasti akan mati!Ada apa dengan umur?Pelbagai persepsi yang akan diberi oleh individu mengikut pemahaman masing-masing.Semua menjurus kepada nilai tambah baik kepada individu berbanding tahun lepas.Sungguhpun begitu,bukan umur yang panjang menjadi persoalan tetapi keberkatan umur menjadi matlamat utama setiap insan.Kekal dalam kasih sayang dan rahmat-Nya.Mudah-mudahan Jannah tempat akhir kita.

   Esok,buat kesekian kalinya saya akan menyambut ulang tahun kelahiran saya.Jutaan terima kasih kepada ibu saya yang telah melahirkan dan membesarkan saya sehingga saya berada pada tahap ini.Masih bernafas,masih berpeluang menghirup udara bebas,masih boleh melihat keluarga tersayang,masih diberi kesempatan untuk beribadah dan paling penting masih berada dalam dakapan Iman.Terima kasih,Allah.Kerana mentakdirkan saya lahir dalam keluarga Islam yang menzahirkan kalimah syahadah dalam kehidupan.Terima kasih,Allah.Kerana mentakdirkan saya sebagai umat junjungan Rasulullah SAW yang berpeluang mendapat syafaat baginda di akhirat kelak.Terima kasih,Allah.Kerana mentakdirkan saya lahir sebagai seorang perempuan,kaum yang dimuliakan dalam Al-Quran.Terima kasih,Allah.Kerana mentakdirkan saya sebagai warganegara Malaysia,negara yang permai,indah,kaya raya dan terhindar daripada sebarang bencana alam.Terima kasih,Ya Allah,saya bersyukur atas kurniaan-Mu yang maha luas yang tak minta dibalas.Usia yang dipinjamkan,akan saya manfaatkan sebaik-baik mungkin.Itu azam saya yang akan saya usahakan untuk direalisasikan pada tahun-tahun mendatang,Insya-Allah.

   Dari Abu Hurairah,dia berkata:Rasulullah SAW bersabda,'Tidakkah aku beritahukan kepada kamu tentang orang yang paling baik antara kamu?'Mereka (para sahabat)menjawab,"Ya,wahai Rasulullah SAW."Beliau bersabda,"Orang yang terbaik antara kamu ialah orang yang paling panjang unurnya antara kamu dan paling baik amalnya."

                                                  (HR Ahmad :Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi)

   Lantaran itu,marilah kita berlumba-lumba membuat amal kebajikan dalam hidup kita kerana hidup kita tidak lama.Usia kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW tidak panjang sebagaimana umat nabi-nabi yang lain.Namun,kita diberi kelebihan yang tidak ada pada umat yang lain.Satu amalan kebaikan yang kita lakukan akan dibalas dengan sepuluh kebaikan.Satu kesalahan yang kita lakukan akan dibalas dengan satu dosa yang setimpal.Bukankah ini merupakan formula matematik yang terbaik untuk kita yang dikurniakan usia yang singkat.Ayuh,saya seru pada diri saya dan rakan-rakan di luar sana,marilah kita segera melakukan kebaikan dan hindarkan noda kejahatan untuk mendapat rahmat dari Allah!



Doa Buatmu Aleppo !



Tajuk   :   Catatan Harian

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri   41

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah.

Rasulullah SAW bersabda,"Takutlah kamu kepada doa orang yang teraniaya kerana doa itu akan diangkat di atas awan dan Allah berfirman,"Demi keperkasaan dan keagungan-Ku,Aku pasti menolongmu walaupun setelah beberapa waktu(waktu yang cukup lama).

                                                                                       (HR Al-Thabarani dan Al-Dhiya)

Saban detik dan hari-hari yang mendatang memperlihatkan bumi Aleppo digegarkan dengan dentuman bom dan peluru tak bermata dan tak berperikemanusiaan mengakibatkan kemusnahan dan kematian insan yang tidak berdosa.Kematian itu ditangisi oleh ahli keluarga yang telah kehilangan kata-kata,telah kering air mata,Hanya yang tinggal secebis harapan yang mungkin hanya igauan entah bila mimpi siang akan  menjadi nyata. Itulah senario yang mewarnai bumi Aleppo Kedamaian,ketenangan,keselamatan telah lenyap dalam debu peperangan.Hak penduduk Aleppo telah dinafikan sepenuhnya oleh tangan rakus  yang dahagakan air mata dan darah anak-anak kecil Aleppo.

   Ada ketikanya,saya tidak mampu lagi mendengar berita kesedihan yang dilaporkan oleh pihak media.Tidak kuat untuk menahan rasa runtunan kesedihan melihat saudara seagama dibunuh dengan kejam atas dosa orang lain.Tidak terungkap kata-kata saat melihat anak-anak kecil menjadi mangsa.Tidak terlintas dalam fikiran tika melihat rakyat Syria dihujani bom klorin sehingga mendatangkan kesan yang tidak kurang dahsyat.Saya sering bertanya sendiri,apakah dosa rakyat Syria sehingga peristiwa yang di luar jangkaan berlaku di negara mereka?Apa dosa anak-anak kecil sehingga menjadi mangsa kekejaman kuasa-kuasa besar yang berebutan menunjukkan kehebatan mereka pada dunia?Apa dosa kaum wanita sehingga mereka tidak berhak mempertahankan kehormatan dan maruah suci mereka?Apa dosa?Apa dosa?Apa dosa?Dan banyak lagi persoalan yang masih belum ada jawapan yang jelas terhadap segala yang berlaku di bumi Syria ini.

   Saya ingin membawa pembaca mengenali Aleppo sebelum berlaku peperangan dan campur tangan kuasa besar,Amerika,Rusia,China,Iran,Arab Saudi !Aleppo merupakan kota kedua besar selepas Damaskus di Syria.Menurut sejarawan,kota ini merupakan kota komersial dan industri yang paling berkembang ketika zaman kemuncak kerajaan Uthamaniah selepas Konstantinople dan Cairo.Aleppo juga merupakan salah sebuah bandar tertu di dunia.Juga pernah berada di bawah kawalan panglima Islam Sallehuddin Al-Ayubi pada tahun 1183.Sedikit info ini telah menggambarkan kepada kita betapa hebatnya Aleppo yang pernah menjadi saksi kepada satu tamadun yang masyhur.Lantaran itu,peperangan bukan sahaja meragut nyawa manusia tetapi juga telah memangsakan sejarah keagungan tamadun sesebuah negara.

   Sebagai rakyat Malaysia yang berada ribuan batu dari bumi Syria yang sedang bergolak,kita memang tidak dapat berkongsi rasa tatkala saudara kita  bersedih kehilangan orang tersayang di depan mata ,kita juga tidak pernah berasa bahangnya ledakan bom yang dimuntahkan saban waktu,kita juga tidak  terbau hanyirnya percikan darah saat seisi kampung terbunuh dek peluru berpandu,kita juga tidak tahu bagaimana perasaan takut anak-anak yang ditemui dalam runtuhan rumah yang meragut nyawa keluarga tercinta,kita juga tidak dapat berkongsi rasa para doktor yang merawat mangsa dalam keadaan serba kekurangan ubat dan tenaga.Namun apa pun, jarak bukan penghalang,waktu bukan sempadan,derita bukan keseorangan.Sekadar yang kami mampu,dihulurkan meskipun sekadar sebaris doa,'Tuhan,selamatkan saudara seIslam kami yang berada di bumi Syria,berikan mereka kekuatan dalam menghadapi musuh-Mu,kurniakan mereka syurga yang kekal buat selamanya.'

Rasulullah SAW bersabda,Seorang mukmin bagi seorang mukmin itu ibarat satu binaan yang sebahagiannya menguatkan sebahagiannya dan orang Islam itu seperti satu badan jika sakit matanya sakitlah sekaliannya dan jika sakit kepalanya sakitlah sekaliannya.


Tuesday, October 11, 2016

Salam Maal Hijrah



Tajuk   :   Catatan Harian

Teks   :    Rasidah bt Sarmani

Entri  40

Assalamualaikum. Salam Maal Hijrah.


Dari Abu Hurairah RA,Rasulullah SAW bersabda,"Puasa yang paling utama setelah Ramadan ialah puasa dalam bulan Allah iaitu Muharram.Sedangkan solat yang paling utama setelah solat fardu ialah solat malam." 

                                                                            (H.R Muslim)

Sedar tak sedar kita telah pun masuk tahun baru Hijrah. Serasa baru semalam tahun 1437 kita lalui,kini menjengah pula tahun 1438.Banyak manalah amalan yang telah kita kumpul pada tahun lalu? Atau seperti selalu biarkan hari-hari berlalu sehingga azam baru kita mulai layu dan kita kembali termangu-mangu.Agaknya,situasi ini sering menghambat emosi kita setiap kali tiba tahun baru.Azam atau cita-cita tinggi melangit namun sekadar hangat-hangat tahi ayam saja.Apabila tiba tahun baru sekali lagi kita mencari ayat-ayat indah untuk disusun sebagai azam dan entah mampu atau tidak untuk direalisasikan.Wallahu'alam.

   Setahun telah pun berlalu.Cuba kita selak rentetan peristiwa yang telah kita lalui sepanjang setahun.Muhasabah diri untuk melihat kekurangan dan kekuatan yang telah mencorak kehidupan kita pada tahun lalu.Andai ada elemen-elemen indah dan memberi motivasi untuk meningkatkan motivasi diri,maka kita suburkan agar dapat menjana  hidup kita.Namun,andai momen-momen duka dan meruntunkan semangat kita eloklah dibiar dalam lipatan semalam dan jangan dikenang-kenang kerana biarkan dibawa angin lalu.Ibarat pusara tak bertanda.Pepatah hari ini adalah lebih baik dari hari semalam merupakan formula terbaik untuk melangsungkan kehidupan di muka bumi ini.Selagi kita dipinjamkan nyawa,maka seharusnya kita berusaha sekuat daya untuk menjadi yang terbaik pada setiap hari,Berusaha juga untuk menjadi insan yang bermanfaat kepada insan lain.Mudah-mudahan segala masalah dunia dapat dikurangkan asbab sikap kita yang sentiasa positif.

  Semalam adalah kenangan,hari ini adalah kenyataan,esok adalah harapan.Sebagai insan biasa,saya amat berharap pada tahun ini dapatlah saya gapai apa-apa jua impian yang saya semat dalam minda untuk direalisasikan sepanjang tahun ini.Saya sering alpa dengan masa yang Allah pinjamkan dan apabila masa itu berlalu sering diiringi oleh seribu penyesalan kerana azam yang diimpikan sering tersasar dan akhirnya saya sendiri lelah untuk mengejar waktu yang berlalu.Setiap tahun yang bertambah merupakan bukti dunia sudah semakin tua,kita sebagai manusia juga semakin hampir dengan ketentuan Allah untuk menyambut panggilan-Nya.Namun, ilmu masih kering,amal masih kontang mampukah kita bersenang-senang tika tidur kita yang panjang di alam Barzakh?Persediaan kita bagaimana?Insaf dengan 'pemergian'insan-insan terpilih,seluruh kehidupan mereka telah diinfaqkan untuk agama dan pengakhiran hayat juga dalam keadaan Allah redha dan meredhai.Di dunia mereka sibuk dengan kerja-kerja Allah menyampaikan risalah sehingga waktu untuk beristirahat tidak ada dalam kamus hidup mereka.Namun, tiba saat kematian mereka direhatkan oleh Allah dengan setenang-tenangnya di dalam hamparan pusara yang luas dan nyaman.Berehatlah wahai sang murrabi,Insya-Allah kami akan menyusul kemudian.(Rafaq doa buat Tuan Guru Dato Hj Haron Din yang telah kembali ke rahmatullah)

   Harapan saya mudah-mudahan tahun 1438 Hijrah akan membawa sinar gemilang buat rakyat dan negara Malaysia yang tercinta.Bertambah makmur dan aman damai dari segala musibah mahupun sengketa.Mudah-mudahan, negara yang bertuah tempat kita menumpang hidup ini bertambah keberkatan dan kasih-sayang dari-Nya.Jangan ada sebarang onar yang boleh menggugat kesejahteraan dan keharmonian bangsanya yang hidup berbilang kaum.

'Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.'

                                                                                              (QS : (13) : 11)

 

 








Hang Tuah Catatan Okinawa


Tajuk   :   Ulasan Buku

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri   39

Assalamualaikum.Salam Ukhuwah.


'Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptanya.Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.Bacalah dan Tuhanmu yang paling mulia yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam.Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (manusia tersebut).'

                                                                                  (Al-Alaq :1-5)

  Membaca ibarat membuka jendela dunia,segala yang terkandung dalam bahan bacaan dapat menterjemahkan kehidupan dan masa depan.Membaca juga dapat mendidik insan yang berkarisma dan berbudi pekerti mulia.Lantaran apa yang dibaca oleh seseorang menggambarkan mentaliti dan tahap berfikir seseorang.Oleh itu,setiap individu harus mempunyai pertimbangan dalam memilih bahan bacaan agar dapat meningkatkan kualiti berfikir dan bertindak.


   Sehubungan dengan itu juga,saya berminat untuk berkongsi info berhubung sebuah buku yang telah saya hadam baru-baru ini iaitu buku yang berjudul 'Hang Tuah Catatan Okinawa'. Mudah-mudahan perkongsian ilmu ini dapat menyuntik semangat cinta akan tanah air yang pernah membina tamadun yang disegani oleh dunia luar.Buku yang dihasilkan merupakan penyelidikan gigih dua pensyarah UPM iaitu Profesor Emeritus Dr Hassan Musa dan Dr Rohaidah Kamaruddin.Saya berani menyatakan bahawa buku ini telah berjaya menyelongkar khazanah sejarah tanah air yang selama ini tidak diketahui oleh rakyat Malaysia sungguhpun telah berlaku lebih 500 tahun dahulu.Buku ini juga berjaya membuktikan kewujudan Laksamana Hang Tuah dalam alam Melayu pada kurun ke-15,sekurang-kurangnya telah merungkai kesangsian sesetengah pihak yang menyatakan Hang Tuah hanya mitos dan dongeng dalam cerita lisan yang disampaikan oleh nenek moyang kita memandangkan belum ada satu sumber sejarah yang boleh membuktikan kebenaran ini. .Saya juga amat-amat berharap bingkisan dua pensyarah yang gigih ini dapat menyemai jati diri dan keyakinan anak muda untuk memelihara kedaulatan negara keramat ini daripada diganggu gugat oleh musuh negara.Semoga usaha pengarang buku ini akan menjadi pemberat timbangan amalan di akhirat kelak.Amin.

   Sesungguhnya,saya tidak berhasrat membedah buku ini secara terlalu ilmiah memandangkan ilmu saya amat sedikit dalam hal ini,cuma saya ingin berkongsi apa yang saya baca,berkongsi apa yang saya rasa selebihnya pembaca boleh menelaah buku ini secara lebih terperinci dan tuntas.Pengarang buku telah mengesahkan kewujudan Hang Tuah dalam sejarah melalui sumber primer dalam bentuk catatan mahupun artifak yang sezaman dengan Hang Tuah.Dahulu,kerajaan Ryukyu(Okinawa) telah menjalin hubungan perdagangan dan diplomasi dengan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.Oleh itu hubungan tersebut dipereratkan dengan utusan surat dari kedua-dua pihak antaranya tiga pucuk surat yang diutus oleh Laksamana Hang Tuah bagi pihak Sultan Alauddin Riayat Shah kepada Raja Ryukyu(Okinawa).Surat-surat tersebut boleh didapati di dalam buku karya pengkaji Jepun,Atsushi Kobata dan Mitsugu Matsuda dalam penerbitan tahun 1969 bertajuk Ryukyuan Relations with Korea and South Sea Countries.Kewujudan Hang Tuah dalam dunia Melayu juga boleh dibuktikan melalui tiga dokumen atau karya tempatan iaitu Hikayat Hang Tuah,Sulalatus Salatin(Sejarah Melayu) dan Tuhfat al-Nafis.

   Satu lagi dokumen asing primer telah membuktikan kewujudan Hang Tuah melalui catatan asal dalam bahasa Portugis oleh Alfonso Dalboquerque pada tahun 1576.Alfonso telah menyebut tentang Hang Tuah yang berada di Singapura selepas kejatuhan Melaka kepada Portugis.

"Semasa Alfonso belayar ke India selepas menakluki Melaka(1511) telah tiba dua buah kapal(Ryukyu) di pintu masuk Singapura,dan mereka sedang menuju ke Melaka,namun atas nasihat Laksamana iaitu Ketua Tentera Laut Melaka,mereka tetap berlabuh di situ dan tidak akan bergerak setelah mendapat tahu Melaka telah jatuh ke tangan Portugis........ Laksamana ini seorang yang berumur 80 tahun,perwira yang handal dan mempunyai reputusi yang baik dan ilmu yang tinggi.Apabila beliau mengetahui bahawa Raja Melaka telah kalah,beliau telah pergi ke Singapura dan bermukim di situ ......"Rata-rata ahli sejarah menyatakan bahawa Laksamana tersebut merupakan Hang Tuah memandangkan ketika kejatuhan Melaka,beliau berusia 80 tahun.

   Berdasarkan kepada dua bukti sumber primer ini telah mengukuhkan kewujudan manusia yang bergelar Hang Tuah di bumi Melayu.Bagi golongan muda pada zaman moden ini mungkin tidak mengenali sosok tubuh karakter yang sedang dibincangkan ini dan apakah relevannya kepada sejarah Melayu.Saya berminat memetik satu ungkapan yang dizahirkan oleh Muhammad Hj Salleh mengenai kecemerlangan sifat Hang Tuah iaitu:

Beliau(Hang Tuah) ialah manusia setiawan,peka,tidak mementingkan diri,sedia berkorban,sopan dan suka berkongsi kejayaan,tiada bandingnya pada zaman itu,dan tidak banyak karya sastera lain yang menyimpan manusia sebaiknya.Inilah bayangan manusia besar dalam dunia besar kurun 14 atau 15.Bersamanya pengarang mengirimkan hasrat bangsa Melayu bahawa Hang Tuah menghuni dan menyerlah dalam dunia yang lebih besar dan orang Melayu memakai bukan sahaja wajah terhormat tetapi juga pintar,berkebolehan,menguasai persoalan di mana pun dia berada,berilmu - mengenali budaya dan bangsa yang dikunjunginya secara akrab.(Muhammad Haji Salleh,2003:4)

    Usaha dan kerja keras pengarang buku ini dalam memartabatkan Laksamana Hang Tuah sebagai ikon atau adiwara masyarakat Melayu sangat dialu-alukan.Dalam situasi yang semakin gawat dengan tergadainya nilai atau moral apabila banyak individu penting dalam masyarakat terlibat dalam jenayah berprofil tinggi,tahap integriti tercalar dan maruah tidak lagi dipelihara maka kita perlu melakukan satu anjakan yang positif.Tidak salah sekiranya kewibawaan dan kredibiliti Hang Tuah kita angkat sebagai mentor untuk melahirkan pemimpin yang disegani,pemimpin yang dihormati.pemimpin yang dihargai oleh kawan dan lawan.Dengan ini,tidak mustahil satu hari nanti negara kita akan bangkit sebagai kuasa besar dunia sebagaimana pernah berlaku kepada Melaka.Bukan setakat sebagai pusat perdagangan antarabangsa bahkan mekarnya budaya keilmuan dan menjadi negara suri teladan dalam mentadbir urus manusia dan alam.

   Usaha kedua-dua pengarang dalam mengangkat karya bercorak sejarah bangsa harus mendapat sokongan semua pihak.Juga diharapkan lebih banyak lagi penulis-penulis tanah air dapat melahirkan buku-buku yang seumpama ini agar Malaysia tidak ketandusan barisan pemuda yang mempunyai jati diri dan keyakinan yang tinggi terhadap budaya dan sejarah bangsa sendiri.

 
 

 






Friday, September 9, 2016

Kembara Suci



Tajuk   :   Catatan Harian

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri    38

Assalamualaikum.Salam Aidiladha.

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji,nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai-bagai jalan(dan ceruk rantau) yang jauh."

                                                                   (Surah Al-Hajj:27)

Saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat menunaikan ibadah Haji kepada tetamu Allah yang telah dijemput untuk mengunjungi tanah suci lagi barakah,Mekah dan Madinah.Semoga mereka dikurniakan kesihatan yang baik dan semangat yang kental agar dapat menjalani ibadah Rukun Islam yang kelima ini dengan sempurna serta direzekikan mendapat ganjaran Haji Mabrur,Insya-Allah.
Labbaika Allahhuma labbaika,labbaika la syarikalaka labbaika...... bergetar hati saat mendengar talbiyah suci dilafazkan oleh jemaah haji.Serasa sayu lalu berlinang air mata syahdu,berguguran tiada kata-kata yang dapat diungkap.Tuhanku kaki ini tidak mampu melangkah ke rumah suci-Mu.Hanya dapat kurafakkan doa kudus,"Tuhan,jemputlah aku ke sana,aku ingin menjejakkan kakiku ke Baitullah-Mu,aku rindu untuk menziarahi makam kekasih-Mu,Rasulullah SAW,rindu juga untuk menziarahi makam insan-insan mulia para sahabat mahupun sahabiah di perkuburan Baqi, Bukit Uhud ." Itulah ucapan yang sering saya pasak dalam hati ketika menonton rancangan yang memaparkan keberadaan dhuraturahman di Masjidil Haram mahupun Madinah Al-Munawarah.

   Rasa keterujaan saya melihat ribuan jemaah haji yang dijemput ke Baitullah,apatah lagi apabila melihat jemaah yang masih muda belia mendapat rezeki menjadi tetamu Allah.Betapa beruntungnya mereka dijemput tika tubuh masih kuat,tenaga masih banyak,semangat masih membara.Dalam hati sering berkata-kata,'Bilakah giliran aku tiba untuk menjejakkan kaki ke tanah Haramain yang mulia ini?'Hanya mampu berdoa dan berdoa dengan bersungguh-sungguh agar satu hari nanti saya akan melakukan kembara suci ke kota yang mulia,Mekah dan Madinah.Amin ya Rabbi Aalamin.

    Sedikit perkongsian mengenai sejarah ibadah Haji yang telah bermula semenjak zaman Nabi Adam AS lagi.Allah telah memerintahkan agar dibangunkan Kaabah yang pertama.Kemudian,Kaabah yang dibina itu telah musnah semasa berlakunya banjir besar tika zaman Nabi Nuh AS.Seterusnya,sekali lagi Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS membangunkan semula Kaabah sehinggalah akhirnya sejarah Kaabah berterusan dibebaskan oleh Nabi Muhammad SAW semasa peristiwa Fathu Makkah(pembebasan Kota Mekah)yang berlaku dalam bulan Ramadan,tahun ke-8 hijrah.Semenjak hari itu, Mekah bersih daripada sebarang kegiatan penyembahan berhala oleh masyarakat jahiliyah Quraisy dan sehingga hari ini menjadi tempat utama berkumpulnya seluruh umat Islam seluruh dunia untuk mengerjakan ibadat Haji.Allah telah memuliakan Kaabah yang terletak di Mekah sebagai lokasi yang sangat istimewa sebagai mana dalam firman-Nya:

"Allah telah menjadikan Kaabah,rumah suci itu sebagai pusat bagi manusia."

