Pages

Sunday, May 15, 2016

Berlari ke bintang.


Tajuk   :   Ulasan Buku

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri    13

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah.

Jika kau fikirkan kau boleh
Kau hampiri melakukan
Jika kau fikirkan ragu-ragu
Usahamu tidak menentu.

Saya berminat untuk mengulas sebuah buku yang bertajuk 'Rosyam Nor Impian Jutawan Budak Setinggan.' hasil karya Mohamed Nor Syamsuddin. Buku ini diterbitkan oleh Suhan Publication.Buku setebal 200 muka surat ini amat sesuai dibaca oleh semua peringkat masyarakat terutama golongan muda yang mempunyai cita-cita untuk membina kerjaya dalam keadaan negara sedang mengalami kemelesetan ekonomi.Buku ini juga mempunyai laras bahasa yang baik memandangkan dipantau oleh editor Sharifah Abu Salem yang terkenal sebagai penulis skrip yang berjaya menghasilkan karya yang sangat berkualiti

   Saya menyarankan agar pencinta buku membaca karya sulung Rosyam Nor ini memandangkan sarat dengan iktibar dan inspirasi serta perjalanan jatuh bangun seorang bintang dalam dunia seni lakon sehingga beliau menjadi usahawan berjaya. Sebelum menyelongkar lebih jauh khazanah yang terdapat dalam buku ini,saya berminat untuk membedah buku ini dalam tiga peringkat atau fasa iaitu fasa Legau anak setinggan,fasa mengejar impian dan fasa menuju puncak kejayaan.

Fasa 1   :   Legau anak setinggan

Boleh saya ringkaskan fasa ini dalam bentuk frasa berikut, Legau anak setinggan,membina impian mengorak harapan,esok nasibnya belum tentu makan,rumahnya beratap rumbia berdinding papan,ke sekolah tidak mengharapkan kejayaan,cukup sekadar teruskan perjalanan,sekadar mampu mencorak harapan,untuk meneruskan kehidupan Itulah dunia seorang Legau.Susah payah yang dilalui di kawasan setinggan Kampung Kerinchi tidak menghalang untuk mengimpikan kesenangan.Hal ini diluahkan sendiri oleh penulis 'Mimpiku tentang kejayaan sentiasa ada di saat aku memandang rumah besar di Bukit Pantai.'Sebagaimana anak-anak setinggan,Legau juga tidak dapat lari daripada kerja berat untuk mengandar besen yang berisi air bagi memenuhkan tong dram di rumahnya. Sesungguhnya,kepayahan hidup yang dilalui oleh Legau  menjadi pemangkin kejayaannya pada masa depan kerana dia belajar daripada pengalaman yang sebenar dalam kehidupannya.

Fasa 2   :   Mengejar impian

Sebagai anak setinggan,Mohamed Nor mengenal erti berdikari.Dia tidak menyerahkan nasibnya kepada takdir bahkan dalam usia seawal 13 tahun dia telah menggunakan kudratnya untuk melakukan apa sahaja kerja untuk sesuap rezeki buat keluarganya. Dia mengambil upah mengecaj bateri yang digunakan oleh penduduk setinggan untuk menerangi rumah mereka pada waktu malam. Bergelumang dengan sampah sarap semata-mata mencari sisa buangan yang boleh dijual Di sebelah petang atau cuti sekolah,dia akan bekerja di kedai runcit. Pendek kata sebagai anak setinggan Mohamed Nor tidak ada pilihan untuk tidak bekerja. Meskipun tidak cemerlang dalam akademik,tidak ada kecewa atau putus asa dalam kamus hidupnya bahkan dia sentiasa mencuri peluang untuk berjaya dalam kokurikulum. Angan-angan untuk menjadi pelakon akhirnya menjadi realiti apabila ditawarkan oleh Hussein Abu Hassan untuk berlakon dalam filem 'Gila-gila Remaja' Namun,zaman itu berlakon masih belum mampu untuk menjadi kaya. Mohamed Nor terpaksa menganggur setelah tidak mendapat lagi tawaran berlakon untuk tempoh waktu yang lama.
Terpaksa bekerja sebagai tukang cat,jual nasi lemak dan apa sahaja kerja yang menghasilkan duit dan halal.

Fasa  3   :   Menuju puncak kejayaan

Setelah memulakan langkah pertama,Mohamed Nor tidak pernah memandang ke belakang lagi. Sekiranya tiada tawaran berlakon dia akan bekerja apa sahaja di syarikat perfileman Pansha yang benyak menyumbang kejayaannya dalam dunia lakonan. Cuci tandas,mop lantai,lap meja apa sahaja yang diarah tidak pernah dibantah. Dia lebih rela bekerja dari bawah sambil mengintai-intai untuk belajar dan memerhati gelagat,tabiat,sikap serta apa yang disukai oleh produser,pengarah dan kru.
Dia memasang angan-angan untuk menjadi pelakon terkenal satu masa nanti. Akhirnya,angan-angan Mat Jenin menjadi kenyataan apabila  Mohamed Nor menjadi pelakon dan dikenali sebagai ROSYAM NOR. Pelbagai usaha dan strategi yang dirancang oleh beliau untuk duduk sebaris dengan pelakon terkenal yang sedia ada. Kerja kerasnya berbaloi apabila menerima pelbagai anugerah berprestij  sebagai penghargaan dan pengiktirafan atas kejayaan beliau sebagai anak seni sepanjang tahun 1997 hingga 2014. Pada usia 30 tahun,Rosyam telah menerajui Syarikat Suhan Movies & Trading. Berbekalkan kesusahan hidup sejak kecil,Rosyam cekal membangunkan syarikatnya hingga berjaya membangunkan beberapa lagi syarikat antaranya Suhan Post menjalankan kerja-kerja pos produksi filem dan drama. Suhan Tech Solution membekalkan teknologi dan software perniagaan,Suhan Publication yang menerbitkan bahan bacaan.Suhan Agro mengambil bahagian dalam pengurusan perladangan seterusnya Suhan Biotech menguruskan kajian hasil dari ladang. Siapa sangka anak setinggan boleh berjaya menjadi usahawan dan jutawan terkenal. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil memberi hak kepada yang berhak. Usaha yang tidak sia-sia telah membuahkan hasil yang sangat manis untuk dikenang. Tahniah Rosyam Noor!

'Andai suatu hari aku telah pergi bertemu Ilahi,kirimkan Al-Fatihah buat aku di sana.'-Rosyam Nor

No comments:

Post a Comment