Pages

Tuesday, May 31, 2016

Hidayah itu Milik Allah.


Tajuk   :   Catatan Harian

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri    20

Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah.

' Sesungguhnya engkau(Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah(petunjuk) kepada orang yang kamu sayang,tetapi Allah memberi hidayah kepada orang yang Dia kehendaki dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.' (Al-Qashash 28:56)

Ayat Al-Quran yang dipetik merupakan teguran Allah SWT kepada junjungan Rasulullah SAW kerana mengharapkan bapa saudaranya Abu Talib dapat mengucap kalimah syahadah semasa melalui fasa sakaratul maut.Namun, atas hasutan beberapa pemuka Quraisy akhirnya Abu Talib tetap pengakhiran hidupnya dalam agama nenek moyangnya. Hal ini menyebabkan baginda berasa kecewa dan berhasrat mohon agar Allah ampunkan dosa bapa saudaranya yang masih tetap kufar.Lantaran itu,Allah telah menegur sebagai pengajaran yang dapat kita ambil bahawa sebagai manusia kita hanya wajib menyampaikan dakwah kepada orang lain tetapi Allah sahaja yang berhak memberi hidayah kepada mereka.

'Sampaikan dariku walau hanya satu ayat.' (HR Bukhari)

Setiap umat Islam bertanggungjawab untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat sekeliling yang masih berada dalam kejahilan.Dan dalam kamus dakwah tiada erti putus asa biarpun tiada sekelumit pun umat yang mengambil peduli terhadap nasihat kita kerana urusan Allah untuk menitipkan hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana sejak akhir-akhir ini banyak sahabat-sahabat kita yang dahulunya berada dalam kegelapan telah menemui jalan cahaya,telah kembali kepada fitrah.Di bawah ini ingin saya kongsi beberapa individu yang telah mendapat hidayah Allah setelah sekian lama berada dalam kesuraman.Maaf, saya tidak berhasrat menyinggung atau memalukan individu tersebut atau membuka aib mereka.Cukuplah kisah gelap mereka akan  memberi ibrah serta menjadikan kita insan yang lebih baik dari hari semalam.

Hari ini begitu banyak individu mahupun seleberiti yang telah berhijrah setelah mendapat hidayah.Fenomena hijrah yang berlaku kepada Safiudin Illias,22 tahun atau dikenali sebagai Safiey Illias merupakan jutawan kosmetik dalam usia yang masih muda amat memberi kesan positif kepada masyarakat.Hidup dalam serba mewah,seawal usia 19 tahun beliau sudah mendapat keuntungan bersih RM 1 juta dalam perniagaannya. Kesenangan duniawi yang dicapai menghanyutkan  dirinya dalam kejahilan sehingga cenderung untuk mengikut naluri mengubah kejadian Allah.Beliau terperangkap dalam dunia 'mak nyah' sehingga nekad membuat pembedahan untuk memasukkan implan dalam tubuhnya agar kelihatan seperti wanita normal.Namun,Allah Maha Penyayang Maha Pengasih tidak membiarkan hambanya terkapai-kapai dalam dosa lalu menyambut tangan hamba-Nya yang ingin berubah.Sesungguhnya,hidayah itu milik Allah.Safiey, akhirnya menemui jalan pulang dan berazam untuk berdakwah terutama kepada insan 'mak nyah' untuk membantu golongan ini kembali ke jalan Allah.Betapa mulianya hasrat Safiey mudah-mudah istiqamah dan sukses dalam perjuangan.

Baru-baru ini sekali lagi kita dikejutkan dengan fenomena hijrah seorang gangster bertatto yang dikenali sebagai Abang Long Fadzil. Pertama kali disumbatkan ke penjara pada usia seawal 12 tahun.Mulai mencacah tubuhnya dengan tatto juga seawal usia 12 tahun.Sesuatu yang biasa apabila sering terlibat dalam pergaduhan dengan kumpulan gangster yang lain.Makan dan minum segala yang dilarang dalam agama.Semua kejahatan telah dilakukan tanpa rasa bersalah.Secara lahiriah manusia jenis ini memang tidak ada harapan untuk berubah,hati kering.Namun,hidayah milik Allah.Apabila Allah mengkhendaki maka tidak ada apa-apa yang boleh menghalang.Akhirnya,Abang Long Fadzil mendapat rahmat Allah.Berkat doa seorang bonda Abang long Fadzil menginsafi kisah lampau dan berazam membuka lembaran baru menyambut limpahan cahaya anugerah Allah.Ah,alangkah indahnya hidup tatkala hidayah menjelma tak mungkin dapat ditukar ganti dengan harta benda dunia yang fana ini!

Bagi insan yang masih berada dalam jurang kegelapan,jangan berputus asa untuk mendapat kasih sayang-Nya. Allah tidak pernah membiarkan hamba-Nya yang merayu,Allah tidak pernah berpaling tatkala hamba-Nya meminta,Allah tidak pernah membenci tatkala hamba-Nya melakukan dosa.Bahkan Allah sentiasa membuka rahmat-Nya buat hamba yang lalai.Allah sentiasa menghamparkan rahim-Nya buat hamba yang hina.Allah sentiasa membuka ruang keampunan buat hamba yang bertaubat.Kita manusia pendosa masih diberi harapan dan peluang selagi dunia belum berakhir.Pesanan kepada diri sendiri dan insan yang lain janganlah kita menjadi hakim untuk menghukum orang lain yang masih berada di lembah kehinaan, sebaliknya pandanglah mereka dengan penuh kasih sayang dengan mendoakan agar mereka menerima hidayah Allah.Kembali ke jalan fitrah dan istiqamah untuk berubah.Amin.

'Ya,Tuhan kami,janganlah Engkkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kapada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi Engkau kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi(kurnia)' (QS: Ali Imran :7)




No comments:

Post a Comment