Pages

Thursday, April 28, 2016

Buta Sejarah VS Celik Sejarah


Tajuk   :   Catatan Pengalaman

Teks    :    Rasidah bt Sarmani

Entri    8

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah.

"Mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya."  (George Santayana)

Pada kali ini saya berminat untuk berkongsi pengalaman semasa mengajar mata pelajaran Sejarah di salah sebuah sekolah swasta di Seremban. Saya fikir hampir majoriti guru mengajar mata pelajaran ini akan menghadapi masalah murid-murid yang mempunyai pandangan negatif terhadap pelajaran Sejarah. Murid-murid saya membuat alasan bahawa mata pelajaran ini membosankan dan susah kerana mereka terpaksa belajar mengenai peristiwa yang telah berlaku ratusan tahun lalu. Seolah-olah tak masuk akal dan tidak relevan dengan dunia  yang serba maju sekarang.

   Sebagai guru saya berpendapat bahawa mata pelajaran Sejarah amat penting dipelajari oleh murid-murid zaman sekarang memandangkan mereka merupakan generasi pewaris tampuk pemerintahan yang sedia ada.Sebagaimana yang dinyatakan oleh George Santayana, seorang ahli falsafah terkenal,"Mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya."  Dengan sikap buta sejarah dan tidak mengambil iktibar peristiwa lalu, tidak mustahil negara ini akan dijarah oleh kuasa  penjajah bahkan keadaannya mungkin  lebih teruk lagi. Oleh itu,saya menyahut cabaran menyemai minat mendalam murid-murid akan mata pelajaran Sejarah biarpun mereka membuat seribu alasan.

   Bertitik tolak daripada masalah yang timbul maka saya telah mengambil beberapa langkah untuk menambah baik pengajaran dan pemelajaran subjek ini. Pertama,saya mulakan dengan membuat soal selidik secara rambang mengenai kebarangkalian minat murid-murid terhadap mata pelajaran Sejarah. Seperti yang dijangka,hampir 95% menyatakan tidak minat mereka untuk mempelajari Sejarah.Wah,saya terkedu!Bagaimana saya hendak mula mengajar sedangkan awal-awal lagi murid-murid ini tidak bersemangat. Sudah terbayang-bayang dalam minda saya respon mereka semasa belajar Sejarah,pasti ada yang melancong ke planet Marikh atau mungkin juga ada yang mencapai tahap khusyuk yang luar biasa semasa belajar (tidur).Saya perlu mencari formula yang berkesan untuk menyemai minat murid-murid generasi Y terhadap mata pelajaran Sejarah. Hari kedua mengajar, saya menggunakan pendekatan motivasi dengan menyentuh jiwa nurani murid-murid, mengubah persepsi mereka terhadap subjek Sejarah. Panjang juga ceramah saya hingga akhirnya kesedaran dan minat mereka mula berputik,tugas saya seterusnya menyiram dan membajai agar benih yang disemai akan membuahkan hasil yang lumayan.

   Langkah kedua menyusul,memandangkan murid-murid ini remaja belasan tahun (13-15 tahun) mereka suka berkawan dan bersaing maka saya bentuk kumpulan pembelajaran dalam kelas. Setiap kali mengajar saya akan mengehadkan peranan saya sebagai pengajar bahkan saya bertindak sebagai pemudah cara dan melibatkan murid-murid secara keseluruhan dalam kelas. Saya mengajar Sejarah dengan menggunakan teknik audio visual dan kurangkan pergantungan sepenuhnya kepada buku teks. Selain itu, saya menekankan aktiviti kuiz,perbentangan kumpulan membincangkan tajuk,permainan Sejarah,forum mengenai tokoh Sejarah,buku skrap dan pameran di dalam kelas. Teknik pembelajaran ini ternyata berkesan bahkan dapat meningkatkan daya kreativiti murid-murid semasa berbincang dalam kumpulan bahkan mereka telah mula celik Sejarah .Setiap bulan saya akan memilih kumpulan terbaik berdasarkan markah terkumpul dan memberi mereka hadiah sebagai motivasi kepada kumpulan tersebut.Daripada buta Sejarah,murid-murid saya telah mula teruja dan obses untuk belajar subjek ini. Hasilnya,apabila diadakan ujian atau peperiksaan keputusannya tidaklah menghampakan. Saya bersyukur sekurang-kurangnya usaha kecil saya ini dapat membantu melahirkan golongan remaja yang cinta dan sayang akan negara,setidak-tidaknya dapat mengurangkan masalah sosial dalam kalangan remaja.

"Bangsa yang maju bangsa yang sayang akan agamanya,bangsa yang kuat bangsa yang berilmu,bangsa yang dihormati bangsa yang memelihara sejarahnya." -Penulis.

No comments:

Post a Comment