Pages

Friday, April 22, 2016

Bahana Cinta.


Tajuk   :  Penulisan Kreatif.

 Teks   :  Rasidah bt Sarmani

 Entri    7.

 Assalamualaikum,Salam Ukhuwah.

Cinta membahagiakan bukan menderita.Cinta berlandaskan nafsu hanyalah palsu.Cinta kepada dunia selagi hayat bernyawa.Cinta kepada Pencipta kekal selamanya- Penulis.

   Ada orang kata cinta itu sakit,letih dan kecewa.Dan ada juga berpendapat cinta itu bahagia,gembira dan teruja.Namun,apa jua falsafah mengenai cinta sangat subjektif dan bergantung kepada persepsi serta justifikasi si pencinta.Renung-renungkan dan fikir-fikirkan dengan akal fikiran yang waras dan iman yang jelas !

  Saya bukannya profesor cinta dan saya bukannya si Laila mengilai Majnun.Bahkan cinta tak pernah bertandang dalam kamus hidup saya. Namun,saya berminat untuk berkongsi rasa dengan pembaca lain mengenai sebuah novel yang pernah saya hadam bertemakan cinta terhalang.Novel tersebut berjudul 'Gadis yang Sentiasa Menderita' karya Samirah binti Jaziratul Arabiyah.Mendengar judul sahaja pasti ada yang terkesan dan teruja. Novel ini merupakan karya terjemahan dan judul asalnya ialah 'Qatharatun Mina'd Dumuut'.

   Pada awalnya penceritaan berkisar kehidupan masyarakat Arab Badwi yang tinggal di Nejad. Kehidupan masyarakat ini  masih terpelihara dan jauh daripada arus kemajuan. Namun,mereka hidup bahagia,harmoni menjalani rutin yang sama dikelilingi padang pasir yang mendamaikan. Di tengah-tengah kehidupan masyarakat Badwi itu tinggal keluarga kecil yang terdiri daripada ketua keluarga iaitu Syekh Mahjub,isterinya Ruqayah dan satu-satunya permata hati,Dzikra yang baru berumur sepuluh tahun juga merupakan watak utama dalam novel ini. Pada suatu pagi yang cerah,keluarga Syekh Mahjub telah didatangi seorang tetamu yang tidak diduga iaitu Amir merupakan anak saudara Syekh Mahjub. Tujuan Amir bertamu ke khemah Syekh Mahjub untuk menumpang kasih bapa saudaranya selepas kematian kedua orang tuanya. Tetapi Amir sama sekali tidak tahu bahawa bapa saudaranya telah berkahwin baru dan mempunyai seorang puteri.Kunjungan Amir telah disambut mesra Syekh Mahjub sebagaimana adat resam bangsa Arab Badwi yang sangat mengalu-alukan tetamu.Syekh Mahjub menganggap Amir sebagai putera kandung sementelah beliau juga berhasrat menjodohkan puterinya Dzikra dengan Amir.

  Dzikra merupakan anak yang sangat lincah,periang,bijak dan gemar mendengar perbualan ayahnya dengan rakan-rakan. Pulang ke khemahnya dia tidak sabar-sabar bercerita semula kepada ibunya. Ruqayah digambarkan seorang wanita yang cantik,masih muda sekiranya dibandingkan dengan Syekh Mahjub. Setelah kematian orang tuanya,bapa saudaranya segera menjodohkan Ruqayah dengan Syekh Mahjub bagi melepaskan tanggungjawab menjaga anak saudaranya itu.Namun begitu,Ruqayah menerima takdirnya,setia serta ikhlas hidup bersama-sama suaminya sehingga mereka dikurniakan seorang puteri. 

