Pages

Wednesday, May 11, 2016

Bacalah dengan nama Tuhanmu !


Tajuk   :   Catatan harian

Teks    :    Rasidah bt Sarmani

Entri     12

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah.

'Membaca buku ibarat menyelak jendela dunia yang penuh dengan misteri manakala berfikir perkara yang positif umpama mencari mutiara yang berharga di lautan yang luas.' - Penulis



Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 yang diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) telah pun melabuhkan tirai pada 9 Mei 2016.Ternyata usaha murni pihak penganjur mengadakan program ini yang berlangsung selama sepuluh hari berjaya menggamit ribuan peminat buku membanjiri pesta buku yang diadakan sekali dalam setahun. Tahniah kepada pengunjung yang berkesempatan meluangkan masa untuk ke sana.Mudah-mudahan akan memberi impak positif kepada keprihatinan anda terhadap budaya membaca.

   Saya masih ingat lagi semasa saya  di bangku sekolah menengah terdapat satu statistik yang melaporkan bahawa rakyat Malaysia hanya membaca satu muka surat buku dalam setahun. Hal ini menunjukkan rakyat Malaysia malas membaca kerana membaca belum menjadi budaya yang subur ketika itu. Namun, akhir-akhir ini  Pesta Buku Antarabangsa yang dianjurkan sering menerima kunjungan puluhan ribuan peminat buku dari seluruh pelosok negara. Perubahan yang ketara ini boleh dijadikan sebagai penanda aras minat dan prihatin rakyat Malaysia terhadap budaya membaca.Oleh itu,pihak kerajaan atau badan bukan kerajaan perlu mengadakan pesta buku secara kerap,melibatkan banyak penerbit buku dan yang paling penting menetapkan harga buku yang berpatutan untuk dibeli dalam saat-saat rakyat dibebani bahang  kegawatan ekonomi.

   Saya tertarik dengan slogan,'Bangsa Membaca,Bangsa Berjaya.' Sekiranya rakyat di negara kita mempunyai sikap ulat buku pasti dapat membantu menjana kemajuan negara setaraf dengan negara-negara maju yang lain. Negara Jepun umpamanya,rata-rata rakyatnya rajin membaca meskipun semasa sedang menunggu bas atau kereta api. Budaya sebegini masih belum subur dalam kalangan masyarakat kita yang berasa canggung apabila membaca di tempat-tempat awam. Bahkan mereka lebih selesa dengan alat gadget atau duduk santai sementara menanti kenderaan awam tiba. Peratus celik huruf di negara kita mencapai lebih daripada 80%,namun tidak sampai 50% yang menjadikan membaca amalan hidup. Saya turut berasa bimbang apabila melihat senario lambakan rancangan berunsur hiburan yang begitu banyak di saluran televisyen,sedangkan rancangan ilmiah amat kurang dipertontonkan. Seolah-olah menunjukkan masyarakat kita lebih suka berhibur,berjenaka dan kurang berfikir. Mereka lebih selesa berfikir di dalam kotak dan tidak perlu menggunakan kemahiran kognitif dan kreatif dalam melayari kehidupan. Natijahnya,negara akan melahirkan rakyat yang mundur ke belakang dan tidak dapat bersaing dengan negara maju yang lain. Apa guna kekayaan hasil bumi yang kita banggakan tetapi telah dieksploitasi oleh orang lain.

   Aktiviti membaca seharusnya telah mendarah daging dalam kalangan masyarakat kita yang sedang menghitung detik 2020. Dengan membaca kita akan mendapat banyak pengetahuan dan pengalaman yang berharga. Apabila tenggelam dalam dunia bacaan,saya dapat mengembara ke seluruh pelosok dunia luar. Saya dapat gambarkan betapa dinginnya sapaan salji ketika berlarian di hamparan kaki gunung Swiss,saya juga boleh merakam keindahan mekaran bunga sakura di Osaka lebih-lebih lagi apabila dilimpahi lampu neon kala senja menjengah,saya juga hanyut dalam syurga dunia ketika berakit menyusuri Sungai Li dengan dibayangi sayupan gunung-gunung batu kapur di Guilin,China. Keindahan dan keasyikan pemandangan yang menakjubkan ini dapat saya nikmati tanpa mengeluarkan sesen belanja pun tetapi hanya melalui proses membaca sahaja. Tak rugi bukan! Saya menyeru kepada semua peringkat masyarakat terutama golongan muda luangkan masa lapang anda dengan membaca,membaca dan membaca kerana jauh berjalan banyak pengalaman,banyak membaca luas pengetahuan.Renung,renungkan!

'Saya sanggup dipanggil pemboros kerana membelanjakan sebahagian pendapatan saya untuk membeli buku,' -Nehru.




No comments:

Post a Comment