Pages

Thursday, June 23, 2016

Melahirkan Pemuda Al-Fateh



Tajuk    :   Catatan Harian

Teks     : Rasidah bt Sarmani

Entri    25

Assalamualaikum dan Salam Ramadan



                 

               Gambar Internet-Suasana mesra kanak-kanak di sebuah masjid di Turki

   Ramadan tiba lagi dan saya percaya para ibu bapa pasti menghadapi sedikit keresahan untuk menunaikan solat fardu dan tarawih di surau atau masjid.Lebih-lebih lagi,buat ibu-ibu muda pasti sukar untuk meninggalkan anak-anak yang masih kecil di rumah atau ditinggalkan dengan pengasuh.jadi,suka tak suka terpaksa membawa anak-anak mereka ke masjid. Kebiasannya,keadaan agak sedikit bising dengan jerit tangis anak-anak kecil yang inginkan perhatian.Hal ini menyebabkan para jemaah berasa kurang selesa lantaran ibadah terganggu menyebabkan rungutan terhadap ibu bapa yang membawa anak-anak ke masjid.Senario ini menggambarkan betapa kurang prihatin atau kurang mesranya jawatankuasa masjid terhadap anak-anak syurga yang belajar 'berjinak-jinak' ke masjid.Natijahnya,masjid-masjid sepuluh tahun akan datang hanya dikunjungi oleh warga emas yang sekadar menghabiskan usia di rumah suci Allah.Sedangkan anak-anak muda dek sudah biasa dilarang keberadaan mereka ke masjid sejak kecil lagi lebih selesa 'berjemaah' di jalan-jalan raya atau di pasar raya saat jemaah surau sedang beribadah.Sekiranya perkara ini berlarutan,siapakah harus dipersalah?

   Seharusnya pihak jawatankuasa masjid  bertindak menongkah arus dalam memaksimumkan imarah masjid.Bukan setakat tempat ibadah bahkan boleh dibangunkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi meraikan kehadiran kanak-kanak mahupun golongan remaja ke masjid.Tidak salah sekiranya di dalam ruang masjid disediakan sudut untuk anak-anak bermain sementara menunggu ibu bapa bersolat.Ibu bapa tidak lagi berasa bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka manakala para jemaah pula dapat menunaikan solat dengan lebih khusyuk,sedangkan si anak kecil boleh bermain walaupun berada di masjid.Sebagai inisiatif mendekatkan golongan remaja dengan aktiviti masjid tidak rugi sekiranya pihak jawatankuasa merancang pelbagai aktiviti umpamanya membina gelanggang futsal di pekarangan masjid,memberikan khidmat wifi secara percuma,mewujudkan ahli jawatankuasa dalam kalangan remaja sendiri sebagai latihan kerohanian. Dengan ini,anak-anak muda akan berjinak-jinak dengan program masjid apabila tuntutan fitrah mereka telah dipenuhi.lebih-lebih lagi,apabila pihak jawatankuasa masjid mengatur aktiviti susulan dengan melibatkan remaja dalam program ziarah,kembara bermotor,bantuan kemanusiaan atau apa sahaja program yang dapat memdekatkan diri mereka dengan Islam.Saya yakin kita tidak akan ketandusan barisan pelapis yang akan meneruskan legasi mengimarahkan masjid di negara kita.

   Pada zaman awal pembukaan kota Madinah sebagai bandar Islam pertama,Rasulullah SAW mengarahkan para sahabat membina masjid terlebih dahulu sebagai pusat tumpuan dan aktiviti kemasyarakatan.Masjid Nabawi ketika itu meskipun tidak seindah hari ini tetapi fugsinya amat aktif melahirkan pemuda-pemuda yang mempunyai pegangan akidah yang kukuh.Peranan masjid sebagai institusi pendidikan diteruskan sehingga zaman sahabat,tabiin sehinggalah ke zaman kini.Lantaran itu,masjid-masjid di negara kita seharusnya mengukuhkan peranan untuk melahirkan pemuda-pemuda hebat hasil acuan institusi ini sebagaimana peranan Sultan Murad II  menyediakan ketokohan dan kewibawaan anakandanya Sultan Muhammad Al-Fateh hasil didikan masjid sehingga berjaya menawan Kota Konstantinopel sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Rasulullah 800 tahun sebelum peristiwa penawanan tersebut.

Rasulullah SAW bersabda,

Konstantinopel itu akan ditawan oleh tentera Islam. Rajanya(penakluknya)adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.

 




.


Muslimah,peliharalah kehormatanmu


Tajuk    :   Catatan Harian

Teks      :   Rasidah bt Sarmani

Entri 24

Assalamualaikum.Salam Ramadan.


Kes Salah Laku Remaja

-   Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) merekodkan data- 2005 hingga 2011,Malaysia menduduki       tempat keempat daripada sepuluh negara berkaitan kehamilan remaja berusia antara 15 hingga 19       tahun.

