Pages

Wednesday, April 13, 2016

Kantoi lagi !


Tajuk   : Pengalaman - Kantoi lagi!

Teks    :  Rasidah bt Sarmani

 Entri    5.

Assalamualaikum,Salam Ukhuwah.

Guru adalah awan indah terbang rendah
melimpahkan hujan pada musim gersang
menyegarkan benih ilmu,berbuah hikmah
ia renjis embun pada tanah bakat
suara insan ketika manusia kalah
sepi yang syahdu dalam dunia resah

                                                              (Obor Hikmah : A Samad Said)

Hampir empat tahun saya tellah meninggalkan profesion perguruan.Begitu banyak pengalaman gembira,teruja,sedih,terkilan,bersemangat dan pelbagai rencah suka duka yang tidak dapat dilafazkan dengan kata-kata.Sesekali kenangan lalu singgah juga dalam memori sehingga memaksa saya termenung panjang.Saat itu ekspreasi wajah saya akan bertukar rona ada ketika senyum memanjang dan ada ketikanya masam mencuka apabila terkenang semula saat-saat bergelar seorang 'cikgu'. Ah,memang pengalaman amat mahal dan tak mungkin dapat dibeli di mana-mana jua dan kata orang pengalaman juga ibarat universiti hidup yang dapat mendidik kita menjadi manusia sebenar!

   Semasa di sekolah saya menyandang tugas sebagai guru kelas Tingkatan 3,guru persatuan,guru mata pelajaran peperiksaan dan guru disiplin. Sebagai guru tugas saya tidak pernah ternoktah setakat di sekolah bahkan bebanan tugasan akan dibawa pulang untuk dibereskan.Namun,sebagai guru situasi itu sudah biasa kerana apabila  bekerja dengan penuh ikhlas dan amanah barulah hati pasrah.Banyak-banyak kes salah laku yang saya tangani ingin saya kongsikan satu kisah yang mungkin boleh jadi teladan buat semua.
Biarlah saya namakan murid tersebut sebagai Danial(bukan nama sebenar).Waktu rehat pagi itu saya didatangi seorang pengawas melaporkan perihal Danial membawa telefon bimbit ke sekolah.Pihak pentadbir telah menguatkuasakan larangan ke atas murid-murid tidak dibenarkan membawa telefon ke sekolah.Saya minta pengawas tersebut memanggil Danial ke Bilik Kaunseling.Setiba Danial,saya telah menyoal perihal kesalahan yang dilakukannya dan minta dia menyerahkan telefon yang dibawa.Dengan wajah yang tidak bersalah Danial menafikan tuduhan saya Saya minta pengawas membawa beg Danial.Setelah memeriksa dengan rapi telefon bimbit itu saya temui disembunyikan di dalam poket beg yang diubahsuai.Apabila saya menunjukkan telefon tersebut wajah Danial berubah pucat dan muram. Macam-macam alasan dan dalih yang direka untuk menyatakan dia tidak bersalah. Memandangkan telah beberapa kali memberi amaran mengenai peraturan tersebut maka saya ambil telefon tersebut sebagai barang rampasan. Setelah mendengar ceramah panjang saya,maka Danial diarahkan pulang ke kelas.Harta rampasan itu saya simpan di dalam laci meja saya dan bersiap sedia untuk masuk ke kelas Tiga Cempaka.

   Keesokan hari saya tiba ke sekolah seawal 7.30 pagi.Sebelum sesi persekolahan bermula saya menyemak buku Rekod Mengajar untuk mempastikan semua persediaan mengajar telah beres.Baru saya teringat tentang telefon Danial,saya meraba-raba dalam laci yang tidak berkunci tetapi gagal menemui telefon Danial.Saya berasa panik kerana sebelum ini belum ada lagi kejadian murid-murid mengambil barang-barang yang telah dirampas.Puas saya berfikir dan mengimbas kejadian semalam lalu saya ambil keputusan untuk memanggil Danial untuk mendapatkan pengesahan mengenai kehilangan telefon bimbitnya. Berkali-kali saya menyoal Danial sama ada dia ada masuk ke dalam bilik guru atau tidak. Dan beria-ia pula Danial menafikannya Saya dapati wajahnya seperti orang tidak bersalah dan kelihatan dia memang sudah biasa berlakon apabila menghadapi situasi getir begini. Disebabkan tidak ada bukti kehilangan telefon tersebut maka saya terpaksa melepaskannya.Keadaan saya yang tidak keruan dapat dibaca oleh Kak Syima rakan sekerja saya. Lalu saya ceritakan mengenai kes yang saya sedang tangani sehingga perihal kehilangan misteri barang rampasan.Rupa-rupanya Kak Shima tahu mengenai kisah salah laku Danial memandangkan anaknya Fahmi berkawan dengan Danial. Menurut cerita Kak Shima Danial berkawan dengan rakan-rakan liar di taman tempat tinggalnya.Danial juga turut terlibat dalam kejadian curi duit surau malah pernah juga mencuri motosikal.Aktiviti negatif Danial tidak dapat dihidu oleh kedua orang tuanya memandangkan dia bijak berpura-pura baik di hadapan ibu bapanya.Mendengar penerangan Kak Shima saya rasa lega dan pasti kes yang melibatkan Danial dapat diselesaikan dengan cepat. Saya berterima kasih kepada Kak Shima,saya sudah ada jalan untuk memaksa Danial mengaku atas segala perbuatannya selama ini. Kali ini Danial pasti akan kantoi lagi dan saya akan jadi juara,bisik hati kecil saya.