                                                              (Surah Al-Maa'idah : 97)

Hal ini turut dibincangkan dalam kebanyakan hadis bahawa sesungguhnya masjidil Haram di Mekah tempat Kaabah berada itu ada di tengah-tengah tujuh lapisan langit dan tujuh lapisan yang membentuk bumi.Lantaran itu,sudah sewajarnya,Masjidil Haram menjadi pusat perhimpunan solidariti jutaan umat Islam seluruh dunia tanpa mengira  bangsawan,masyarakat marhaen,kaya,miskin,tua,muda,sempurna atau OKU.Semuanya sama di sisi Allah SWT,hanya yang membezakan ialah taqwa dan keikhlasan hamba-Nya.

   Tinggal satu hari lagi akan tiba hari Wukuf iaitu jemaah Haji akan berwukuf di Arafah mulai siang hari 9 Zulhijjah dan sebahagian dari malam 10 Zulhijjah.Keutamaan Hari Wukuf dinyatakan oleh Rasulullah,'Tiada hari yang lebih disukai Allah dalam melaksanakan amalan soleh daripada hari-hari ini,iaitu 10 hari pada Zulhijjah." Berwukuf juga merupakan kemuncak ibadah Haji dan sesiapa yang gagal melaksanakan ibadah ini maka terbatal Hajinya.Berwukuf di Padang Arafah mengingatkan kita sejarah awal kehadiran pertama manusia di muka bumi ini iaitu Nabi Adam dan Hawa,tempat pertemuan kedua-dua insan ini setelah beratus-ratus tahun berpisah sejak dikeluarkan dari syurga.Perhimpunan lautan manusia di Padang Arafah yang panas terik ini juga merupakan
manifestasi perkumpulan manusia di Padang Mahsyar kelak.

   Semoga kembara suci para jemaah Haji dari seluruh dunia menuju ke rumah Allah akan diberkati.Perjalanan jauh mereka merentasi benua,mengharungi lautan luas,membelah ruang udara mahupun perjalanan daratan yang panjang,terpaksa meninggalkan keluarga tercinta di tanah air akan diganjari Haji Mabrur.Janji Allah kepada mereka yang mendapat Haji Mabrur ialah syurga yang kekal abadi.Di sanalah tempat kembali kita yang kekal buat selamanya.Amin.


Daku datang memenuhi panggilan-Mu.Ya Allah! Daku datang memenuhi panggilan-Mu.Daku datang memenuhi panggilan-Mu.Tiada sekutu bagi-Mu.Daku datang memenuhi panggilan-Mu.Sesungguhnya segala puji dan nikmat serta kekuasaan adalah milik-Mu.Tiada sekutu bagi-Mu.



Wednesday, September 7, 2016

Moga Berjaya di Dunia dan Akhirat !


Tajuk   :   Catatan Harian

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri   37

Assalamualaikum. Salam Peperiksaan.

"Mulakan pagimu sebagai seorang guru atau pelajar atau pendengar atau orang yang cinta akan ilmu.Janganlah jadi orang yang kelima,kelak kamu akan binasa."

                                                                                       (HR Tabrani)


Hari ini adik-adik kita yang belajar dalam tahun enam telah selesai menjalani peperiksaan UPSR.Pasti timbul pelbagai perasaan yang berwarna-warni,sama ada takut,bimbang,atau teruja semasa menjawab soalan peperiksaan.Yang pasti sekiranya adik-adik telah membuat persediaan awal tidak ada sebarang masalah atau kegusaran untuk memasuki dewan peperiksaanBegitu juga dengan ibu bapa dan para guru penuh yakin akan semangat dan keupayaan anak-anak mereka untuk maju setapak lagi dalam usia semuda 12 tahun.Saya turut doakan agar semua murid yang menduduki peperiksaan ini akan dipermudahkan menjawab soalan.,Diberikan ketenangan agar dapat melalui situasi tegang ini dengan selesa dan tawakkal kepada Allah setelah berusaha dengan gigih. Insya-Allah.

   Rasanya tidak perlulah saya nak selitkan tips atau teknik menghadapi peperiksaan kerana segala info telah diperingatkan oleh guru masing-masing.Dan info tersebut telah  pun dihadamkan dan diterjemahkan dalam dewan peperiksaan.Cuma saya berminat berkongsi idea sungguhpun tidak setinggi manapun ilmu di dada tetapi saya ingat sebuah hadis ada menyatakan 'Sampaikan dariku walaupun satu ayat.'Adik-adik,hari pertama peperiksaan yang dilalui bukan bermakna gendang peperangan mula dipalu.Detik akhir peperiksaan pula bukan bermakna bendera kemenangan telah dikibar dengan penuh bangga.Bahkan,adik-adik harus ingat peperiksaan itu merupakan persediaan sebelum,semasa dan sesudah detik waktu peperiksaan sebagai kunci kejayaan.Hal ini saya susunkan dalam bentuk aksara UPSR itu sendiri.


                                                        U   .   P   .   S   .   R

                                U

Usaha,rata-rata calon peperiksaan akan mula langkah pertama dengan usaha untuk memastikan persediaan kalian mantap dan menyakinkan.Usaha itu tidak dapat dikira dengan banyaknya hari belajar tetapi konsistannya kerja keras kalian sebagai perisai untuk menghadapi apa sahaja cabaran dan halangan sebelum tiba saat yang amat getir dalam dewan peperiksaan.Guru-guru dan ibu bapa sudah semestinya berganding bahu membantu supaya adik-adik tidak putus asa untuk berusaha.
                               
                             P
 Penentuan,setelah bertahun-tahun,berbulan-bulan,berminggu-minggu,berhari-hari maka tibalah hari penentuan iaitu peperiksaan.Saat ini apa jua usaha yang telah dilakukan akan diaplikasikan sebaik mungkin semasa menjawab soalan.Adik-adik hanya perlu tenang,ingat semula segala nasihat serta ajaran guru sebagai bekalan menjawab soalan.Ibu bapa iringi doa agar anak-anak mereka berjaya menjalani peperiksaan dengan baik. Ingat adik-adik peperiksaan ini hanyalah langkah pertama sebelum adik-adik mendepani kehidupan yang lebih mencabar.

                            S

 Solat, setelah selesai menjalani peperiksaan adik-adik jangan mudah berasa puas hati atau terlalu yakin terhadap soalan yang dijawab.Banyakkan solat dan doa mudah-mudahan keputusan yang akan diumumkan kelak memuaskan semua pihak.Kuasa solat atau doa amat besar pengaruhnya kepada qada dan qadar seseorang.Setelah berusaha dengan sebaik-baiknya maka adik-adik serahkan sahaja kepada takdir setelah berusaha dan bertawakkal kepada Allah,

          "Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.Sesungguhnya orang-orang yang sombong dan takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku Aku masukkan mereka ke dalam neraka Jahanam dalam keadaan hina."

                                                                   (Surah Al-Ghafir:ayat 60)
                          R

Redha-terimalah apa jua yang telah ditentukan oleh-Nya.Mungkin di sebalik kesulitan itu ada hikmah yang kita tidak tahu.Adik-adik apabila keputusan UPSR diumumkan kelak,apa jua yang kalian peroleh redha dan terima dengan hati yang terbuka.Jangan ada sebarang prasangka terhadap perancangan Allah.Dia lebih mengetahui apa yang baik buat hambanya.Dan sekiranya  kalian mendapat keputusan cemerlang,redha dan terimalah dengan penuh kesyukuran atas rezeki yang Allah beri.Kejayaan dan kegagalan merupakan ujian menetukan tahap ketahanan iman kita kepada Allah.

   Adik-adik sudah MERDEKA seawal tengah hari tadi.Raikan kemerdekaan itu dengan penuh hikmah.Selamilah kebebasan itu dengan merafak syukur pada Allah.Mudah-mudahan,saat yang amat indah ini akan berpanjangan sehingga keputusan diumumkan kelak.Doa saya kepada kalian semoga mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.Insya-Allah.

 

Tuesday, August 30, 2016

Saya Anak Malaysia.


Tajuk    :   Catatan Harian

Teks      :   Rasidah bt Sarmani

Entri      36

Assalamualaikum. Salam Merdeka.

Sempena menyambut hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos ini,saya berminat untuk membicarakan dalam entri berhubung sambutan hari bersejarah yang akan diraikan oleh rakyat Malaysia tidak lama lagi.Namun,saya percaya masih banyak yang kabur dengan sejarah negara kita terutama golongan muda yang kurang ambil pusing.Manakala golongan tua lebih suka berdiam diri enggan berkongsi pengalaman berharga dengan generasi yang ada.Akhirnya,sejarah hanya tinggal sejarah tidak dikaji atau diteladani.

   Seharusnya,kita patut berbangga dengan catatan dan bukti primer yang menyingkap tentang kehebatan bangsa Melayu suatu masa dahulu terutamanya semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.Setidak-tidaknya dapat mengubat luka dan kesan parut yang mendalam tika kita dijajah oleh kuasa asing selama lebih 400 tahun dahulu.Sebelum kedatangan penjajah,kehidupan serba indah,harmoni dan tenteram kerana tidak ada apa-apa yang mencengkam kebebasan.Setiap anggota masyarakat saling menghormati dan menghargai keberadaan orang lain dalam komuniti masyarakat kita.Sumber rezeki yang berlimpah ruah,hasil bumi yang tidak pernah habis sungguhpun sehingga tujuh keturunan.Keamanan yang dikecapi dan keadilan pemerintah yang membahagi sama rata,memberi sama rasa mengalu-alukan kedatangan para pedagang dan saudagar untuk mencicip rezeki di tanah bertuah ini sehingga digelar Semenanjung Emas hatta kekayaan yang menggunung hasil keberkatan kurniaan Ilahi.

   Kemakmuran Tanah Melayu kian berkekalan apabila dilimpahi sinar Islam yang dibawa oleh pedagang dan pendakwah yang gigih berjuang menegakkan agama Allah yang Maha Rahim.Islam diterima oleh raja dan rakyat dalam keadaan damai,tidak ada pertumpahan darah mahupun peperangan.Sejarah kedatangan Islam di Tanah Melayu sangat aman sebagai manifestasi kelembutan,ketulusan dan rasa hormat jiwa Melayu yang kental dengan adat budaya yang terpelihara.Kehadiran Islam mengukuhkan lagi tali silaturahim sesama Islam sungguhpun bangsa dan agama lain tidak dipinggirkan.Islam telah menyinari ke seluruh tanah air sehingga Islam itu Melayu,Melayu itu Islam.Agama mulia ini mengajar bangsa jujur dalam berniaga,santun semasa berbicara,berhemah semasa berselisih faham,muafakat dalam bermasyarakat.Itulah cerminan bangsa yang mempunyai tamadun yang boleh dibanggakan.Melaka ketika dahulu pernah menjadi pusat kegiatan ilmu bahkan Sultan telah mewakafkan istana sebagai pusat pembelajaran dan penterjemahan buku dari pelbagai negara asing.Melaka juga menjadi tumpuan  para ulama seluruh dunia untuk menyampaikan risalah Islam dan menjadi tumpuan apabila wujud sebarang kemusykilan.Ternyata Islam telah menaikkan martabat bangsa Melayu di persada dunia.