   Satu pagi sebagaimana wanita-wanita Badwi yang lain,Ruqayah dan puterinya mengumpulkan kayu api di tengah padang pasir. Setelah cukup seberkas kayu maka mereka memikul kayu untuk dibawa pulang. Ketika itu Amir berada berhampiran mereka dan atas rasa tanggungjawab Amir menghampiri mereka untuk membantu. Namun,saat itu sesuatu yang tidak diduga tika mata mereka berdua bertemu pandang,sehingga pandangan pertama itu meninggalakan kesan yang mendalam kepada Ruqayah dan Amir. Apatah lagi kedua-dua mereka masih muda belia. Tidak mahu dimainkan perasaan lebih-lebih lagi masih sedar sebagai isteri orang maka Ruqayah menarik tangan Dzikra untuk pulang ke khemah mereka. Selepas pertemuan yang tidak disengajakan,Ruqayah berasa ada perubahan dalam dirinya,dia mulai senang mendengar suara Amir berbual dan bersyair di luar khemah mereka. Namun batasan agama dan tradisi kaum Badwi tidak membenarkan Ruqayah mengikut rasa walaupun jiwanya menderita.Buat diri Amir,perasaan yang sedang berbunga ini disimpan kejap dalam hatinya walaupun terasa rindu menusuk jiwa. Dia masih menghormati Ruqayah,isteri bapa saudaranya. Rupa-rupanya,cinta bisa membuatkan insan menderita,cinta yang terhalang jua menyebabkan hilang cahaya pada wajah Ruqayah. Perasaan keluh kesah dan duka lara kedua-dua insan ini belum dapat dihidu oleh Syekh Mahjub. Tidak tahan menanggung penderitaan, maka Amir mengambil keputusan nekad untuk meninggalkan keluarga bapa saudaranya. Baginya cinta bukan untuk dimiliki tetapi untuk dihormati.Pemergiannya nanti diharapkan dapat memadamkan bara cintanya kepada  Ruqayah.

  Pada malam itu juga,Amir hampiri khemah Syekh Mahjub untuk mengucapkan selamat tinggal kepada penghuninya. Kebetulan ketika itu Syekh Mahjub berpergian,manakala Ruqayah pula sedang menenun,Dzikra sedang lena berhampiran ibunya.Amir melangkah masuk ke dalam khemah dan menyatakan hasrat untuk meninggalkan desa yang banyak memori duka mereka berdua.Pada kesempatan itu,Amir meluahkan perasaan cintanya, Ruqayah tidak berani untuk berkongsi rasa bahkan dia menegah Amir pergi atas alasan Syekh Mahjub berkeras mahu menjodohkan puterinya dengan Amir. Namun,Amir bertegas tidak setuju dengan keputusan tersebut kerana cintanya hanya kepada ibu Dzikra. Saat namanya disebut berkali-kali menyebabkan Dzikra terjaga namun berpura-pura lena sambil memasang telinga mendengar perbualan mereka berdua. Rupa-rupanya,perbualan dua insan yang berkonsi rasa ini berlarutan tanpa menyedari sang waktu merangkak ke ufuk fajar.Tiba-tiba,dengan tidak diduga Syekh Mahjub sudah berada di dalam khemah,mendengar setiap butir perbicaraan dua sejoli menyebabkan wajahnya menyinga. Tanpa menanti sebarang penjelasan maka dipukulnya Ruqayah dengan cemeti Dek sebab cemburu dan terburu-buru kewarasannya telah sirna. Spontan Amir bertindak untuk meleraikan keadaan yang tidak terkawal tetapi disebabkan kerasukan maka Syekh Mahjub tidak dapat mengawal perasaan terus ditusuknya pisau tepat mengenai jantung anak saudaranya. Amir menghembuskan nafasnya saat itu juga. Ruqayah menjerit meminta tolong dan sebentar sahaja khemah mereka telah dikerumuni oleh jiran tetangga yang terkejut dengan situasi yang mereka lihat.Segala yang berlaku dilihat oleh Dzikra dengan jelas namun dia seolah-olah terpaku dengan kejadian yang tidak disangka. Beberapa minit kemudian dia menjerit ketakutan dan berusaha untuk menghampiri ibunya namun dihalang oleh bapanya.Beberapa orang lelaki mengangkat jenazah Amir kemudian beberap orang lain pula menarik tangan Ruqayah ke luar khemah......

   Cerita ini belum berakhir namun saya kira eloklah saya tangguhkan dahulu kisah tragis ini. Untuk mengetahui apakah hukuman yang dijatuhkan ke atas  Ruqayah dan bagaimana pula nasib Dzikra setelah kehilangan ibunya nantikan sambungannya di entri akan datang.Salam pamitan. 

No comments:

Post a Comment