Pages

Tuesday, April 19, 2016

Fenomena Dr Zakir Naik


Tajuk   :   Catatan Harian

 Teks   :   Rasidah bt Sarmani

 Entri    6.

 Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah.

Apabila aura bersih dan bersinar semua tenaga-tenaga positif akan mudah menghampiri kita. Ini kerana aura positif akan menarik perkara-perkara positif. Segala ilmu akan mudah diterima kerana kita menjadi lebih tenang dan bersedia menghadapi cabaran - Kesan aura.

   Kali ini saya ingin berbicara mengenai satu fenomena yang sedang melanda negara kita mutakhir ini.Seolah-olah isu ini dapat meredakan situasi tegang yang menguji kesabaran rakyat Malaysia menghadapi bahana El-Nino. Entah bagaimana boleh meletus fenomena ini sesuatu yang tidak dijangka tiba-tiba sahaja meledak bak bom jangka. Namun,kehadiran tokoh ini memberi sedikit harapan kepada semua pihak ibarat sang pengembara menemui air di tengah padang pasir yang tandus dan gersang.

   Susuk tubuhnya kurus tinggi lampai,suaranya lantang,bual bicaranya sangat menyentuh dan menyentap sesiapa sahaja yang mendengarnya.Yang nyata wajahnya tidak sama sekali kacak seperti pelakon Korea yang cun dan sado. Namun,tiba-tiba sahaja popularatinya melonjak sehingga bukan sahaja ingin didampingi oleh golongan muda bahkan warga tua juga berasa teruja ingin mengenalinya. Beliau yang dimaksudkan ialah Zahir Abdul Karim atau lebih dikenali sebagai Zakir Naik.

   Saya berminat untuk berkongsi info mengenai latar belakang Dr Zakir Naik. Bak kata orang tua-tua,tak kenal maka tak cinta,sudah kenal maka teruja,sudah dekat maka mesra,sudah mesra maka setuju sahaja. Buat saya tidak rugi kita mengenali tokoh ini yang namanya dijulang seantaro dunia. Dr Zakir Naik diputerakan pada 18 Oktober 1965.Usianya baru mencecah setengah abad tetapi jasa beliau pada agama sudah begitu sebati dalam jiwa. Ketika mudanya  beliau telah melanjutkan pengajiannya ke Universiti of Mumbai,pengkhususan dalam bidang kedoktoran Profesion yang amat berbeza dengan karakternya sebagai pendakwah tersohor abad ini. Pada tahun 1991 beliau telah mengambil keputusan nekad untuk berhenti sebagai doktor perubatan dan beralih angin dalam bidang dakwah. Keputusan yang diambil lebih banyak dipengaruhi oleh kekagumannya kepada gurunya yang merupakan pendakwah yang terkenal ketika itu iaitu Ahmad Deedat. Pernah Ahmad Deedat berkata kepada Zakir Naik,"Aku berdakwah untuk menyampaikan risalah Islam ini selama 40 tahun sedangkan kamu hanya memerlukan empat tahun sahaja untuk sampai ke puncak setara dengan aku." Ternyata Zakir Naik seorang yang hebat dan genius anugerah Pencipta-Nya untuk kita semua. Ibarat satu dalam seribu,mutiara yang bersinar walaupun terbenam dalam lumpur yang dalam. 

   Dr Zakir Naik bukan sahaja hafal al-Quran dan hadis Bukhari Muslim bahkan beliau juga hafal kitab-kitab agama lain antaranya kitab Veda rujukan penganut Hindu. Beliau merupakan tokoh yang mahir dalam hal ehwal perbandingan agama sehingga kerap menghadiri program perdebatan dengan tokoh-tokoh agama lain. Sesi ceramah dan dialog yang dianjurkan oleh Peace TV sering dihadiri oleh mereka yang non-muslim bahkan banyak juga yang bersyahadah setelah berpuas hati mendengar kupasan yang detail hasil dialog yang diadakan.Sangat besar pengorbanan beliau menginfaqkan diri dan keluarga kepada agama yang mulia ini. Dalam tempoh 20 tahun penglibatannya dalam dakwah telah lebih 2000 sesi ceramah diadakan. Hebatnya Dr Zakir Naik apabila beliau berjaya mengukir rekod dunia semasa menyampaikan ceramah pada Mei 2012 di Kishangani,Bihar.Program tersebut dihadiri lebih sejuta orang dan menjadi salah satu perhimpunan terbesar dikendalikan oleh seorang penceramah sahaja. Oleh hal demikian sudah selayaknya beliau diberi penghargaan dan pengiktirafan peringkat antarabangsa antaranya King Faisal International Prize of Services to Islam 2015, 10 Guru Spritual Terbaik di India,100 Orang Islam Terkuat 2009 bahkan penghargaan oleh kerajaan Malaysia sebagai Tokoh Maal Hijrah 2013.

   Oleh itu keberadaan beliau di Malaysia seharusnya diberi ruang seluas-luasnya untuk menyebarkan dakwah kepada umat Islam itu sendiri juga kepada non-muslim.Mudah-mudahan aura beliau dapat menarik minat kita kepada agama seterusnya kita berlumba-lumba membuat persediaan yang secukupnya sebelum kita dipanggil pulang oleh Ilahi.
Salam pamitan! Hayatilah serangkap puisi ini mudah-mudahan mengetuk kesedaran.

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala.

                                              (Tetamu Senja- A.Samad Said)




No comments:

Post a Comment