   Dahulu,bangsa Melayu terkenal sebagai pelayar hebat di lautan samudera.Bangsa Melayu yang lembut jiwanya juga terkenal sebagai pelaut,pengembara,pedagang dan ahli pelayaran yang dapat membelah lautan bergelora dengan berani.Ibarat lautan yang tidak bertepi dapat dijinakkan seolah-olah haiwan liar dalam pertunjukan sarkas.Kepakaran bangsa Melayu dalam teknologi pembinaan kapal atau jong yang dikenali sebagai pinisi sangat diakui oleh pelayar dari barat mahupun timur sebagai yang terbaik dan paling tahan lasak meskipun dipukul gelombang.Seharusnya kita tidak perlu berasa rendah diri atau berasa lemah apabila ditempelak sebagai bangsa pemalas atau leka  kerana sejarah telah membuktikan bangsa Melayu bukan sahaja gah di darat bahkan gagah di lautan luas.Tamadun Melayu pernah melahirkan Enrique The Black of Malacca yang diuar-uarkan sebagai orang pertama yang berjaya nengelilingi dunia.


    Ayuh,bangsa ku! Bangkitlah dari tidur yang lena,jagalah dari mimpi yang lama,sedarlah dari khayalan yang leka,.Sempena Hari Kemerdekaan yang ke-59,marilah kita sama-sama pasakkan azam untuk memelihara keamanan dan keselamatan negara daripada digugat musuh durjana.Pimpinlah anak muda agar mereka cinta akan tanah air mereka.Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab,marilah kita berganding bahu untuk memelihara kedaulatan dan keselamatan negara biarpun kita terpaksa mengorbankan kepentingan diri.Terima kasih kepada pejuang-pejuang tanah air yang berkorban jiwa raga,meskipun pusaramu tidak bertanda namun jasamu tetap mekar di persada.Merdeka!Merdeka!Merdeka!


Wednesday, August 24, 2016

Jiwa Merdeka


Tajuk   :   Catatan Harian

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri    35

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah.

Hanya seminggu sahaja lagi rakyat Malaysia akan meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-59.Sudah semakin matang nampaknya Malaysia dalam mengharungi pelbagai cabaran untuk teguh berdiri sama tinggi ,duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.Setakat ini,kejayaan  yang dicapai oleh Malaysia pada peringkat antarabangsa boleh dibanggakan.

   Saya lihat pelbagai cara yang dilakukan oleh rakyat Malaysia untuk memaknakan "merdeka".Kerajaan mahupun NGO sedang dan telah menganjurkan pelbagai aktiviti untuk merealisasikan hari bersejarah .Ada pihak yang menyambut dengan mengadakan Larian Merdeka,ada juga mengadakan kembara merdeka,menakluk Gunung Everest,mengadakan pelbagai pertandingan atau persembahan bertemakan kemerdekaan.Semua program diadakan menjurus kepada semangat patriotik.Persoalannya,sejauh mana aktiviti yang diadakan dapat menarik penglibatan golongan muda untuk menjiwai 'roh' merdeka ? Kalau ada pun lebih bersifat bermusim atau 'hangat-hangat tahi ayam'.Oleh demikian,pihak kerajaan,ibu bapa,masyarakat mahupun media hendaklah berperanan mendidik golongan ini supaya tebal semangat cinta akan tanahair agar mereka menjadi individu yang bertanggungjawab membentengi negara sekiranya dicerobohi musuh negara.Dengan erti kata yang mudah,anak muda perlu ada jiwa merdeka dan tidak mudah dipengaruhi oleh anasir yang mempunyai kepentingan peribadi.

   Saya tidak berhasrat untuk membahaskan isu merdeka ini dengan panjang lebar kerana saya bukannya seorang ilmuan,cendekiawan mahupun negarawan.Cuma sebagai insan kecil dalam sebuah negara yang merdeka, saya berhak untuk membicarakan apa jua untuk kebaikan negara saya.Kebimbangan saya terhadap anak muda yang 'buta' sejarah memang berasas,Buktinya,masalah jenayah mahupun masalah sosial yang dilakukan oleh anak muda menunjukkan betapa mereka hilang jati diri dan pegangan agama.Mana mungkin anak muda yang memahami sejarah negara rela untuk merosakakan diri dan negara.Mana mungkin anak muda yang mengenal erti pengorbanan nenek moyang mempertahankan negara sanggup untuk menggugat keselamatan negara.Mana mungkin anak muda yang menghayati jalur jatuh bangun negara sehingga negara  berada pada tahap sekarang mudah terjebak dengan pujuk rayu 'Daesh'.Mana mungkin anak muda yang mengangkat martabat ilmu mudah dipermainkan oleh agenda tersembunyi Pokemon Go. Anak muda sedar,bangkit,bertindak sebelum terlambat !

   Teras kepada jiwa merdeka ialah hidup beragama,Mengakui tiada siapa yang layak disembah melainkan ALLAH dan MUHAMMAD SAW itu sebagai pesuruh Allah.Dengan ini,kita tidak akan menjadi hamba kepada material mahupun isme-isme yang menyesatkan sehingga pemikiran dan perbuatan kita dijajah oleh nafsu kita sendiri. Jiwa merdeka haruslah bebas daripada sifat hasad dengki melihat orang lain berjaya dan kaya.Sanggup berkongsi dengan orang lain yang tidak berkemampuan.Jiwa merdeka apabila kita menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan berjasa kepada negara tercinta.Jiwa merdeka apabila kita sanggup bekerja keras untuk  mencipta kejayaan demi agama,bangsa dan negara.Memelihara keharmonian dan perpaduan semua bangsa.

"Perpaduan tidak memberi erti kalau sekadar dalam lafaz kata-kata semata.Perpaduan tidak wujud hanya dengan disuruh-suruh dan diseru-seru.Perpaduan harus diwujudkan atas kepentingan rakyat dan bukan kepentingan satu pihak atau golongsn sahaja."

                                                                                                 - Usman Awang.

 Oleh yang demikian,dalam kita menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara,marilah kita tanamkan azam menjadi warganegara yang baik.Semoga detik keramat yang dinanti akan membawa berkat dan rahmat untuk semua warga dalam meneruskan cita-cita murni dalam mencorakkan Malaysia gemilang dan terbilang.Selamat Hari Kemerdekaan Malaysia.


Saturday, August 13, 2016

Aku menulis bukan kerana nama


Tajuk   :   Catatan Harian

Teks    :    Rasidah bt Sarmani

Entri      34

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah.


Menulis,menulis,menulis ..........!.Kadang-kala saya  kehilangan idea untuk mengolah bahan tulisan  menjadi entri.Tidak tahu apa lagi yang harus ditulis.Situasi 'mental block'yang menyerang boleh menyebabkan semangat untuk berkarya mulai pudar dan malap.Fikiran pula mulai tepu dan sukar menerima sebarang info untuk ditulis.Akhirnya,pen diletakkan di atas meja,laptop ditutup dan saya goyang kaki untuk beberapa hari.Namun,hati kecil rasa tidak tenteram selagi entri belum sampai ke penghujungnya.Tanggungjawab mesti digalas,bakat mesti digilap! Bagaimana nak menulis tentang pengalaman ?Saya bukan siapa-siapa,nak berkongsi cerita, bukan insan istimewa mahupun artis yang menjadi pujaan.Cerita saya pun biasa-biasa,tidak ada yang luar biasa.Andai nak bandingkan dengan sahabat-sahabat dalam ABDR sungguh hebat-hebat,setidak-tidaknya mereka bisnes produk-produk yang telah maju ke hadapan.Sedangkan saya sekelumit pengalaman dalam dunia perniagaan jauh sekali apatah lagi nak promosi produk atau dropship.

   Itu antara keluhan tatkala idea kekeringan,seolah-olah kalah dalam peperangan sebelum berperang.Kalau layan fikiran dan perasaan pesemis alamat cita-cita hanya tinggal khayalan.Lalu,saya tenangkan fikiran ingat semula apa tujuan saya mula terdetik untuk menjadi keluarga ABDR.Baharu saya ingat saya berhasrat berdakwah melalui penulisan sungguhpun sumbangan saya hanya sebesar zarah.Namun,Insya-Allah andai ikhlas akan menjadi saksi di akhirat kelak.Saya tidak berhajat menjadi terkenal mahupun popular dengan berkarya,saya juga tidak kisah andai nama saya tidak dikenali kerana 'Aku menulis bukan kerana nama'.

        Dengarlah hai teman

        Dengarkan bersama

        Aku menulis bukan kerana nama

        Kerana sifat kasih

        Pada sesama insan

        Dan menyatakan kasih sayangmu

        Kita sama semuanya sama

        Apa yang ada hanyalah kehidupan

       (Petikan lirik lagu 'Bukan Kerana Nama' , Ramli Sarip)

   Lirik lagu di atas sedikit sebanyak membantu mengecas semula energi dan semangat saya yang mulai dilanda sindrom 'pudar dan malas'.Saya bangkit semula,betulkan niat menulis ikhlas kerana Allah.Saya juga perlu gunakan medium ini untuk berkongsi rasa gembira mahupun sedih dengan pembaca di luar sana,menyebarkan aura kasih dan prihatin sesama insan kerana kita semua adalah sama.Perlu diingat dan mengingatkan barulah dunia akan aman harmoni.Saya bersedia membantu semampu ada agar semua berasa dihargai.Dengan menulis juga saya dapat melaksanakan tanggungjawab sosial saya kepada masyarakat,mudah-mudahan usaha kecil saya dapat menyumbang impak yang maksimum.


"Dan hendaklah dalam kalangan kamu yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik,serta melarang segala perbvuatan yang salah (buruk dan keji).Mereka yang bersifat demikian itulah orang-orang yang berjaya."

                                                               ( Surah Al-Imran : 104)

Tuesday, August 9, 2016

Jalan Bahagia


Tajuk   :   Motivasi

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri   33

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah.

"Bahagia itu bukan pada harta,bahagia itu bukan pada rupa paras,bahagia itu bukan pada pangkat berganda,bahagia itu bukan pada pujian manusia tetapi bahagia itu berkatnya harta,ikhlasnya jiwa,tawaduknya sang ketua,restunya ayah bonda."

   Dewasa ini banyak orang yang keliru untuk mencari makna bahagia.Bagi mereka dengan harta,pangkat dan rupa boleh menjamin mereka mendapat kebahagian selamanya.Namun,jiwa mereka kosong, pada Tuhan mereka lupa hanya mengejar bayangan semata.Akhirnya,kehidupan mereka sengsara,anak isteri entah ke mana,rakan-rakan rapat semasa berharta.Dengan ini,formula untuk bahagia telah dirungkai dalam beragama.Anda akan menemui jalan bahagia apabila anda mentaati dan menghargai keberadaan ibu bapa kerana keredhaan Allah terletak pada redha mereka berdua.

"Sembahlah Allah dan jangan menyekutukan-Nya dengan sesuatupun dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapamu."
                                                                                   (A-Nisaa (4) :36)

   Lantaran kehidupan yang semakin pantas bergerak,mengejar bayangan bak fatarmogana,manusia sering lupa asal usul dan keturunan.Anak-anak mengumpul harta benda sehingga tamak haloba.Lupa pada orang tua yang harus dipelihara sehingga hidup mereka sengsara,dibiar tanpa khabar berita.Kalau tidak pun untuk memudahkan urusan kehidupan ada anak-anak yang sanggup meninggalkan ibu bapa mereka di rumah orang-orang tua.Tinggallah ayah bonda hanya meratap hiba dan menghitung hari bilakah anak-anak akan menjengah mereka,Harus kita ingat bahawa menjaga ibu bapa yang telah tua bukannya satu bebanan tetapi tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap anak untuk mengumpul ladang pahala sebagai bekalan di hari pembalasan.Sangat sedih apabila kita membaca akhbar ada ibu bapa yang ditinggalkan di stesen bas,ada ibu bapa yang ditinggalkan di tempat tumpuan awam.ada juga ibu bapa yang ditinggalkan di tempat pembuangan sampah.Apakah perasaan sudah tidak ada lagi buat anak-anak ini,tidak takutkah mereka dengan hukum Tuhan?Hilang sudah rasa belas melihat ibu merayu dengan tangis hiba supaya tidak ditinggalkan atau pun dibiarkan seperti kucing kurap yang hilang tempat bermanja.