   Petang itu sekali lagi saya memanggil Danial dan saya ulang semula pertanyaan mengenai kehilangan telefon bimbitnya. Namun sekali lagi dengan lagak hero Danial menafikan tuduhan saya.Saya bertanya lagi berkali-kali sebagai serangan psikologi untuk menggoyahkan pendiriannya.Kelihatan Danial mulai resah dan tegang apabila saya mengasaknya berkali-kali. Saat itu saya hantar servis pancung yang tajam dan sukar untuk ditepis,saya hamburkan segala kes salah laku yang telah dilakukan oleh Danial di dalam dan di luar sekolah .Ketika itu mulut Danial melopong tidak percaya dengan apa yang  keluar dari mulut saya. Akhirnya saya mengeraskan suara saya," Beri cikgu nombor telefon ibu kamu,cikgu nak panggil ibu kamu dan nak ceritakan segala perbuatan kamu di luar pengetahuannya." Wajah Danial mulai berubah,air matanya mulai mengalir di tubir matanya. Semakin kuat esakannya seolah-olah anak-anak kecil lakunya.Saya biarkan keadaan itu sehingga dia mulai tenang. "Kenapa kamu buat begini pada ibu kamu? Kamu tak sayang ke dengan dia?Cikgiu tak dapat gambarkan bagaimana reaksi ibu kamu kalau tahu anak kesayangannya telah mengkhianati kepercayaannya." Sekali lagi saya syahdukan bait-bait ayat untuk memancing emosinya.Danial merayu dengan bersungguh-sungguh agar saya tidak memanggil dan menceritakan perbuatannya kepada ibunya.Tanpa dipaksa Danial mengaku dengan perbuatan keji yang dilakukan sebelum ini.Dia juga mengaku bahawa dia yang mengambil telefon di dalam laci meja saya sebelum guru-guru datang.Saya mencatatkan segala pengakuannya dan menggangap kes ini telah tiba ke penghujungnya.Saya telefon ibu Danial dan membuat janji temu pada hari esoknya.Walaupun Danial merayu saya tidak memanggil ibunya tetapi untuk kebaikan Danial perbuatannya perlu dimaklumkan kepada kedua ibu bapanya.

   Sebagaimana yang dijanjikan esoknya saya bertemu dengan Puan Mariam,ibu Danial.Saya simpati melihat wajahnya yang muram dan sekali-sekala mengesat air mata yang mengalir.Mungkin dia telah mengetahui sedikit sebanyak sebab saya panggil dia ke sekolah. Hati wanita saya mulai terusik tetapi saya mesti kuat untuk mendepani kes ini. Saya menyatakan tujuan saya memanggil Puan Mariam dengan menceritakan secara terperinci perihal bersangkutan perbuatan Danial Sepanjang saya bercerita itu Puan Mariam tersedu-sedan dan sekali-sekala menarik nafas. Saya menenangkan Puan Mariam,saya faham betapa kecewanya hati seorang ibu yang mempunyai harapan yang tinggi terhadap Danial yang merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya.Setelah situasi agak tenang Puan Mariam mengucapkan terima kasih dan berjanji akan pastikan Danial sentiasa berada bawah pemantauannya.Dia juga mohon maaf atas perbuatan Danial yang menyusahkan pihak sekolah selama ini.Saya minta Danial berjanji dan berikrar untuk berubah.Sejam kemudian pertemuan itu usai.Saya tutup kes Danial dan mulai hari itu saya sentiasa memantau perbuatan Danial.Saya dapati dia betul-betul insaf atas kesalahan yang dilakukan.Dia semakin rajin belajar dan membantu guru-guru serta rakan-rakannya.Sudah lebih lima tahun peristiwa itu berlalu,saya pun telah bersara dari kerjaya saya sebagai guru.Segala peristiwa yang berlaku merupakan pengalaman yang amat bermakna dalam hidup saya.Danial juga telah berjaya melanjutkan pelajarannya ke sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia.

   Secebis kisah ini dapat memberi gambaran betapa mulianya tugas guru yang memikul amanah untuk mendidik anak-anak bangsa.Hargailah dan hormatilah setiap insan yang pernah digelar 'guru' pengorbanan dan jasanya dibawa mati.    

       "Memori lalu sangat indah dikenang tetapi pahit untuk disimpan."



No comments:

Post a Comment