-   Statistik PDRM - 2010,kes remaja lari dari rumah meningkat 4097 remaja berusia antara 15 hingga     17 tahun melibatkan majoriti remaja wanita.

-   Statistik JAKIM - 81000 anak luar nikah didaftar sehingga 2011.

-   Statistik PDRM - kes pembuangan bayi yang dilaporkan pada tahun 2000 hingga 2006,sebanyak         580 bayi dibuang melibatkan 92% bayi bvaru lahir.

    Data yang dipaparkan hanya merupakan sebahagian kecil sahaja kes yang melibatkan salah laku remaja terutama wanita.Paling menjelekkan data tersebut akan sentiasa bertambah dari setahun ke setahun. Terasa sesak dan pilu memikirkan betapa rapuhnya iman remaja kita sehingga membiarkan maruah mereka tergadai.Di mana hilangnya rasa malu dan rasa bertuhan sehingga sanggup berkiblatkan nafsu ? Di mana hilangnya daya juang sehingga kalian lenyapkan cita-cita dan impian dan sanggup menggelapkan masa depan ? Di mana hilangnya rasa kasih kepada ibu bapa kalian sehingga sanggup menconteng arang ke muka mereka ?Duhai remaja,renung-renungkan             sebelum melakukan sesuatu perbuatan yang boleh merosakkan diri sendiri.

   Rasulullah SAW bersabda",Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita                                                       solehah". (HR Muslim)

   Buat pengetahuan remaja di luar sana,Islam sangat menyanjung tinggi kepada wanita yang menjaga maruah diri daripada melakukan perkara yang mendatangkan dosa.Wanita suci sangat berhati-hati menjaga aurat mereka daripada menjadi tontonan bukan mahram. Wanita mulia juga dihiasi dengan tingkah laku yang sangat sopan,berbicara dengan penuh lemah- lembut serta menjaga pergaulan supaya tidak melanggar batasan yang ditetapkan dalam Islam.Malu menjadi pakaian,iman menjadi hiasan.Demikianlah ciri-ciri seorang muslimah yang perlu ada pada diri setiap remaja wanita.

  Dalam sejarah Islam juga banyak dipaparkan tentang tokoh wanita muslimah yang boleh dijadikan contoh teladan oleh remaja kita pada hari ini. Khadijah  binti Khuwailid sebagai umahatul mukminah yang kaya raya dan dermawan sangat berjasa dalam perjuangan Rasulullah SAW. Beliau sangat menjaga kehormatan diri di samping menjadi pendamping Rasulullah yang amat setia.Rasulullah SAW bersabda,"Ketika aku miskin,Khadijah memberikanku kekayaan,ketika orang menggangapku gila,ia tetap percaya kepadaku."Begitu juga dengan ketokohan Rabiatul Adawiyah,seorang tokoh sufi wanita yang sangat menyintai Tuhannya sehingga sanggup melepaskan dunia dan seisinya.Beliau menjaga kehormatan diri dengan istiqamah beribadah kepada Allah semata-mata dan melepaskan godaan dunia yang bersifat sementara."Ya Allah,aku berlindung kepada-Mu daripada segala perkara yang menyibukkan sehingga aku tidak sempat menyembah-Mu dan daripada segala rintangan yang merenggangkan hubunganku dengan Allah." Demikianlah doa kudus yang dipanjatkan oleh Rabiatul Adawiyah menunjukkan kecintaannya yang luar biasa kepada Allah.Sewajarnyalah para remaja menjadikan tokoh di atas sebagai ikon untuk diteladani.

   Namun,buat remaja yang telah terjebak dengan jerangkap nafsu, janganlah berputus asa untuk kembali ke pangkal jalan. Bukankah Allah itu Maha Rahim dan Maha Pengampun kepada hamba-Nya yang telah melakukan dosa. Seandainya kalian tersalah langkah,Allah membuka pintu pengampunan seluas-luasnya bagi mereka yang mahu bertaubat.Tanggungjawab setiap individu pula janganlah jadi Yang Arif dengan menjatuhkan hukuman kepada golongan remaja yang alpa bahkan kita perlu membantu mereka untuk kembali ke dalam agama fitrah ini yang selamat dan sejahtera.Wahai muslimah,peliharalah kehormatanmu!








Ramadan Kareem



Tajuk   :   Catatan Harian

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri      23


Assalamualaikum. Salam Ramadan.