   Untuk menemui jalan bahagia dapat kita kecapi dengan berbakti kepada ibu bapa.Kita hendaklah menyayangi mereka dalam apa jua keadaan .Taat dan patuh atas segala arahan selagi tidak bertentangan dengan hukum agama.Selagi mereka masih ada,kita perlu berusaha sedaya upaya melakukan hal yang membahagiakan mereka.Jangan sekali-kali meluka dan menyinggung perasaan mereka kerana ibu bapa merupakan insan yang sangat perasa apatah lagi setelah usia mereka sudah lanjut.Doakan kesejahteraan mereka di dunia dan sekiranya mereka sudah tiada doakan kesejahteraan mereka di alam barzakh.

   Berbakti kepada ibu bapa pada sisi Allah sama taraf dengan berjihad fisabilillah.Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW semasa perbualan dengan seorang sahabat baginda :

Ibn Umar pernah berkata,saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW
Apakah perbuatan yang disukai oleh Allah ?
Lalu baginda bersabda,"Solat pada waktunya."
"Kemudian apa lagi?" tanya saya
Baginda menjawab,"Berbakti kepada kedua orang tuamu."
Saya bertanya,"apa lagi ?"
Baginda menjawab,"Berjihad pada jalan Allah

  Harus kita ingat seandainya kita berbakti kepada ibu bapa,hidup kita akan bahagia mendapat keredhaan Allah.Diberi rezeki yang berlimpah ruah,kesihatan yang baik.Kita juga akan dikasihi oleh penghuni bumi dan langit,paling utama Allah menjanjikan syurga buat anak-anak yang berbakti kepada ibu bapa. Suatu kisah yang diceritakan oleh Rasulullah SAW berkaitan berkatnya berbakti kepada ibu bapa.Renung-renungkan kisah di bawah yang menitipkan mutiara ibrah buat kita yang bergelar anak.

 Uwais al_Qarni merupakan hamba Allah yang tidak dikenali oleh penduduk di bumi tetapi sangat dikenali oleh penduduk di langit.Rasulullah SAW mengatakan bahawa doa Uwais sangat mujarab dan didengar oleh Allah. Uwais merupakan lelaki biasa bekerja sebagai penjaga unta.Beliau tinggal dengan ibu tua yang buta dan lumpuh,dijaga ibunya dengan penuh kasih sayang dan tidak pernah mengeluh.Selain itu,Uwais juga seorang pemuda yang taat beribadah dan menghidupkan malam dengan munajat  kepada Allah.Suatu hari ibunya menyatakan hasrat ingin menunaikan haji ke Makkah..Uwais berasa susah hati kerana tidak mampu menyediakan unta dan perbelanjaan dari Yaman ke Makkah untuk membawa ibunya ke sana.

   Setelah berfikir akhirnya beliau mendapat ilham untuk membeli seekor anak lembu yang baru lahir.Dibuatnya rumah lembu peliharaannya di sebuah Tilal (tanah tinggi)Setiap petang,Uwais akan mendukung lembunya untuk naik ke atas Tilal dan setiap pagi akan dibawa turun lembunya untuk diberi makan.Lembu peliharaannya yang pada awalnya berat 20 kilogram meningkat 100 kilogram setelah enam bulan.Otot tangan dan tubuhnya semakin kuat untuk mengangkat beban yang berat.Lapan bulan kemudian, tibalah musim haji,Uwais tunaikan permintaan ibunya untuk ke Makkah.Dengan tenaga dan kekuatan tubuhnya yang telah berlatih setiap hari mendukung lembunya seberat 100 kilogram tidak sukar baginya mendukung ibunya seberat 50 kilogram dari Yaman ke Makkah,membawa ibunya ke Padang Arafah dan mendukung ibunya pulang ke Yaman setelah selesai musim haji.Setelah beberapa bulan kembali dari Makkah maka ibunya meninggal dunia.Namun,Uwais berasa puas hati kerana telah menunaikan kesemua permintaan ibunya Uwais semakin soleh dan kuat beribadah.Atas baktinya kepada ibu maka Allah telah menaikkan martabatnya di sisi Allah hingga menjadi seorang yang doanya paling mujarab didengar dan ditunaikan oleh Allah.

   Demikian kisah benar yang dapat kita teladani untuk mencari jalan bahagia iaitu dengan berbakti kepada kedua ibu bapa sebagaimana yang ditunjukkan oleh Uwais Al-Qarni pemuda yang tidak dikenali oleh penghuni bumi tetapi dikenali oleh penghuni langit.Buat anak-anak yang masih ada ibu bapa belum terlambat untuk berbakti kepada ibu bapa anda dan bagi yang tiada ibu bapa maka sedekahkan doa untuk kesejahteraan  ibu bapa anda di sana.

Firman Allah SWT.

Dan Tuhan-Mu telah mewajibkan supaya tidak menyembah selain dari-Nya dan berlaku baik kepada ibu bapa.
                                                                           (Surah Al-Isra' : 23)


Wednesday, August 3, 2016

Belalang Oh Belalang !


Tajuk   :   Catatan Pengalaman

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri    32

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah.

 Kisah di bawah ini saya nukilkan sebagai memori indah setelah saya tinggalkan dunia perguruan empat tahun lalu.

    "Assalamualaikum,cikgu,"sapa seorang murid yang berselisih denganku. Aku menjawab salam tersebut sambil menggangguk sedikit dan masih berona serius.Kakiku melangkah ke kelas Tingkatan 3 Al-Bukhari.Saat itu situasi agak tenang dan senyap.Suasana yang biasa apabila aku sebagai Guru Disiplin dan guru mata pelajaran Sejarah masuk ke kelas,semuanya tampak tersusun dan tertib.Aku bukannya guru yang ditakuti tetapi entah mungkin ketegasan dan serius wajah aku menimbulkan sikap berhati-hati anak-anak muridku.Setelah memberi salam dan membaca doa aku mengarahkan mereka duduk.Sibuk anak-anak muridku mengeluarkan buku teks dan buku rampaian Sejarah untuk memulakan pembelajaran.

   "Baik,hari ni semua simpan buku sebab cikgu nak beri ujian,"lantang suara aku memecah kesunyian kelas.Seketika kelas mulai bingit respon daripada arahan yang aku keluarkan sebentar tadi.Aku biarkan suasana bising seketika bukan apa sekadar melihat muka-muka cemas di hadapan mataku.Sebelum alasan demi alasan yang pasti terbit dari mulut anak-anak muridku terlebih dahulu aku menyambung bicara."Semalam cikgu dah pesan,esok cikgu akan beri ujian bab "Pendudukan Jepun di Negara Kita" setelah kita selesai belajar bab tersebut.Dan seharusnya kamu semua telah bersedia dan membuat ulangkaji bab berkenaan."Sekali lagi bisik-bisik halus masih kedengaran,nak membantah mereka pasti tak berani,salah sendiri !

   "Seperti biasa setiap kali ada ujian cikgu akan tetapkan markah target yang perlu dicapai.Memandangkan ujian ini yang pertama pada tahun ini, maka cikgu tetapkan markah yang perlu kamu semua lepasi ialah 65%.Setuju ?"tanya aku dengan jujur. Semua murid menjawab secara serentak,"Setuju"
"Oh,ya sesiapa yang tidak capai target seperti biasa 'hadiah' menanti.Adilkan?" Aku bertanya sekadar menguji keberanian anak-anak muridku menyatakan respon.Ada yang bersungut,ada yang menggaru-garu kepala yang tidak gatal dan ada juga yang tersenyum sumbing.Aku terhibur melihat keletah mereka walaupun wajah aku masih mempamerkan wajah serius."Baik,memandangkan hari ini dua waktu maka satu waktu kamu akan jawab soalan dan satu waktu lagi kita akan semak jawapan,"

   Setelah semua bersedia,aku edarkan kertas soalan berbentuk objektif,sedikit penerangan diberi kemudian murid-murid mula menjawab soalan.Biasanya,semasa diadakan ujian aku akan ronda satu kelas bagi memastikan tidak berlaku sebarang masalah atau tiru-meniru.Aku perhatikan murid-murid ku menjawab soalan dengan khusyuk.Hanya kedengaran bunyi kipas sahaja yang memecah kesunyian.Sekali-sekala aku akan ingatkan mereka tentang waktu yang masih berbaki.Aku tidak pernah berkompromi dengan murid-murid ku berkaitan dengan masa.Setelah 40 minit berlalu,masa untuk menjawab soalan telah tamat.Arahan dikeluarkan agar mereka berhenti menjawab soalan dan bertukar kertas jawapan dengan rakan sebelah.Satu persatu soalan dibincangkan,segala kekeliruan telah dirungkaikan.Kini,tiba masa untuk mengira markah.Saat ini yang paling aku nanti-nantikan,bukan apa sekada melihat keberkesanan pengajaran dan pemelajaran mereka sepanjang bab tersebut.

   Setelah menganalisis kertas jawapan masing-masing, tiba masa untuk aku mencatat markah setiap individu.Pelbagai karenah dan alasan yang dibuat semasa markah diberi untuk direkodkan.Masing-masing berasa teruja dan gelisah untuk mengetahui bentuk dendaan atau 'hadiah' yang bakal diterima.Biasanya aku akan memberikan hukuman yang tidak dijangka tetapi cukup memberi kesedaran untuk murid-murid ku meningkatkan prestasi pencapaian mereka dalam mata pelajaran ini.
"Baik,cikgu sudah terima markah kamu semua,tinggi-tinggi markah yang dicapai,"sindir aku kepada murid-murid ku yang bakal menerima hukuman."Siapa yang tidak melepasi markah target yang ditetapkan sila berdiri",tegas aku dengan suara lantang.Daripada 32 murid yang ada di dalam kelas tersebut hanya lima orang sahaja yang duduk dengan selesa.Terdapat 27 murid yang tidak melepasi markah target."Dengar baik-baik,cikgu beri masa lima minit sahaja untuk kamu mencari apa jua jenis serangga yang terdapat di sekitar bangunan Aras A.Jangan ada yang lewat dan singgah di mana-mana,"pesanan aku kepada murid-murid.Pelbagai reaksi dapat aku lihat,ada yang tercengang-cengang,ada yang gembira,ada juga yang kalut.Ah,biarkan mereka dengan respon tersendiri,sebentar nanti mereka akan mendapat pengajaran akibat tidak mencapai target!

