Pages

Thursday, June 23, 2016

Ramadan Kareem



Tajuk   :   Catatan Harian

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri      23


Assalamualaikum. Salam Ramadan.

Rasulullah SAW bersabda,

"Sesiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh,Allah mengampunkan dosa-dosa yang telah lalu dan barangsiapa yang bersolat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh Allah mengampunkan dosa-dosanya yang lalu." (HR Al-Bukhari,Muslim,Abu Dawud,Al-Tarmizi dan Al-Nasa'i)

Alhamdulillah,hari ini umat Islam telah pun memasuki 15 Ramadan yang merupakan fasa kedua dalam bulan yang mulia ini. Sehubungan dengan itu eloklah kiranya kita muhasabah mengenai Ramadan yang telah kita lalui sebelum ini setakat mana kualitinya.Mampukah kita bertahan dengan melaksanakan amal ibadah sehingga ke penghujung Ramadan?Berjayakah madrasah Ramadan pada tahun ini mendidik kita menjadi hamba-Nya yang bertaqwa dan bertambah iman?Renung,renungkan setakat mana pencapaian KPI kita seharian berpuasa sehingga masuk 15 Ramadan.Sekiranya,masih belum mencapai prestasi yang ditetapkan seharusnya kita berdaya maju untuk mencapai sasaran.Mudah-mudahan kita akan mendapat kemenangan hingga ke akhir Ramadan kelak.

  Suasana berpuasa di Malaysia amat mencabar tetapi bukan disebabkan panjang waktunya atau keadaan cuaca yang panas.Jauh sekali faktor krisis makanan atau keselamatan.Cabaran datang lebih kepada lambakan makanan seolah-olah puasa di Malaysia ibarat temasya makan-makan dengan adanya Bazar Ramadan yang menyajikan pelbagai menu yang menggoda iman.Apatah lagi restoran.hotel-hotel yang menyediakan bufet berbuka puasa yang akhirnya menyumbang limpahan makanan beratus-ratus tan yang dibuang dalam sehari.Sekiranya ditaksirkan lebihan makanan ini boleh membantu berjuta-juta mangsa kebuluran yang mengalami krisis makanan di negara ketiga Bukankah membazir itu sahabatnya syaitan!

   Ramadan merupakan bulan yang sangat istimewa berbanding dengan bulan-bulan Islam yang lain. Banyak peristiwa penting dalam Islam berlaku dalam bulan ini antaranya berlakunya pembebasan Kota Makkah(Fathul Makkah),lebih mulia apabila turunnya Al-Quran dalam bulan ini,di samping itu,berlakunya peristiwa Perang Badar,Pada bulan Ramadan juga umat Islam dapat mengalahkan tentera Mongol,juga berlaku peristiwa pembebasan Andalusia. Sebenarnya terlalu banyak deretan peristiwa bersejarah yang berlaku pada bulan Ramadan tak mampu saya kongsikan dalam laman ini.Namun,lebih istimewa pada bulan ini apabila Allah anugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW ialah berlakunya malam Al-Qadar yang kenikmatannya melebihi seribu bulan.Marilah kita mengambil kesempatan untuk merebut malam yang penuh barakah ini mudah-mudahan

"Pada malam itu,turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka."
                                                                                                         (Surah Al-Qadar:Ayat 4)
Berbahagia mereka yang pada malam Qadar sedang bermunajat kepada Allah,beruntunglah pada malam tersebut mereka yang sedang membaca kalam Allah,Para malaikat yang diketuai oleh Jibril akan turun pada malam Al-Qadar dalam satu angkatan yang besar penuh gilang-gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang yang berpuasa seikhlas hati.Ya,Allah betapa indahnya malam penuh bercahaya,malam merebut pahala,malam menunjukkan betapa Rahim-Nya Allah kepada hamba-Nya yang amat naif ini!






No comments:

Post a Comment