Pages

Tuesday, April 12, 2016

Hujan oh Hujan


Tajuk   :   Catatan Harian- Hujan oh Hujan.
Teks    :   Rasidah Bt Sarmani
Entri    3

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah.

Hujan yang turun bagaikan mutiara
Berkilau bersinar berkerdipan
Subur menghijau bumi terbentang
Dan bayu berpuput lembut

Serangkap lirik lagu 'Hujan' yang didendangkan oleh Sudirman Hj Arshad pasti menggamit rasa rindu untuk menikmati titik-titik hujan,merasa dingin hembusan angin,melihat indahnya jurai-jurai gerimis yang turun membasahi bumi yang tandus. Saat ini perasaan rindu untuk menanti hujan turun a lagi hujan sudah berminggu-minggu tidak turun.Tiba-tiba pula saya begitu teruja untuk bercerita tentang hujan sesuatu yang tidak asing lagi di  negara kita yang terletak di garisan Khatulistiwa. 
   
   Pada hari  ini, negara kita mengalami tempias cuaca El-Nino iaitu fenomena panas dan kering lebih daripada biasa.Menurut pakar metrologi,keadaan  ini berlaku apabila matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa dengan suhu paling panas terutama pada pukul 12.00 tengah hari hingga 3.00 petang.Saya akui cuaca yang panas ini membuatkan saya berasa kurang selesa,rimas dan cepat naik angin.Terfikir saya kenapa manusia ini mudah berubah sikap apabila Allah memberi sedikit ujian.Sering mengeluh tatkala menerima musibah,jarang bersyukur tika menerima kesenangan.

   Jam 11.00 tengah hari pada kebiasaannya waktu puncak di ruang dapur. Ketika itu kami akan mula bersilat di dapur untuk menyiapkan makan tengah hari. Memandangkan cuaca yang agak panas menyebabkan saya hendak bermalas-malasan dan cuti masak. Saat ini rehat lebih membahagiakan daripada menjamu selera.Tetapi tanggungjawab mesti dilaksanakan,tugas mesti diutamakan.Dengan rasa separuh hati saya mula langkah untuk memasak. Disebabkan kurang rasa ikhlas,maka kerja saya kurang menjadi.Setengah jam kemudian barulah saya rasa bersalah.Teringat kata-kata Chef Sabri semasa memasak kita hendaklah ikhlas barulah masakan kita sedap dan berkat serta menjadi ibadah. Saya mengucap panjang,tarik nafas dan betulkan niat. Dengan sendirinya saya dapat menyudahkan kerja masak-memasak dengan segera. Selesai memasak saya berkemas-kemas tak sabar nak berehat maklumlah sudah pukul 12.00 tengah hari matahari semakin meninggi.Hari itu hari Jumaat,selepas solat Zuhur saya menadah tangan merafak doa moga-moga Allah turunkan hujan sedikit pun jadilah. Menjelang petang,cuaca yang cerah beransur menjadi mendung.Kami berharap agar cuaca yang mendung ini akan membawa rahmat.Selepas solat Asar,hujan mulai turun mula-mula renyai-renyai diikuti bunyi guruh yang kuat.Kami sekeluarga duduk di hadapan pintu cermin memerhatikan curahan hujan.Tiba-tiba,terjahan hujan semakin menggila,saya dapat lihat pokok-pokok di luar rumah bergoyang kuat ke kiri ke kanan seketika ribut mula melanda kawasan perumahan kami.Keadaan yang menakutkan ini telah mengakibatkan beberapa keping atap rumah saya diterbangkan angin kuat. Kami terpaksa kerja keras menadah air hujan yang  mencurah-curah kerana atap rumah saya telah bocor. Setengah jam kemudian,hujan semakin reda.Kami terpaksa mengemas rumah kerana sana-sini keadaan becak namun saya bersyukur kerana kerosakan yang dialami di rumah saya tidaklah teruk sangat.Saya difahamkan banyak rumah di kawasan perumahan kami mengalami kerosakan yang agak serius juga. 

    Peristiwa yang belum pernah saya alami sebelum ini banyak membawa ibrah dari Allah. Sebagai manusia yang diangkat oleh Allah sebagai khalifah seharusnya bertanggungjawab menjaga keharmonian alam. Jangan salahkan fenomena alam sekiranya kita ditimpa musibah kerana kitalah yang paling banyak memusnahkan dan merosakkan alam. Ingatlah Allah berfirman,Telah timbul kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia.Sebagai umat Islam kita hendaklah bermuhasabah mengenang dosa-dosa yang telah dilakukan.Kita telah menzalimi makhluk Allah yang lain dengan perbuatan kita yang membawa onar.Maafkan kami, manusia pendosa yang sering alpa dan tersalah langkah!

Rasulullah bersabda,

Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.(Riwayat Muslim) 






No comments:

Post a Comment