   Lima minit kemudian,semua murid telah masuk ke kelas.Tercunggap-cunggap kerana bimbang gagal menepati waktu yang ditetapkan.Kelas agak bising sedikit masing-masing berminat untuk menceritakan pengalaman mencari serangga sebagai hadiah bermakna.Aku perhatikan kebanyakan mereka membawa belalang dalam genggeman mereka.Tidak hairanlah kerana di belakang sekolah memang banyak belalang yang bermain-main di tepi kolam."Baik,diam semua.Cikgu pasti kamu semua telah berjaya menjalankan tugasan yang diberi.Sekarang apa yang perlu dibuat ialah cikgu akan panggil seorang demi seorang menunjukkan apa yang telah ditangkap.Tanya pada serangga yang kamu dapat kenapa kamu tidak capai target.Boleh,"aku bertanya kepada murid-murid.Aku mulai memanggil nama anak-anak murid ku."Belalang,oh belalang,kenapa aku tak lepas target ?"tanya Syahril kepada serangga yang ada dalam genggamannya.Rakan-rakan dalam kelas ketawa melihatkan reaksi wajah Syahril yang kegelian memegang belalang ,suasana mulai bingit.Suasana yang tegang dan bimbang sebentar tadi bertukar menjadi ceria.Aku turut terhibur melihat keletah mereka.Setelah beberapa murid tampil ke hadapan tiba masanya aku membuat ulasan berhubung aktiviti yang telah dilalui oleh murid-murid.

  "Sebenarnya cikgu membuat dendaan sebegini bukan bertujuan menghukum atau mendenda kamu secara kuku besi.Tetapi cikgu hendak memberi pengajaran kepada kamu semua.Cikgu dapati masih ramai lagi yang tidak serius semasa belajar,masih ada yang tidak cakna dan ambil mudah terhadap ilmu yang dipelajari.Bukan mudah untuk menangkap belalang perlu usaha baharulah kita dapat tangkap.Begitu juga dengan belajar,kamu semua perlu tekun berusaha,buat ulang kaji,belajar dalam kumpulan atau bertanya kepada guru sekiranya ada sebarang kekeliruan.Satu lagi suka beranggapan pelajaran Sejarah tidak penting,sudah ditelan zaman.Walhal pelajaran Sejarah merupakan jati diri bangsa kita yang kaya dengan tamadun.Seharusnya kamu sebagai generasi muda harus berbangga dan mempertahankan apa yang telah dibina oleh nenek moyang kita.Tak perlu susah payah memanggul senjata cukup sekadar menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh,"ceramah aku dengan banyak lebar.Aku lihat murid-murid khusyuk menadah telinga.Loceng berbunyi,aku mengucapkan salam dan melangkah keluar dari kelas.

   Sepanjang perjalanan aku berharap sangat agar anak-anak murid ku akan mendapat suntikan kesedaran dan menjadi lebih baik pada hari esok.Sebagai guru aku hanya mampu berdoa sahaja.Peristiwa tersebut telah pun berlalu dan kini kebanyakan anak-anak muridku telah pun berjaya dan mempunyai kerjaya masing-masing.Biarlah kisah lalu tersimpan dalam lipatan kenangan,sangat indah dikenang,sangat sukar dibuang,kekal sebagai khazanah masa depan.

Tuesday, August 2, 2016

Sebarkan salam


Tajuk   :  Motivasi

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri   31

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah.

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda;

" Demi Dzat yang jiwaku ada di dalam genggaman-Nya,kalian tidak akan dapat masuk syurga hingga kalian beriman,kalian belum disebut beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan kepada kalian tentang sesuatu yang jika kalian lakukan kalian akan saling mencintai? Sebarkan salam antara kalian."
                                                                                                                         (HR Muslim)

   Assalamualaikum,merupakan ucapan khusus perkenalan dan doa seorang Islam kepada rakan seagama.Apabila bertemu sesama sahabat amat ganjil kedengaran ucapan 'hai','hello',tanpa dimulai dengan ucapan Assalamualaikum.Dalam Islam ucapan salam hukumnya sunat manakala menjawab salam adalah wajib.Lantaran itu,basahkan lidah kita dengan ucapan kesejahteraan ini dan sebarkan salam sesama Islam meskipun kita belum mengenali seseorang itu.Dengan ucapan salam kita akan lebih mengenali,dengan ucapan salam kita akan lebih memahami,dengan ucapan salam kita akan lebih menghargai.Jadi,tidak rugi sekiranya kita senyum sambil menghadiahkan salam kepada sahabat yang ditemui.

   Tidak perlu teragak-agak memberi salam kerana disarankan orang yang menaiki kenderaan mengucapkan salam kepada mereka yang berjalan kaki.Yang berjalan kaki mengucapkan salam kepada yang duduk.Yang sedikit memberi salam kepada yang banyak.Manakala,orang muda memberi salam kepada yang tua.Baharulah hidup penuh harmoni dan tertib.

   Dalam situasi keliru orang bukan Islam(non Muslim) terhadap agama Islam sendiri sepatutnya penganut Islam memberi pendedahan kepada mereka betapa sejahteranya agama Islam sebagai agama perdamaian,selamat,toleransi dan aman.Ubah persepsi masyarakat bukan Islam yang melihat agama Islam sebagai agama keganasan,bangsa yang mundur,suka bergaduh dalam hal remeh temeh,mengeksplotasi kaum wanita dan terlalu ekstrims.Momokan musuh-musuh Islam harus ditangani dengan cara yang paling halus dan berseni melalui tindakan berhikmah.

   Melalui amalan sebarkan salam akan mendidik jiwa kita menjadi lebih terangsang untuk membuat kebaikan.Kita akan lebih menghargai keberadaan seseorang dalam kehidupan kita.Ucapan salam ibarat vaksin yang sangat mujarab dalam merawat penyakit jiwa yang melanda masyarakat kita yang bersifat individualistik.Ucapan salam juga dapat menjernihkan permusuhan yang sekian lama membarah. Pendek kata,amalan sebarkan salam sangat dianjurkan oleh Islam sebagai natijah saling mencintai sesama saudara seIslam.

   Ucapan salam harus dibudayakan dalam masyarakat kita terutama dalam kalangan anak muda Ibu bapa perlu memainkan peranan menyemai amalan mulia ini sedari anak-anak masih hijau lagi.Didik mereka kepentingan memberi salam terutama kepada orang yang lebih tua daripada mereka.Kelak kita dapat melahirkan generasi yang prihatin dan cakna kepada kemaslahatan masyarakat.Ayuh,jangan berlengah lagi untuk menyemarakkan ucapan sejahtera agar dunia menyinar sentosa!

Saturday, July 23, 2016

Biarkan Pena Berbicara


Tajuk   :   Catatan Harian

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri   30

Assalamualaikum. Salam Aidilfitri.

Rasulullah bersabda  :

"Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya.Maka ketika hendak berbicara,terlebih dahulu ia kembali kepada nuraninya.Apabila ada manfaat baginya dia harus bercakap dan apabila mendatangkan keburukan maka dia hendaklah tidak melafazkannya.Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada pada mulutnya,ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan."

   Orang yang bijak panjang akalnya,orang yang bodoh khilaf cakapnya,orang yang penyantun berhikmah bicaranya,orang yang sombong sumbang kata-katanya.Kemajuan teknologi maklumat yang sedang melanda dunia memungkinkan dunia berada di hujung jari.Kita boleh mendapat sesuatu berita yang berlaku di luar negara dalam masa yang sesingkat cuma.Namun,kemajuan tersebut turut menyumbang kepada budaya negatif apabila berita yang disalurkan sering menguar-uarkan berita palsu dan tidak sahih sumbernya.Penulis seolah-olah tidak sensitif terhadap kesan daripada penyebaran berita palsu kepada pembaca atau masyarakat.Adakalanya,berita palsu yang diviralkan boleh menimbulkan kebimbangan masyarakat terhadap tahap keselamatan negara.Hal ini boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan negara yang mempunyai penduduk pelbagai bangsa.Sebagai pengguna medium maya,sewajarnya membuat pertimbangan wajar sebelum berkongsi sebarang info atau maklumat dengan rakan-rakan.

   Beberapa minggu yang lalu,rakyat Malaysia digemparkan dengan beberapa kejadian yang melibatkan jenayah senjata api.Lebih malang lagi apabila kejadian tembakan boleh berlaku di tempat awam seolah-olah penjenayah mencabar undang-undang negara yang melibatkan kesalahan penggunaan senjata api.Bukan bermaksud merendah-rendahkan kewibawaan pihak keselamatan menangani masalah ini,bahkan menyanjung tinggi atas prihatin pihak polis bertungkus-lumus membanteras jenayah senjata api yang melibatkan penembak upahan yang amat dikehendaki.Kebimbangan terhadap jenayah ini disebabkan peluru tidak bermata dan boleh menyasarkan kepada sesiapa pun yang tidak bersalah menjadi mangsa keadaan.Kejadian menembak seorang ejen hartanah wanita oleh dua lelaki bermotosikal di Taman OUG,Jalan Klang Lama menimbulkan kebimbangan orang ramai seolah-olah kita berada di bandar koboi yang penghuninya bebas memiliki senjata api.Difahamkan untuk memiliki sepucuk Glock automatik individu boleh membeli dengan harga RM 2000 di pasaran gelap dan bayaran untuk seorang penembak upahan sekitar RM 5000.Sekiranya hal ini tidak dikawal oleh pihak keselamatan dibimbangi kejadian seumpama ini akan berlaku dengan kerapDalam hal ini,anggota masyarakat perlu menjadi mata dan telinga pihak keselamatan agar kejadian jenayah dapat diatasi oleh pihak polis dengan segera.

   Rakyat Malaysia sangat terkenal sebagai masyarakat yang mempunyai sifat ramah tamah,menghormati tetamu,lemah lembut dengan sahabat dan saudara mara,pemaaf,penyayang dan pelbagai sikap positif yang menjadi sebutan pelancong luar yang datang berkunjung ke negara kita.Namun,sikap lemah lembut,hormat menghormati itu hanya kosmetik semata-mata apabila sikap ini berubah menjadi agresif dan tidak bertimbang rasa semasa berada di jalan raya.Seolah-olah lebuh raya yang lurus itu ibarat litar perlumbaan Formula One tempat pemandu menunjukkan skil pemanduan yang lasak dan pantas.Fenomena ini lebih kritikal menjelang musim perayaan,pemandu tidak sabar-sabar untuk tiba ke kampung sehingga banyak menyumbang kepada tragedi yang meragut nyawa orang tersayang.Seharusnya Hari Raya disambut gembira dengan keluarga tersayang tetapi sebaliknya berlaku apabila keluarga di kampung hanya menyambut sekujur tubuh yang tidak lagi bernyawa.Kesedihan menemani keluarga yang ditinggalkan.Ada anak-anak yang menjadi yatim sekelip mata,ibu bapa hilang anak-anak tersayang yang sudah lama tidak pulang ke kampung.Lebih malang lagi apabila kematian orang tersayang disebabkan oleh kelalaian pemandu lain

Sesetengah masyarakat di Malaysia menganggap cuti Hari Raya sebagai hari membalas dendam dengan menghabiskan sebahagian cuti di depan peti televisyen. Kesampingkan amalan berziarah ke rumah sahabat handai mahupun saudara mara.Duduk santai-santai sambil makan kuih raya di hadapan televisyen lebih memberi nikmat daripada menyambung silaturahim.Sikap tersebut seolah-olah sudah menjadi budaya yang kian meluas dalam kalangan masyarakat moden pada masa kini. Oleh sebab itu juga,stesen televisyen milik kerajaan mahupun swasta berebut-rebut menawarkan pelbagai rancangan yang dapat mengumpan selera pelanggan.Wal hasil,stesen televisyen akan mengaut keuntungan berlipat kali ganda daripada sikap penonton yang ambil mudah.Lebih malang apabila ada stesen televisyen menayangkan rancangan yang berulang-ulang setiap tahun,Kalau tidak pun cerita bertemakan seram,lawak atau drama yang sering memaparkan watak utamanya meninggal dunia.Seolah-olah hari raya,hari untuk meratap hiba,hari mengundang nasib malang sahaja.Seharusnya,stesen televisyen menayangkan rancangan-rancangan atau drama yang berunsur ilmiah dan berpengetahuan supaya dapat meningkatkan tahap pemikiran penonton menjadi rakyat yang bijak dan berfikir.

