Pages

Saturday, May 28, 2016

Seharian berpuasa semasa zaman kanak-kanak.



Tajuk   :  Catatan Pengalaman

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri 18

Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah.

Selang beberapa minggu lagi kita akan melangkah ke bulan Ramadan yang penuh berkat.Sebagai umat Islam kedatangan Ramadan memang sangat-sangat dinanti-nantikan ibarat si ibu menunggu kelahiran bayi sulung dalam sesebuah keluarga.Penuh dengan debaran dan keterujaan apabila mendengar tangisan pertama si anak kecil.

   Pengalaman menyambut Ramadan semasa zaman kanak-kanak banyak melakarkan kisah-kisah yang suka dan gembira sahaja. Setiap kali melihat kanak-kanak berpuasa sering menyingkap pengalaman saya semasa masih di bangku sekolah rendah. Saya dan adik-beradik memang telah dididik untuk berpuasa sejak kecil lagi. Biasanya kami rajin menunggu di hadapan televisyen untuk mendengar pengumuman bermulanya Ramadan. Kami akan bersorak gembira apabila diumumkan puasa pada hari esoknya. Selepas itu,kami akan bersiap-siap untuk berjemaah solat maghrib,isyak dan solat sunat Tarawih di surau yang selang beberapa baris dari rumah saya. Suasana di surau pada malam Ramadan pertama amat luar biasa limpahan jamaahnya. Selesai solat saya berjanji dengan rakan-rakan untuk berpuasa penuh keesokan harinya. Pulang ke rumah saya dan adik-beradik mula membaca niat puasa dengan kuat disebabkan teruja untuk berpuasa hari pertama. Emak berpesan agar kami tidur awal supaya mudah bangun untuk bersahur esok harinya.

   Seawal pukul lima pagi,abah telah mengejutkan kami adik-beradik.Disebabkan tidak biasa bangun awal pagi memang sukar untuk saya bangkit seolah-olah mata saya telah digam. Namun,setelah mendengar jeritan suara emak dari dapur apa lagi kami bangun tak cukup tapak menuju ke bilik air untuk membasuh muka. Kemudian ,kami sekeluarga menghadap meja makan.Saya dapati makanan yang disediakan sungguh enak bertujuan memancing selera kami untuk makan maklumlah bukan senang nak makan sahur pada hari pertama berpuasa. Bimbang perut lapar saya makan dengan banyak walaupun ditegur oleh abah. selesai bersahur kami bersiap-siap untuk solat berjemaah di surau. Pagi lagi kami sekeluarga berjalan kaki untuk ke surau dtemani udara dingin yang sangat damai. Sekembali dari surau saya dan kakak saya tidak tidur bahkan kami mandi- manda dan bersiap diri untuk untuk ke sekolah. Menjelang tengah hari,perut mulai berkeroncong minta diisi tetapi saya bertahan kerana jika saya berbuka puasa pasti saya tidak dapat menikmati keistimewaan layanan semasa berbuka puasa nanti. Cuaca agak panas menyebabkan tekak amat kering,sungguhpun begitu menjelang petang saya dan kakak bermain bola di padang sebagai kebiasaan rutin petang kami.

   Pukul 6.30 petang,kami adik-beradik sudah menunggu setia di keliling meja makan. Mata saya asyik mengerling ke arah jarum jam tak sabar menantikan waktu berbuka puasa. Sebaik-baik sahaja azan maghrib berkumandang apa lagi segelas air sirap sejuk telah habis saya teguk,saya makan nasi dengan gelojoh seolah-olah sepuluh hari saya tidak jumpa makanan. Teruk juga mak meleteri saya namun saya pekakkan telinga lantaran terlalu lapar. Setelah tidak terdaya menyumbat lagi makanan barulah saya insaf dan berhenti.Emak menyuruh kami pergi ke surau untuk menunaikan solat isyak dan tarawih. Pada hari itu, saya lebih banyak duduk daripada solat memandangkan perut sudah penuh dengan makanan. Saat yang kami nanti-nantikan selepas solat ialah moreh kerana saya dapat makan bersama-sama dengan kawan-kawan. kami sempat berjanji untuk bermain di sekeliling surau sebelum pulang ke rumah.Biasanya kami akan bermain sehingga jemaah surau selesai membasuh pinggan mangkuk yang digunakan semasa moreh. Baju sudah lencun dek peluh,badan juga sudah letih setelah puas bermain barulah kami pulang ke rumah dan biasanya disambut oleh leteran mak yang memberi amaran supaya kami tidak pulang lewat ke rumah lagi.

   Demikian kisah lama yang tak mungkin dapat saya ulangi kemanisan berpuasa semasa zaman kanak-kanak. Pengalaman ini jarang sekali diperoleh kanak-kanak zaman sekarang yang banyak menghabiskan masa mereka di rumah bertemankan televisyen atau alatan gadget. Puasa saya sebulan amat bererti dengan aktiviti menarik bersama-sama rakan sepermainan sehinggalah kami menanti saat  kedatangan hari raya. Selamat Datang Ramadan!

No comments:

Post a Comment