Pages

Wednesday, May 18, 2016

Encik Tuxedo !


Tajuk   :   Catatan Pengalaman

Teks    :    Rasidah bt Sarmani

Entri    15.

                       Manusia yang sempurna ialah mereka yang bertaqwa dan mentaati-Nya.


Sepanjang menyusuri kerjaya sebagai guru banyak pengalaman yang saya lalui.Ada pengalaman yang mengembirakan serta menghiburkan membuat saya tersenyum sendirian. Ada juga pengalaman yang mengguris dan meresahkan fikiran membuatkan saya semakin dewasa menangani pelbagai konflik. Namun,saya serahkan kepada takdir dan meneruskan perjalanan Dalam kesempatan ini,saya ingin berkongsi pengalaman semasa mengajar tuisyen pada tahun 2013. Murid saya ini amat istimewa,selama ini saya belum ada pengalaman mendapat murid seperti ini. Dia banyak mengajar saya bersyukur atas apa yang ada.

   Muhammad Farhan (bukan nama sebenar) berusia 15 tahun dan bakal mengambil PMR. Belajar subjek Sejarah dan Bahasa Melayu dengan saya. Pada awalnya,saya anggap Farhan seperti murid-murid saya yang lain tetapi saya dapat mengesan ada kelainan pada diri Farhan berbanding remaja yang seusia dengannya. Persoalan ini terjawab apabila ibu Farhan telah memaklumkan bahawa anaknya penghidap autisme. Saya menelan air liur dalam hati tuhan sahaja yang tahu. Saya bukan memilih tetapi saya tidak ada pengalaman mendidik anak istimewa seperti ini. Setelah mendapat sedikit info daripada ibu Farhan tentang perlakuan anaknya,saya cuba dapatkan maklumat mengenai pesakit autisme melalui internet. Autisme merupakan gangguan psikiatri berhubung masalah dalam komunikasi dan kemahiran sosial sama ada perkembangan bahasa yang lambat serta sukar memahami persekitaran. Penghidap autisme juga suka bersendirian,mereka tidak suka menjalinkan hubungan dengan orang lain dan gemar hidup dalam dunia sendiri. Setelah membaca info tersebut pada awalnya ada rasa sesal kerana setuju menerima Farhan sebagai murid saya. Bukan apa saya bimbang tidak dapat mengajarnya dengan berkesan. Namun,jauh di sudut hati saya cepat-cepat menyangkal perasaan tersebut dan menyahut cabaran untuk mengajar Farhan. Barulah cikgu mithali namanya !

   Hari pertama kedatangan Farhan membuatkan hati saya berdebar-debar. Tetapi setelah melihat wajah Farhan saya mula rasa lega. Fizikalnya sempurna,boleh memberi salam dengan tertib dan menerima arahan dengan baik semasa saya minta dia duduk di tempat yang disediakan.Persepsi saya terhadapnya berubah. Tiba-tiba Farhan mengajukan soalan kepada saya,"Cikgu,esok boleh tak saya pakai baju texedo semasa datang ke kelas cikgu?" Terperanjat saya mendengarnya. Wah,inilah penangan murid autisme saya ! Saya buat-buat biasa lalu menjawab soalan Farhan walaupun dalam hati Tuhan sahaja yang tahu betapa kelakarnya soalan Farhan. "Mana boleh pakai baju texedo,pergi tuisyen pakai baju biasa sahaja,kalau nak pergi majlis makan malam barulah boleh pakai baju tuxedo." Jawab saya dengan penuh ikhlas. Pada wajah Farhan saya dapati dia menerima jawapan saya dengan baik.Semasa saya cuba mengenali diri Farhan dengan lebih dekat saya dapati dia kurang berminat untuk menjawab soalan saya bahkan leka dengan pen dan kotak penselnya. Saya bersabar memang sikap penghidap autisme terlalu asyik dengan sesuatu yang dia gemari dan tidak suka dengan pertanyaan orang lain.

   Semasa saya mengajar,saya lihat Farhan boleh fokus cuma sekali-sekala dia akan terbabas juga senyum sendirian atau bercakap-cakap dengan perlahan. Saya tidak membiarkan hal tersebut berlarutan tetapi saya akan tegur dan ingatkan bahawa dia sedang belajar dengan saya jadi kena fokus semasa belajar. Farhan saya dapati gemar dengan subjek Sejarah.Hal ini saya menggunakan kaedah audio visual,nota yang diberi ada carta atau ditulis dengan marker berwarna-warni. Nampaknya Farhan sangat teruja menyalin nota yang mempunyai gambar carta dia sanggup menyalin seberapa banyak nota yang diberi,Itu kelebihan Farhan kalau nak dibandingkan dengan murid-murid saya yang sempurna malas salin nota. Farhan seorang yang sangat berani dan berterus-terang. Satu hari ada beberapa pekerja kontrak sedang membuat kerja mengubah suai dapur rumah saya. Sesampai sahaja Farhan terus memberitahu saya,"Cikgu saya nampak ada orang menghisap rokok di rumah cikgu,"Serius suara Farhan dan belum sempat saya tahan dia telah pergi ke kumpulan pekerja tersebut.Seminit kemudian dia kembali lalu saya bertanya apa yang dia telah lakukan.Dia memberitahu saya bahawa dia telah membuat isyarat tidak merokok kepada pekerja tersebut. Apa-apa lah Farhan,itu sahaja yang mampu saya ucapkan. Terlalu tinggi tanggungjawab sosialnya.