   Fikir-fikirkan,timbang-timbangkan apabila bertindak supaya tidak sesal di kemudian hari.Sekiranya masih ada jnsan yang sukar menerima nasihat dan pandangan orang lain maka 'biarkan pena berbicara'kerana pena tidak punya rasa mahupun emosi untuk menjaga perasaan mahupun fikiran orang lain.

"Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajukan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah darikemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung."
                                                                                                (Surah Ali Imran :104-105)
                                                                             


Hebatnya Berfikiran Positif !


Tajuk   :   Catatan Harian

Teks    :    Rasidah bt Sarmani

Entri    29

Assalamualaikum.Salam Aidilfitri.

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka."

                                                                                 ( Surah Ar-Rad : 11 )

Positif ialah apabila kita memberi fokus kepada perkara-perkara yang positif berbanding memikirkan perkara-perkara yang negatif.Sentiasa berfikir yang baik-baik tentang diri sendiri,orang lain mahupun persekitaran.Berfikir secara positif merupakan senjata kejayaan.Sekiranya setiap individu berfikir secara positif,dunia akan menjadi aman damai,kehidupan akan lebih bahagia,insan akan lebih bertanggungjawab.Dengan berfikiran positif mampu mengubah kesusahan kepada kesenangan,peperangan kepada perdamaian,permusuhan kepada persahabatan,kemiskinan kepada kekayaan.

   Kadang-kadang kita keliru untuk berfikir secara positif.Perlu wang atau perlu masa untuk mengubah menjadi positif? Tidak,cukup sekadar istiqamah dengan beriman kepada Allah sesungguh hati,Selain itu,kita perlu mencari rakan yang sentiasa berfikir positif agar menyokong kita apabila kita dalam kebuntuan.Jinakkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan agar kita sentiasa menghargai setiap yang berlaku di sekeliling kita.Penting sekali menjadikan setiap masalah sebagai peluang untuk kita mencipta kejayaan.Kita juga haruslah berfikiran terbuka menerima teguran daripada orang lain untuk menjadi lebih baik dari semalam.Didik diri untuk menjadi positif supaya orang lain selesa untuk berinteraksi dengan kita.

   Saya sangat berminat untuk berkongsi cerita mengenai seorang tokoh yang sangat berfikiran positif sehingga berjaya mencipta karakter diri yang hebat dan berjaya mencapai impian yang dianggap mustahil untuk dicapai oleh manusia biasa. Sehingga ke hari ini kejayaan luar biasa itu masih lagi menjadi perbualan dan pengiktirafan bertaraf lima bintang meskipun peristiwa itu sudah ratusan tahun berlalu.Muhammad bin Murad,seorang pemimpin yang sangat warak dan tawaduk merupakan anak didik Syeikh Syamsuddin mempunyai susur galur keturunan Abu Bakar As-Siddiq.Muhammad sangat berani,tegas,kuat simpan rahsia pemerintahan dan sangat mencintai para ulama.Pada bahu Muhammad telah dipertanggungjawabkan oleh ayahandanya Murad ll untuk menakluk Kota Konstantinople.Kota ini merupakan kota yang paling utuh pada abad tersebut dan amat mustahil sekiranya ada pihak yang dapat menawan kota tersebut.Namun,Muhammad mempunyai cita-cita yang tinggi untuk menakluk kota tersebut lebih-lebih lagi apabila terngiang-ngiang hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal iaitu,
    "Kota Konstantinople akan ditakluk oleh tentera Islam.Rajanya adalah sebaik-baik raja dan                                                                      tenteranya."

   Persediaan yang dilakukan oleh Muhammad sangat terancang dan strategik.Meskipun hadis tersebut telah diucapkan oleh Rasulullah SAW lebih 800 tahun lalu,Muhammad sentiasa bersikap positif untuk merealisasikan hadis tersebut.Setiap malam baginda sentiasa mengkaji dan meneliti pelan peta Kota Konstatinople dengan terperinci dan mengenal pasti kelemahan dan kegagalan kempen panglima terdahulu yang berhasrat menakluk kota tersebut.Semasa mengetuai pemerintahan, Sultan Muhammad bin Murad baharu berusia 21 tahun.Bagi mengetuai misi menawan kota kebanggaan Byanzatine itu baginda telah membuat persiapan  dan strategik yang rapi antaranya,

 -  Mengumpulkan 265,000 angkatan tentera yang disokong oleh kekuatan 400 buah kapal laut
-   Mengarahkan pembinaan senjata tercanggih iaitu senjata meriam gergasi yang boleh menembak         bom seberat 300 kg.dengan jarak sejauh 1.5 km.
-   Membawa ulama dan pakar motivasi ke medan perang bertujuan membakar semangat para tentera

-   Mengepung kota selama 48 hari sambil menembak meriam raksasa ke arah kota tersebut
-   Arah gunakan menara bergerak yang memuatkan ratusan tentera untuk musnahkan kota
-   Menggunakan kaedah luar biasa iaitu dengan membawa 72 kapal melalui jalan darat di atas                 gunung kemudian meluncurkan semula ke Goldan Horn.Taktik ini merupakan kaedah perang               terbaik di dunia yang diakui oleh Sejarawan Barat sendiri.

   Sungguhpun perancangan yang dibuat amat baik namun,pasukan tentera Islam masih gagal menembusi tembok Kota Konstantinople sehingga hampir putus asa. Hal ini memungkinkan Sultan Muhammad berpidato,"Wahai tenteraku,aku bersedia untuk mati di jalan Allah,sesiapa yang mahu syahid marilah ikut aku."
Keesokan paginya,Hassan Ulubate mengetuai 30 tentera telah menyahut seruan jihad dengan membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh dan memacak bendera Islam di atas puncak kota.Tubuhnya telah dihujani oleh ratusan panah musuh sehingga akhirnya beliau dan rakan-rakannya syahid.Peristiwa itu telah membakar semangat tentera Islam menyebabkan mereka menyerbu masuk ke dalam kota sambil melaungkan kalimah Allahhu Akhbar sehingga  mendatangkan kegentaran kepada tentera musuh.

   Akhirnya pada 29 Mei 1453 tentera Islam di bawah pimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh telah berjaya menakluk Kota Konstantinople dan menukar nama kepada Islambol (Islam keseluruhan) sehingga hari ini dikenali sebagai Istanbul (Turki) Sesungguhnya kejayaan ini tidak akan dicapai sekiranya Raja dan tenteranya bersifat pesimis dan mudah berputus asa. Begitulah kisah hebatnya berfikiran Positif.

                                  "Anda adalah siapa yang anda fikirkan tentang diri anda."



Apa Khabar Sahabat ?


Tajuk   :   Catatan Harian

Teks     :   Rasidah bt Sarmani

Entri    28

Assalamualaikum.Salam Aidilfitri.

"Kamu lihat orang-orang mukmin itu,dalam hal saling menyayangi,menyintai dan mengasihi seperti satu tubuh,apabila satu anggota badan mengeluh sakit maka sekujur tubuhnya juga berasa dan tidak bisa tidur malam dan berasa panas dingin."

                                                                                             ( HR. Al-Bukhari)

Sungguhpun sudah lebih seminggu umat Islam di Malaysia meraikan Hari Raya Aidilfitri,namun kemeriahan masih terasa. Pelbagai juadah tradisional lemang,ketupat,rendang dan dodol sedia terhidang di meja menyambut tetamu yang berkunjung Sanak-saudara dan sahabat handai berkumpul saling bersalaman sambil tertawa riang.Di sebelah malam pula,bising dengan bunyi mercun beraneka rupa manakala kanak-kanak kecil berbaju indah riang ria bermain bunga api dengan rakan-rakan sebaya.Begitulah kemeriahan yang dapat dinikmati semasa menyambut Aidilfitri di Malaysia.Merayakan Aidilfitri dalam suasana yang sangat damai dan meriah.

   Namun,dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri jangan kita lupa kepada saudara serta sahabat seIslam kita yang berada dalam kesempitan,kesengsaraan,kesusahan,kekurangan dan peperangan.Ambil cakna atas nasib mereka.Apa khabar sahabat? Hulurkan simpati serta empati atau setidak-tidaknya angkat tangan doakan kesejahteraan dan keselamatan mereka. Apa khabar sahabat Rohingya yang berada di Myanmar? Masihkah mereka diburu dan dibunuh oleh junta tentera Myanmar ? Apakah nasib anak-anak Rohingya yang hilang tempat bergantung setelah ibu bapa mereka dibunuh tanpa belas ihsan ? Bagaimana pula maruah kaum wanita Rohingya yang diinjak-injak dengan berleluasa ? Mampukah kehidupan diteruskan sebagai pelarian mengemis kasih di negara orang? Di manakah kita saat sahabat kita ditindas dan tidak diberi hak sebagai manusia untuk hidup di negara yang merdeka?

   Anak-anak kecil di bumi Syria berbaju indah kah mereka seperti anak-anak kita di sini? Tatkala kita sendawa kekenyangan dengan pelbagai juadah yang lazat,anak-anak di Syria hanya mampu makan seadanya.Kiranya nasib tidak menyebelahi mereka,cukup sekadar mengunyah sejemput rumput buat pengalas perut.Kaum bapa pula terpaksa menggunakan kudrat untuk melangsungkan kehidupan keluarga dalam suasana dihujani peluru tidak bermata.Sedangkan si ibu hilang sudah tangis hiba melihat rumah mereka dimusnahkan oleh bom.Hanya pertanyaan yang mampu dilontarkan,masih ada kah sinar esok untuk mereka melihat hijau Suriah bumi bertuah?Anak-anak kita putus jarinya dek mercun tetapi anak-anak mereka hilang tangan dek bedilan musuh laknatullah.Apakah yang mampu kita lakukan untuk meringankan penderitaan mereka sahabat seIslam kita agar ada senyum tipis di bibir mereka?

   Apa khabar sahabat di Gaza? Berhari raya di celah-celah runtuhan rumah tidak menjadikan mereka putus asa bahkan lebih memberikan mereka semangat untuk hidup dan bersyukur kepada Allah.Meskipun anak-anak remaja sibuk mengutip batu buat dilontar kepada tentera Zionis,mereka tidak pernah mengeluh apatah menangisi nasib malang mereka.Anak-anak ini juga kelak akan menjadi benteng mempertahankan tanah air mereka daripada dijarah oleh Yahudi Zionis.Para ibu yang kematian suami tidak sekali-kali meratap hiba bahkan sibuk mempersiapkan putera-putera mereka menjadi anggota Briged Al-Qassam.Dididik anak-anak agar Al-Quran penuh di dada,menjadi pembela agama Allah.Alangkah bertuahnya anak-anak yatim di negara kita mendapat sumbangan yang berlimpah ruah daripada para dermawan yang sangat prihtin.Nasib anak-anak yatim di Gaza menumpang kasih menerima takdir dengan penuh pasrah.Ibu ayah nantikan kami di syurga Allah!

   Daripada Muaz RA katanya,aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda,"Firman Allah Taala(Dalam Hadis Qudsi) orang-orang yang berkasih sayang kerana keagungan-Ku akan mendapat mimbar-mimbar daripada cahaya yang diingininya oleh para nabi dan syuhada."
                                                                                                                 (HR at-Tirmizi)

 .

Terima Kasih Allah


Tajuk   :   Catatan Harian

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri    27


Assalamualaikum.Salam Aidilfitri.

