Pages

Wednesday, April 13, 2016

Iktibar dari Sebatang Pohon


Tajuk   :  Perkongsian Ilmu Agama - Iktibar dari Pohon

Teks    :  Rasidah bt Sarmani

Entri    4

Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah.

Sedu sedan itu bak ratapan si kecil
Yang rindu belaian dan perhatian
Yang mendambakan kasih dan sayang
Dari seorang insan yang penyayang

Tangisan itu dari sebatang tamar
Yang sebelumnya menjadi mimbar
Sandaran Rasul tika menyampai khutbah
Diganti mimbar baru kerana keuzurannya.

Manusia,haiwan,tumbuhan dan makhluk Allah yang lain dicipta mempunyai manfaat dan peranan masing-masing.Manusia merupakan sebaik-baik ciptaan Allah telah dipilih menjadi khalifah di muka bumi ini untuk memakmurkan alam yang dikongsi bersama-sama makhluk lain.Pada kali ini saya ingin berkongsi info mengenai sebuah buku yang menarik untuk dibaca iaitu 'Kisah Pokok Daripada Al-Quran dan Hadis'karya Adi Mustika terbitan Kemilau Publika Sdn.Bhd.Buku ini agak istimewa kerana penulis berjaya mengupas dengan begitu terperinci mengenai pohon sesuatu item yang jarang kita berikan tempat dalam minda sedar kita.Dengan menelaah buku ini dapat memberi ibrah kepada saya supaya tidak berasa bangga menjadi makhluk manusia yang diangkat menjadi khalifah untuk mengharmonikan alam. Hal ini kerana pohon walaupun peranannya dipandang kecil oleh kita tetapi fungsinya amat besar sehingga menjadi sebutan dalam Al-Quran dan hadis.

   Saya ingin memetik beberapa info yang terdapat dalam buku ini. Pohon,tumbuhan dan tanaman merupakan Kitab al-Hayah(kitab kehidupan) yang tidak akan habis hikmah-hikmah-Nya.Lebih menarik apabila pohon dikaitkan dalam lembaran kehidupan para nabi dan rasul.nabi Adam dikeluarkan dari syurga kerana makan buah dari pohon yang dilarang. Nabi Musa merupakan gabungan nama antara 'Mu'(pohon) dan 'Sa' (air) setelah ditemui oleh Asiah bayi tersebut di pinggir sungai di bawah sebatang pohon.Seterusnya setelah diangkat menjadi Rasul,baginda diberi mukjizat yang berupa tongkat kayu.Manakala, Nabi Noh pula diperintah oleh Allah membina kapal yang besar menggunakan kayu yang sangat banyak.Nabi Zakaria pula terbunuh apabila tubuhnya digergaji ketika bersembunyi di dalam batang pohon besar.Nabi Isa pula dilahirkan di bawah pohon kurma ketika Allah perintahkan ibunya Maryam untuk makan buah kurma ketika sakit hendak melahirkan Nabi Isa. Sehubungan dengan itu,dapatlah kita lihat hikmah ketuhanan di sebalik penciptaan pohon yang berguna untuk kehidupan insan.

   Satu hari Abu Hurairah sedang bercucuk tanam lalu ditegur oleh Rasulullah SAW,"Wahai Abu Hurairah mahukah engkau aku tunjukkan kepadamu satu tanaman yang lebih baik daripada yang kau tanam?" "Tanamkan dalam diri mu amalan iaitu perbanyak ucapan Subhanallah Walhamdullillah Wa La Ilaha Illallah Allah Akhbar. Akan ditanamkan untukmu satu pohon kurma di syurga daripada setiap satu tasbih yang diucapkan."

   Allah mengibaratkan manusia beriman seperti pohon yang berakar kukuh laksana amal yang ikhlas dan tidak menyekutukan Allah manakala manusia kafir itu seperti pohon yang tidak memiliki akar,tidak memiliki dahan dan tidak berbuah langsung tidak memberi apa-apa manfaat kerana tidak beriman kepada Allah.

Diharapkan sedikit perkongsian ilmu ini dapat memberi inspirasi kepada pembaca untuk menjadi manusia yang berjaya dunia akhirat. Insya-Allah

Firman Allah,

"Masihkah mereka berdegil dan tidak memperhatikan bumi,berapa banyak kami tumbuhkan padanya daripada pelbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat."

                                                                                    ( Asy-Syuara' :7)
   



No comments:

Post a Comment