   Ketika mengajar Farhan,saya sentiasa berhati-hati,berwaspada dan kadang-kadang tertekan. Bukan saya tak sanggup mengajar Farhan tetapi saya sering bimbang sekiranya dia bertindak di luar kawalan dan gagal saya tangani. Sangkaan saya memang ada betulnya. Ada kalanya anak saudara saya akan datang dan mereka akan bermain,bergurau atau bergaduh. Suara mereka melantun ke bilik tuisyen. Tiba-tiba Farhan menjerit "Diam" dengan suara yang kuat. Mukanya merah,dia menghentak meja. Kami semua terperanjat apa lagi saya yang berada di depannya.Saya tenangkan diri saya terlebih dahulu lalu menegurnya,"Farhan,ini rumah cikgu Farhan tak boleh buat begitu. Kalau Farhan menjerit lagi Farhan boleh balik jangan datang belajar dengan cikgu lagi." Saya tegaskan suara saya dan memandang tepat ke wajahnya. Sebenarnya saya buat serangan psikologi kepadanya,walaupun perasaan saya sendiri bimbang sekiranya saya tidak dapat mengawal kemarahannya. Alhamdulillah,wajah Farhan kembali seperti sedia kala seolah-olah tidak berlaku apa-apa pun. Ah,lega! saya pun terus mengajarnya dan mulai saat itu juga saya ingatkan anak-anak buah saya jangan buat bising semasa Farhan belajar dengan saya.

   Sungguhpun tindakan Farhan kadang-kala sukar dijangka,tetapi Farhan mempunyai hati yang mulia. Semasa mengajar saya akan menggunakan laptop dan masalahnya laptop saya ni dah nazak,skrinnya dah terkopak. Semasa sedang belajar,Farhan menyuarakan hasrat hatinya,"Cikgu,lepas PMR ni saya nak bekerja di kedai bapa saudara saya,saya nak kumpul duit." "Untuk apa Farhan bekerja ?" Soal saya bertujuan menguji hasrat murninya untuk mengumpul duit."Saya nak kumpul duit banyak-banyak sebab saya nak beli dan gantikan laptop cikgu yang dah rosak tu."Terperanjat saya dengar jawapannya."Farhan,tak perlu belikan laptop untuk cikgu tau,cikgu ada duit nanti cikgu beli sendiri." Tukas saya kerana bimbang kalau dia merealisasikan hasratnya.Walaupun dia tidak sempurna tetapi jiwanya sangat ikhlas.Inilah istimewanya Farhan,Allah sayang padanya.Saya perhatikan Farhan seorang yang genius. Dia boleh beritahu saya mengenai teknologi terkini berkaitan komputer atau sains dengan baik. Dia seorang murid yang pengingat. Dia juga boleh bercerita dengan saya mengenai perkembangan politik negara. Siapa boleh sangka seorang remaja autisme boleh membina impian dan cita-cita.

   Saya sering berdoa agar Farhan akan berjaya dalam PMR mengikut kemampuannya. Mudah-mudahan dia juga boleh menyesuaikan dirinya dalam khalayak orang ramai. Paling penting dia akan kekal menjadi remaja muslim yang taat pada Allah. Hubungan saya dengan Farhan terputus setelah dia selesai menjalani PMR. Setelah keputusan PMR diumumkan,ibu Farhan hantar pesanan ringkas menyatakan Farhan dapat gred B dalam Bahasa Melayu, Dapat gred C dalam Sejarah. Bagi saya keputusan yang Farhan dapat itu sudah dianggap terbaik buat insan sepertinya. Ada remaja yang sempurna di luar sana gagal dalam PMR. Di mana silapnya ? Sekiranya Farhan dapat baca blog ini ingin saya sampaikan pesanan saya kepadanya. "Encik Tuxedo, jalanmu di depan masih jauh,tak perlu kamu patah ke belakang kerana di depan terbentang peluang yang luas untuk insan seperti kamu. Bukan kah Allah itu Maha Adil. Terima kasih Allah kerana memberi peluang untuk saya menambah pengalaman yang bermakna dalam hidup ini.

No comments:

Post a Comment