Orang yang paling bersyukur kepada Allah ialah mereka yang paling bersyukur kepada manusia.
                                                                                 
                                                                                            ( HR: Al-Baihaqi)

Terima kasih Allah kerana dengan belas kasih-Mu telah memilih aku untuk beriman kepada-Mu,
Terima kasih Allah kerana melimpahi rezeki-Mu yang maha luas kepadaku hamba yang kerdil ini
Terima kasih Allah kerana menganugerahkan kesihatan agar aku dapat beribadah kepada-Mu
Terima kasih Allah kerana mengurniakan aku keluarga yang bahagia buat penyejuk mata
Terima kasih Allah kerana menghadiahkan aku udara untuk aku bernafas
Terima kasih Allah kerana meminjamkan aku usia agar aku bisa bersyukur kepada-Mu

Sangat sedikit manusia berterima kasih atas apa yang telah Allah kurniakan kepada kita,namun manusia sering lupa dan bersungut apabila ditimpa musibah. Allah memilih kita menerima Iman daripada bilion manusia yang ada di muka bumi ini. Bayangkan andai kita tidak mendapat cahaya-Nya,apakah nasib kita pada hari Pembalasan? Tubuh kita akan dihumbankan ke dalam neraka yang panas menjulang.Nau'zubillah.Lantaran itu berbanggalah kita dengan hidayah yang diberi,peliharalah dengan sebaik-baiknya agar pengakhir hidup kita dalam Iman.

Seandainya rezeki ku berada di langit,Engkau turunkanlah.Seandainya di bumi Engkau keluarkanlah,Seandainya jauh Engkau dekatkanlah.Seandainya haram Engkau bersihkanlah.Seandainya sukar Engkau mudahkanlah. Rezeki yang Allah beri kepada kita melimpah ruah,tak pernah minta dibayar bahkan diberi secara percuma.Kekayaan,kesihatan,kebahagian,tidak mungkin dapat dikecapi tanpa izin-Nya.Gunakan rezeki yang diberi ini dengan beribadah kepada-Nya sebagai tanda terima kasih kita kepada Allah.

"Ya Tuhan kami,anugerahkanlah kepada kami dan isteri kami dan keturunan kami menjadi  penyenang hati kami dan jadikanlahh kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa."
Nikmat yang sangat indah apabila Allah kurniakan kepada kita keluarga yang beriman,anak-anak yang menurut kata,persekitaran yang damai.Ibarat hidup dalam syurga dunia yang penuh dengan kebahagiaan.Saling menyayangi dan sokong-menyokong sesama ahli keluarga.Inilah pemberian Allah yang hebat.Terima kasih Allah!

Setiap hari kita bangun pagi,sekali lagi kita dipinjamkan usia untuk menyedut udara yang Allah beri secara percuma.Pernahkah kita bayangkan satu pagi roh kita tidak kembali dan kita telah menjadi jenazah yang tidak punya apa-apa upaya walaupun untuk menghembuskan senafas udara pun.Allah yang Maha Berkuasa menentukan hidup atau mati kita apabila saatnya tiba. Oleh itu,bersyukurlah atas hadiah usia kerana kita diberi kesempatan untuk mencari kebaikan untuk dibawa ke alam Barzakh kelak.Ingatlah,dunia hanya sementara akhirat jua kekal selamanya.Usia yang ada jangan disia-siakan sebaliknya manfaatkan selagi masih bernyawa.

Terima kasih Allah atas segala-gala pemberian yang tidak diminta,namun,Rahim-Mu Maha Luas buat hamba-Mu yang lemah dan kerdil ini.






Tuesday, July 5, 2016

Selamat Tinggal Ramadan,Selamat Datang Syawal


Tajuk   :   Catatan Harian

Teks    :    Rasidah bt Sarmani

Entri   26

Assalamualaikum. Salam Ramadan.


Tika pena ini sedang menari-nari pada paparan maya ini,umat Islam di seluruh Malaysia sedang melalui hari terakhir Ramadan.Serasa baru semalan Ramadan bertandang dan esok Ramadan akan kembali. Dan ada rasa kesayuan saat melewati perpisahan ini.Kesedihan dan kepiluan tidak dapat disembunyikan pabila mengiringi pemergian Ramadan. Kedatangannya penuh rahmat dan damai.Kehadirannya membawa pahala berlipat kali ganda.Keberadaannya menyirami ketenangan pada setiap jiwa.Kunjungannya walau seketika mampu meninggalkan rasa rindu yang amat mendalam dan sukar untuk berpisah.Sebulan berpuasa bisa mendidik jiwa untuk bersabar dan istiqamah beribadah.Siang menahan lapar dan dahaga,malam berqiamulail menanti Al-Qadr.Janji Allah amat benar kepada hamba-Nya yang menghidupkan malam dengan ibadah yang ikhlas.Berbahagialah  umat Islam yang dermawan sepanjang Ramadan menyantuni anak yatim dan fakir miskin.Ramadan bulan memupuk ikatan silaturahim sesama saudara-mara dan sahabat handai.Bulan yang penuh barakah dianugerah Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW nabi akhir zaman.Selayaknya kita bersyukur kerana dipanjangkan usia melewati Ramadan dengan mengumpul pahala.Mana mungkin kita  melepaskan Ramadan tanpa mengikat janji.Moga tahun hadapan kita bertemu lagi.Tanpa rela tetapi dengan penuh redha lisan ini melafazkan Selamat Tinggal Ramadan,moga tenang beristirahat di hamparan peraduan.

Allahhu Akhbar,Allahhu Akhbar,Allahhu Akhbar berkumandang ke seluruh alam.Sehari lagi Syawal kan menjelang.Bulan kemenangan buat umat Islam yang telah mengerjakan ibadah puasa dengan penuh istiqamah.Bulan meraih kejayaan buat insan yang berlawan dengan hawa nafsu.Syawal disambut dengan penuh kesyukuran,Syawal dirai dengan semangat kesepaduan.Syawal merupakan keistimewaan kurniaan Allah,bulan kembali ke fitrah setelah umat Islam diampun semua dosa saat berjaya selesaikan ibadah puasa selama sebulan.Hadirmu Syawal dinanti dengan seribu debaran,bersua sanak saudara tika pagi raya, bertemu dengan sahabat handai yang telah lama berpisah.Terjalin silaturahim sesama insan.Yang jauh bertanya khabar,yang dekat ziarah-menziarahi,tersemai kasih sayang,terikat penyatuan.Barulah dunia aman damai.Dalam bergembira menyambut lebaran jangan lupa ibadah puasa sunat enam hari.

Hadis diriwayatkan oleh Muslim,Abu Daud,At-Tirmizi dan Ibn Majah.

Barang siapa berpuasa dalam bulan Ramadan,lalu diiringi dengan puasa enam hari bulan Syawal,bererti ia telah berpuasa setahun penuh.

Kesempatan yang masih ada dalam bulan Syawal ini marilah kita rebut sebanyak mungkin ibadah sebagai manifestasi madrasah Ramadan yang telah kita tinggalkan.Mudah-mudahan akan menjadi bekalan kita pada hari pembalasan kelak.Saya juga ingin memohon maaf andai ada bicara yang melukai dan menyinggung sahabat di luar sana.Kepada sahabat Kelas ABDR saya juga ambil peluang mengucapkan Selamat Hari Raya,semoga anda semua berada dalam peliharaan dan rahmat Allah

Thursday, June 23, 2016

Melahirkan Pemuda Al-Fateh



Tajuk    :   Catatan Harian

Teks     : Rasidah bt Sarmani

Entri    25

Assalamualaikum dan Salam Ramadan



                 

               Gambar Internet-Suasana mesra kanak-kanak di sebuah masjid di Turki

   Ramadan tiba lagi dan saya percaya para ibu bapa pasti menghadapi sedikit keresahan untuk menunaikan solat fardu dan tarawih di surau atau masjid.Lebih-lebih lagi,buat ibu-ibu muda pasti sukar untuk meninggalkan anak-anak yang masih kecil di rumah atau ditinggalkan dengan pengasuh.jadi,suka tak suka terpaksa membawa anak-anak mereka ke masjid. Kebiasannya,keadaan agak sedikit bising dengan jerit tangis anak-anak kecil yang inginkan perhatian.Hal ini menyebabkan para jemaah berasa kurang selesa lantaran ibadah terganggu menyebabkan rungutan terhadap ibu bapa yang membawa anak-anak ke masjid.Senario ini menggambarkan betapa kurang prihatin atau kurang mesranya jawatankuasa masjid terhadap anak-anak syurga yang belajar 'berjinak-jinak' ke masjid.Natijahnya,masjid-masjid sepuluh tahun akan datang hanya dikunjungi oleh warga emas yang sekadar menghabiskan usia di rumah suci Allah.Sedangkan anak-anak muda dek sudah biasa dilarang keberadaan mereka ke masjid sejak kecil lagi lebih selesa 'berjemaah' di jalan-jalan raya atau di pasar raya saat jemaah surau sedang beribadah.Sekiranya perkara ini berlarutan,siapakah harus dipersalah?

   Seharusnya pihak jawatankuasa masjid  bertindak menongkah arus dalam memaksimumkan imarah masjid.Bukan setakat tempat ibadah bahkan boleh dibangunkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi meraikan kehadiran kanak-kanak mahupun golongan remaja ke masjid.Tidak salah sekiranya di dalam ruang masjid disediakan sudut untuk anak-anak bermain sementara menunggu ibu bapa bersolat.Ibu bapa tidak lagi berasa bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka manakala para jemaah pula dapat menunaikan solat dengan lebih khusyuk,sedangkan si anak kecil boleh bermain walaupun berada di masjid.Sebagai inisiatif mendekatkan golongan remaja dengan aktiviti masjid tidak rugi sekiranya pihak jawatankuasa merancang pelbagai aktiviti umpamanya membina gelanggang futsal di pekarangan masjid,memberikan khidmat wifi secara percuma,mewujudkan ahli jawatankuasa dalam kalangan remaja sendiri sebagai latihan kerohanian. Dengan ini,anak-anak muda akan berjinak-jinak dengan program masjid apabila tuntutan fitrah mereka telah dipenuhi.lebih-lebih lagi,apabila pihak jawatankuasa masjid mengatur aktiviti susulan dengan melibatkan remaja dalam program ziarah,kembara bermotor,bantuan kemanusiaan atau apa sahaja program yang dapat memdekatkan diri mereka dengan Islam.Saya yakin kita tidak akan ketandusan barisan pelapis yang akan meneruskan legasi mengimarahkan masjid di negara kita.

   Pada zaman awal pembukaan kota Madinah sebagai bandar Islam pertama,Rasulullah SAW mengarahkan para sahabat membina masjid terlebih dahulu sebagai pusat tumpuan dan aktiviti kemasyarakatan.Masjid Nabawi ketika itu meskipun tidak seindah hari ini tetapi fugsinya amat aktif melahirkan pemuda-pemuda yang mempunyai pegangan akidah yang kukuh.Peranan masjid sebagai institusi pendidikan diteruskan sehingga zaman sahabat,tabiin sehinggalah ke zaman kini.Lantaran itu,masjid-masjid di negara kita seharusnya mengukuhkan peranan untuk melahirkan pemuda-pemuda hebat hasil acuan institusi ini sebagaimana peranan Sultan Murad II  menyediakan ketokohan dan kewibawaan anakandanya Sultan Muhammad Al-Fateh hasil didikan masjid sehingga berjaya menawan Kota Konstantinopel sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Rasulullah 800 tahun sebelum peristiwa penawanan tersebut.

Rasulullah SAW bersabda,

Konstantinopel itu akan ditawan oleh tentera Islam. Rajanya(penakluknya)adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.

 




.