Saturday, July 23, 2016
Hebatnya Berfikiran Positif !
Tajuk : Catatan Harian
Teks : Rasidah bt Sarmani
Entri 29
Assalamualaikum.Salam Aidilfitri.
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka."
( Surah Ar-Rad : 11 )
Positif ialah apabila kita memberi fokus kepada perkara-perkara yang positif berbanding memikirkan perkara-perkara yang negatif.Sentiasa berfikir yang baik-baik tentang diri sendiri,orang lain mahupun persekitaran.Berfikir secara positif merupakan senjata kejayaan.Sekiranya setiap individu berfikir secara positif,dunia akan menjadi aman damai,kehidupan akan lebih bahagia,insan akan lebih bertanggungjawab.Dengan berfikiran positif mampu mengubah kesusahan kepada kesenangan,peperangan kepada perdamaian,permusuhan kepada persahabatan,kemiskinan kepada kekayaan.
Kadang-kadang kita keliru untuk berfikir secara positif.Perlu wang atau perlu masa untuk mengubah menjadi positif? Tidak,cukup sekadar istiqamah dengan beriman kepada Allah sesungguh hati,Selain itu,kita perlu mencari rakan yang sentiasa berfikir positif agar menyokong kita apabila kita dalam kebuntuan.Jinakkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan agar kita sentiasa menghargai setiap yang berlaku di sekeliling kita.Penting sekali menjadikan setiap masalah sebagai peluang untuk kita mencipta kejayaan.Kita juga haruslah berfikiran terbuka menerima teguran daripada orang lain untuk menjadi lebih baik dari semalam.Didik diri untuk menjadi positif supaya orang lain selesa untuk berinteraksi dengan kita.
Saya sangat berminat untuk berkongsi cerita mengenai seorang tokoh yang sangat berfikiran positif sehingga berjaya mencipta karakter diri yang hebat dan berjaya mencapai impian yang dianggap mustahil untuk dicapai oleh manusia biasa. Sehingga ke hari ini kejayaan luar biasa itu masih lagi menjadi perbualan dan pengiktirafan bertaraf lima bintang meskipun peristiwa itu sudah ratusan tahun berlalu.Muhammad bin Murad,seorang pemimpin yang sangat warak dan tawaduk merupakan anak didik Syeikh Syamsuddin mempunyai susur galur keturunan Abu Bakar As-Siddiq.Muhammad sangat berani,tegas,kuat simpan rahsia pemerintahan dan sangat mencintai para ulama.Pada bahu Muhammad telah dipertanggungjawabkan oleh ayahandanya Murad ll untuk menakluk Kota Konstantinople.Kota ini merupakan kota yang paling utuh pada abad tersebut dan amat mustahil sekiranya ada pihak yang dapat menawan kota tersebut.Namun,Muhammad mempunyai cita-cita yang tinggi untuk menakluk kota tersebut lebih-lebih lagi apabila terngiang-ngiang hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal iaitu,
"Kota Konstantinople akan ditakluk oleh tentera Islam.Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya."
Persediaan yang dilakukan oleh Muhammad sangat terancang dan strategik.Meskipun hadis tersebut telah diucapkan oleh Rasulullah SAW lebih 800 tahun lalu,Muhammad sentiasa bersikap positif untuk merealisasikan hadis tersebut.Setiap malam baginda sentiasa mengkaji dan meneliti pelan peta Kota Konstatinople dengan terperinci dan mengenal pasti kelemahan dan kegagalan kempen panglima terdahulu yang berhasrat menakluk kota tersebut.Semasa mengetuai pemerintahan, Sultan Muhammad bin Murad baharu berusia 21 tahun.Bagi mengetuai misi menawan kota kebanggaan Byanzatine itu baginda telah membuat persiapan dan strategik yang rapi antaranya,
- Mengumpulkan 265,000 angkatan tentera yang disokong oleh kekuatan 400 buah kapal laut
- Mengarahkan pembinaan senjata tercanggih iaitu senjata meriam gergasi yang boleh menembak bom seberat 300 kg.dengan jarak sejauh 1.5 km.
- Membawa ulama dan pakar motivasi ke medan perang bertujuan membakar semangat para tentera
- Mengepung kota selama 48 hari sambil menembak meriam raksasa ke arah kota tersebut
- Arah gunakan menara bergerak yang memuatkan ratusan tentera untuk musnahkan kota
- Menggunakan kaedah luar biasa iaitu dengan membawa 72 kapal melalui jalan darat di atas gunung kemudian meluncurkan semula ke Goldan Horn.Taktik ini merupakan kaedah perang terbaik di dunia yang diakui oleh Sejarawan Barat sendiri.
Sungguhpun perancangan yang dibuat amat baik namun,pasukan tentera Islam masih gagal menembusi tembok Kota Konstantinople sehingga hampir putus asa. Hal ini memungkinkan Sultan Muhammad berpidato,"Wahai tenteraku,aku bersedia untuk mati di jalan Allah,sesiapa yang mahu syahid marilah ikut aku."
Keesokan paginya,Hassan Ulubate mengetuai 30 tentera telah menyahut seruan jihad dengan membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh dan memacak bendera Islam di atas puncak kota.Tubuhnya telah dihujani oleh ratusan panah musuh sehingga akhirnya beliau dan rakan-rakannya syahid.Peristiwa itu telah membakar semangat tentera Islam menyebabkan mereka menyerbu masuk ke dalam kota sambil melaungkan kalimah Allahhu Akhbar sehingga mendatangkan kegentaran kepada tentera musuh.
Akhirnya pada 29 Mei 1453 tentera Islam di bawah pimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh telah berjaya menakluk Kota Konstantinople dan menukar nama kepada Islambol (Islam keseluruhan) sehingga hari ini dikenali sebagai Istanbul (Turki) Sesungguhnya kejayaan ini tidak akan dicapai sekiranya Raja dan tenteranya bersifat pesimis dan mudah berputus asa. Begitulah kisah hebatnya berfikiran Positif.
"Anda adalah siapa yang anda fikirkan tentang diri anda."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment