Pages

Thursday, June 23, 2016

Damai yang hilang


Tajuk   :  Catatan Harian

Teks     :  Rasidah bt Sarmani

Entri      22

Assalamualaikum dan Salam Ramadan


Lagu kedamaian tiada kedengaran
Bumi yang merekah disirami darah
Kemelut melanda tiada kesudahan
Kemusnahan bermaharajalela
Yang lemah menjadi mangsa


Kemanusiaan telah lama hilang
Kini yang tinggal hanya ketakutan
Musnah kasih sayang dan persaudaraan
Tandus akhlak dan keimanan
Menyemai persengketaan

                           (Petikan nasyid 'Damai yang Hilang',(Rangkap 2 dan 5)- NowSeeHeart)

Hampir seminggu saya menyepi daripada mencatatkan apa-apa info lantaran bulan Ramadan yang turut mengubah rutin harian saya sehingga saya sendiri gagal mendisiplinkan diri untuk konsisten menulis.Salah sendiri! Pada kesempatan ini saya menggantikan' minyak hitam' bertujuan menaiktaraf 'booster'dalam diri saya supaya tahan lasak dan mempunyai energi yang mantap walau apa jua cabaran yang melanda.

   Sempena bulan yang penuh keberkatan ini saya berminat berbicara mengenai 'damai' yang menjadi hak setiap individu yang bernafas. Damai dapat didefinasikan sebagai tenteram,tenang ,tidak berperang atau bermusuhan.Setiap insan tidak mengimpikan kekayaan sekiranya dirinya terancam,seseorang insan juga tidak mengangan-angankan popular andai dirinya dalam bahaya. Persoalan yang timbul,mengapakah manusia sering menjadi penghukum sehingga mudah melakukan perbuatan di luar batas kemanusiaan sehingga mengancam keselamatan orang lain? Tepuk dada tanya iman.

   Baru-baru ini,sekali lagi hati saya digores,ibarat disiat-siat sebilah pisau yang tajam setelah membaca akhbar mengenai dua peristiwa yang menyayat hati.Hati saya bertanya di manakah hilangnya rasa ihsan sesama manusia waima singa yang ganas juga mempunyai sifat kasih sayang terhadap anaknya Saya ingin kongsi sebuah hadis mengenai nilai kasih sayang sesama makhluk di muka bumi ini.

Rasulullah SAW pernah bersabda,Tuhan menciptakan rasa kasih sayang itu 100 bahagian(sebanyak) 99 bahagian daripadanya disimpan-Nya di sisi-Nya(Hanya) satu bahagian (kasih sayang) sahaja yang diturunkan-Nya ke dunia. Dengan kasih sayang satu bahagian(itulah) para makhluk berkasih sayang sehingga kuda pun mengangkat kakinya kerana takut anaknya terpijak.

   Iktibar daripada hadis di atas, dapat kita simpulkan bahawa Allah yang Maha Berkuasa lebih mempunyai sifat Rahim daripada kita yang hanya makhluk hina dan bergelumang dengan noda. Renungkan hadis tersebut agar kita dapat menyucikan jiwa kita dalam bulan yang ,mulia ini menjadi hamba-Nya yang kaya dengan sifat ihsan.

   Berbalik kepada peristiwa yang saya sentuh sebentar tadi iaitu mengenai kedangkalan seorang pembantu rumah yang disyaiki penyebab kematian seorang warga emas yang tidak berdaya menjadi mangsa rompakan. Warga emas tersebut dipercayai mati akibat dicekek sebelum mukanya diselubung dengan sehelai kain.Cuba kita fikirkan perasaan anak-anak atau waris apabila melihat ibu tua mereka diperlakukan sebegitu rupa. Cuba kita fikirkan juga perasaan anak-anak atau waris menjalani ibadah puasa dan lebaran tanpa orang tersayang.Sudah hilangkah sifat kasih sayang yang Allah campakkan dalam hati manusia? Tidak takutkah pelaku jenayah dengan hukuman Allah yang  Maha Adil semasa hari pembalasan kelak? Dalam hal ini saya hilang kata-kata untuk disusun menjadi jawapan yang dapat diterima akal. Peristiwa yang kedua juga tidak kurang penangannya kepada kita insan yang waras. Kali ini mangsanya kanak-kanak yang juga tidak berdaya untuk berbuat apa-apa. Kes pedofil warga British Richard Huckle,30 tahun yang berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup akibat kesalahan mencabul dan membuat serangan seks terhadap kanak-kanak.Huckle didakwa atas 91 kesalahan termasuk pencabulan ke atas 23 kanak-kanak yang berasal dari Kuala Lumpur. Kejadian ini dilakukan ketika dia bertugas sebagai guru tuisyen mengajar kanak-kanak miskin di sekitar ibu kota. Sekali lagi saya menarik nafas panjang, begitu banyak kesalahan yang dilakukan baru sekarang dibongkar dan dihukum. Sungguhpun dihukum penjara seumur hidup tidak dapat menebus kesalahan yang dilakukan lantaran maruah kanak-kanak yang menjadi mangsa telah dicarik-carik oleh  tangan manusia bertopeng haiwan 'buas'.

   Sebenarnya kejadian  jenayah yang berlaku di negara kita sehingga meragut kedamaian warganya berlaku saban hari,cuma tidak terdaya untuk saya paparkan di sini. Cukuplah dua peristiwa tersebut sudah membuatkan kita terkedu sehingga tidak mampu untuk berkata-kata. Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada warga yang bertanggungjawab,marilah kita kembalikan kedamaian yang pernah kita kecapi dengan menguatkan institusi keluarga dan kemasyarakatan. Marilah kita berpegang teguh kepada agama serta menghormati dan menghargai orang lain yang punya hak untuk menjalani kehidupan yang selamat dan selesa.Biarkan anak-anak cucu kita bebas untuk menjalani zaman kanak-kanak mereka dengan puas tanpa rasa takut-takut. Biarkan mereka menikmati keindahan dan kedamaian bumi yang bertuah ini tanpa ada sebarang sekatan bahaya.Biarkan mereka mempunyai rasa percaya kepada orang dewasa yang berperanan melindungi mereka. Barulah negara kita akan lahir suasana 'baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur'   











No comments:

Post a Comment