Pages

Tuesday, June 7, 2016

Hari Mantai


Tajuk   :   Catatan  Harian

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri  21

Assalamualaikum. Salam Ramadan

Ramadhan Bulan Berkat

Bulan Ramadhan bulan yang berkat
Bulan rahmat dan bulan utama
Pahala digandakan, doa diterima
Bulan Lailatul Qadar yang istimewa

Isilah bulan ini, banyakkan amalan
Beribadah malam, siang berpuasa
Banyakkanlah sedekah jangan dikira
Moga ia menjadi penebus dosa
Membaca Al-Quran jangan dilupakan
Zikir dan Tasbih elok disertakan
Meriahkan Ramadhan dengan bermacam cara
Agar Ramadhan tidak sia-sia...
                                                       (Nasyid Kumpulan Hijjaz)

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT atas kurniaan usia yang masih bersisa hingga kita diberi peluang menghirup udara Ramadan yang mulia.Sedangkan saban hari kita lihat ada sahaja sahabat kita yang dipanggil Allah sebelum sempat bertemu Ramadan Al-Mubarak.Lantaran itu,sewajarnya kita mengisi Ramadan ini dengan amalan yang diganjari pahala yang berterusan.

  Sehari sebelum kedatangan Ramadan umat Islam di seluruh negara akan membuat persiapan untuk memasuki madrasah Ramadan.Begitu juga bagi kebanyakan masyarakat di Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih mereka akan menyambut kedatangan Ramadan dengan satu amalan yang diwarisi turun-temurun yang dikenali sebagai Hari Mantai.Acara ini menurut dialek Negeri Sembilan berasal daripada perkataan 'membantai' iaitu hari atau malam menyediakan daging sembelihan sebelum menyambut Ramadan,Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha.Kebiasaannya,masyarakat di sini akan bergotong-royong melapah daging yang telah disembelih,membakar lemang atau masak rendang.Adat ini masih dikekalkan oleh kebanyakan masyarakat di Rembau,Tampin,Jempul,Seremban dan Jelebu.Pada era 50-an,penduduk kampung akan berbincang untuk menumbangkan lembu atau kerbau untuk acara ini.Daging yang dilapah akan dimasak secara beramai-ramai dan dinikmati dengan penuh semangat ukhuwah yang kukuh oleh setiap penduduk kampung.Buat golongan fakir pula daging akan diagih kepada mereka dengan disampaikan oleh Tok Sidang sendiri sebagai simbolik tanggungjawab seorang ketua masyarakat kepada anak buahnya.Namun,hari ini setelah kita menikmati kemajuan amalan mulia tersebut semakin berkurangan,masyarakat lebih selesa mendapatkan bekalan daging dari pasar atau pasar Ramadan yang dibuka setiap kali menjelang bulan mulia ini.Keprihatinan kepada golongan miskin ini semakin terhakis,kita sudah tidak ambil pusing maslahat yang dialami jiran sebelah rumah lantaran sikap mementingkan diri sendiri.

   Menurut Tan Sri Dr Rais Yatim berhubung sambutan Hari Mantai ini ialah terdapat tiga signifikan yang penting dalam amalan acara ini iaitu memuliakan Allah,berpuasa untuk memanfaatkan Ramadan serta membantu masyarakat yang tiada habuan daging.Rasionalnya,Hari Mantai bukanlah sahaja dirai untuk menyambut kedatangan Ramadan bahkan juga meraikan golongan fakir agar mereka turut merasai keberkatan Ramadan sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.

   Tidak ketinggalan saya sekeluarga turut mengambil kesempatan berkumpul menyambut Hari Mantai dengan cara kami yang lebih kepada merapatkan hubungan kekeluargaan.Kami masak juadah secara bekerjasama dan menikmati hidangan sambil berbual-bual bertanya khabar kerana masing-masing sibuk dan jarang berkumpul.Kami manfaatkan Hari Mantai yang diraikan meskipun berbeza cara sambutannya.Saya juga berharap adat turun-menurun ini tetap dikekalkan sehingga ke anak cucu cicit.Bak kata pepatah

'Tak lekang dek panas,tek lapuk dek hujan,gemuk berpupuk,segar bersiram,dianjak laju,dicabut mati.'







No comments:

Post a Comment