Pages

Friday, May 27, 2016

Iktibar dari Makhluk Buta


Tajuk   :   Catatan Harian

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri    17

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah.


Baru-baru ini saya telah meluangkan masa untuk mengemas bilik tidur.Adakalanya saya gemar menukar kedudukan perabot dalam bilik saya sekurang-kurangnya sebulan sekali. Dengan menggunakan kudrat yang ada saya mengubah katil dan almari solek .Tinggal almari buku sahaja yang memang berat untuk ditolak. Dengan tenaga yang masih bersisa saya usahakan untuk menolak almari tersebut namun saya terdengar satu bunyi 'crackk' seolah-olah ada kayu yang patah. Setelah saya perhatikan betul-betul keadaan almari. Ah, sudah sah saya syak ada penghuni yang tidak diundang menghuni almari saya dengan begitu enak dan santai ! Saya gunakan deria yang sedia ada untuk menyiasat dengan teliti apa kecederaan yang dialami oleh almari saya. Rupa-rupanya makhluk buta telah bersarang di dalam almari buku saya.

   Saya mula mengatur rancangan pembasmian habis-habisan dengan berbekalkan plastik hitam dan ubat sembur serangga saya membuka pintu almari dengan berhati-hati. Tanpa belas kasihan saya terus sembur racun serangga dengan rakus dan perasaan marah dengan makhluk penganggu yang sesuka hati menyewa almari buku saya. Saya biarkan semburan tersebur merebak dalam almari selama setengah jam. Setelah cukup tempoh yang diberi agak-agak makhluk tersebut pasti menemui ajalnya setelah mendapal pukulan tanggung maka saya membuka pintu almari untuk melihat nasib majalah yang saya simpan dalam almari tersebut. Wah,saya terkejut dan tidak sangka kemusnahan yang dilakukan makhluk buta ini penangannya membuatkan saya terpana dan termenung seketika! Mana tidaknya hampir separuh koleksi majalah saya tidak dapat diselamatkan. Saya anggarkan ada lebih kurang 30 naskhah majalah yang terpaksa dibuang kerana telah dikelilingi sarang anai-anai. Majalah-majalah tersebut sebenarnya mempunyai nilai nostalgia buat diri ini. Saya telah kumpulkan majalah tersebut seawal saya mula bekerja pada tahun 90-an. Bayangkan berapa banyak wang telah saya belanjakan untuk membeli majalah tersebut. Di sini saya senaraikan majalah tersebut bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi sekadar menghiburkan hati yang lara ini. Dah nasib badan. Majalah-majalah yang saya sayang terdiri daripada Dewan Siswa,Dewan Masyarakat,Dewan Sastera,Dewan Budaya,Kosmik,Milenia,Falsafah dan Agama dan Solusi. Kebanyakan majalah tersebut amat berjasa menyalurkan pengetahuan dan bahan tambahan semasa saya masih bergelar pendidik.Saya sering galakkan murid-murid saya membaca dengan saya memetik beberapa info penting yang terkandung dalam majalah tersebut. Namun, segala-galanya hanya tinggal kenangan. Di samping kecewa dengan kejadian yang tidak dijangka ini, saya bersyukur kerana masih terdapat sebahagian majalah yang selamat belum sempat dinoda oleh anai-anai perosak. Dalam hati saya berkata-kata mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. saya perlu redha dan pasrah!

   Setelah hati mulai sejuk saya melayari internet untuk mencari maklumat mengenai kehidupan serangga ini serta rawatan untuk membasmi haiwan ini dari mengancam harta benda saya di dalam bilik.Sungguhpun marah masih bersisa tetapi saya amat kagum dengan makhluk ciptaan Allah ini. Kehidupan anai-anai sangat kompleks dan unik. Hidup dalam kasta atau koloni yang terdiri daripada Raja dan Permaisuri yang berperanan sebagai ketua menghasilkan beribu-ribu telur dan menetaskan anai-anai yang akan bertindak sebagai pekerja atau askar. Anai-anai pekerja tidak bersayap,mandul dan buta berfungsi untuk mencari makanan buat koloni anai-anai. Seterusnya anai-anai askar berperanan mempertahan kumpulan anai-anai daripada serangan musuh-musuh terutama semut. Anai-anai askar juga memberi pekerja makan dengan cara mulut ke mulut. Sungguh mengagumkan kehidupan anai-anai yang hidup bersatu padu,sokong menyokong,tidak timbul sikap jatuh menjatuhkan,tidak mengambil peranan atau hak anai-anai lain.Lebih penting ukhuwah antara anai-anai amat rapat sekiranya anai-anai askar tidak memberi anai-anai pekerja makan maka anai-anai tersebut akan mati. Saya terfikir sekiranya sistem kehidupan anai-anai ini direalisasikan dalam budaya hidup manusia,saya yakin tidak wujud lagi pergaduhan sesama agama,perpecahan dalam masyarakat dan pasti negara kita aman damai,tenteram dan sejahtera.

   Demikianlah yang saya belajar dari makhluk ini. Mungkin kita tidak selesa kepada musibah yang menimpa tetapi kita tidak boleh menolak hikmah yang mungkin Allah datangkan tanpa kita duga. Walaupun sukar untuk kita hadapi tetapi saya harus reda.

No comments:

Post a Comment