Rasulullah SAW bersabda,

"Sesiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh,Allah mengampunkan dosa-dosa yang telah lalu dan barangsiapa yang bersolat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh Allah mengampunkan dosa-dosanya yang lalu." (HR Al-Bukhari,Muslim,Abu Dawud,Al-Tarmizi dan Al-Nasa'i)

Alhamdulillah,hari ini umat Islam telah pun memasuki 15 Ramadan yang merupakan fasa kedua dalam bulan yang mulia ini. Sehubungan dengan itu eloklah kiranya kita muhasabah mengenai Ramadan yang telah kita lalui sebelum ini setakat mana kualitinya.Mampukah kita bertahan dengan melaksanakan amal ibadah sehingga ke penghujung Ramadan?Berjayakah madrasah Ramadan pada tahun ini mendidik kita menjadi hamba-Nya yang bertaqwa dan bertambah iman?Renung,renungkan setakat mana pencapaian KPI kita seharian berpuasa sehingga masuk 15 Ramadan.Sekiranya,masih belum mencapai prestasi yang ditetapkan seharusnya kita berdaya maju untuk mencapai sasaran.Mudah-mudahan kita akan mendapat kemenangan hingga ke akhir Ramadan kelak.

  Suasana berpuasa di Malaysia amat mencabar tetapi bukan disebabkan panjang waktunya atau keadaan cuaca yang panas.Jauh sekali faktor krisis makanan atau keselamatan.Cabaran datang lebih kepada lambakan makanan seolah-olah puasa di Malaysia ibarat temasya makan-makan dengan adanya Bazar Ramadan yang menyajikan pelbagai menu yang menggoda iman.Apatah lagi restoran.hotel-hotel yang menyediakan bufet berbuka puasa yang akhirnya menyumbang limpahan makanan beratus-ratus tan yang dibuang dalam sehari.Sekiranya ditaksirkan lebihan makanan ini boleh membantu berjuta-juta mangsa kebuluran yang mengalami krisis makanan di negara ketiga Bukankah membazir itu sahabatnya syaitan!

   Ramadan merupakan bulan yang sangat istimewa berbanding dengan bulan-bulan Islam yang lain. Banyak peristiwa penting dalam Islam berlaku dalam bulan ini antaranya berlakunya pembebasan Kota Makkah(Fathul Makkah),lebih mulia apabila turunnya Al-Quran dalam bulan ini,di samping itu,berlakunya peristiwa Perang Badar,Pada bulan Ramadan juga umat Islam dapat mengalahkan tentera Mongol,juga berlaku peristiwa pembebasan Andalusia. Sebenarnya terlalu banyak deretan peristiwa bersejarah yang berlaku pada bulan Ramadan tak mampu saya kongsikan dalam laman ini.Namun,lebih istimewa pada bulan ini apabila Allah anugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW ialah berlakunya malam Al-Qadar yang kenikmatannya melebihi seribu bulan.Marilah kita mengambil kesempatan untuk merebut malam yang penuh barakah ini mudah-mudahan

"Pada malam itu,turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka."
                                                                                                         (Surah Al-Qadar:Ayat 4)
Berbahagia mereka yang pada malam Qadar sedang bermunajat kepada Allah,beruntunglah pada malam tersebut mereka yang sedang membaca kalam Allah,Para malaikat yang diketuai oleh Jibril akan turun pada malam Al-Qadar dalam satu angkatan yang besar penuh gilang-gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang yang berpuasa seikhlas hati.Ya,Allah betapa indahnya malam penuh bercahaya,malam merebut pahala,malam menunjukkan betapa Rahim-Nya Allah kepada hamba-Nya yang amat naif ini!






Damai yang hilang


Tajuk   :  Catatan Harian

Teks     :  Rasidah bt Sarmani

Entri      22

Assalamualaikum dan Salam Ramadan


Lagu kedamaian tiada kedengaran
Bumi yang merekah disirami darah
Kemelut melanda tiada kesudahan
Kemusnahan bermaharajalela
Yang lemah menjadi mangsa


Kemanusiaan telah lama hilang
Kini yang tinggal hanya ketakutan
Musnah kasih sayang dan persaudaraan
Tandus akhlak dan keimanan
Menyemai persengketaan

                           (Petikan nasyid 'Damai yang Hilang',(Rangkap 2 dan 5)- NowSeeHeart)

Hampir seminggu saya menyepi daripada mencatatkan apa-apa info lantaran bulan Ramadan yang turut mengubah rutin harian saya sehingga saya sendiri gagal mendisiplinkan diri untuk konsisten menulis.Salah sendiri! Pada kesempatan ini saya menggantikan' minyak hitam' bertujuan menaiktaraf 'booster'dalam diri saya supaya tahan lasak dan mempunyai energi yang mantap walau apa jua cabaran yang melanda.

   Sempena bulan yang penuh keberkatan ini saya berminat berbicara mengenai 'damai' yang menjadi hak setiap individu yang bernafas. Damai dapat didefinasikan sebagai tenteram,tenang ,tidak berperang atau bermusuhan.Setiap insan tidak mengimpikan kekayaan sekiranya dirinya terancam,seseorang insan juga tidak mengangan-angankan popular andai dirinya dalam bahaya. Persoalan yang timbul,mengapakah manusia sering menjadi penghukum sehingga mudah melakukan perbuatan di luar batas kemanusiaan sehingga mengancam keselamatan orang lain? Tepuk dada tanya iman.

   Baru-baru ini,sekali lagi hati saya digores,ibarat disiat-siat sebilah pisau yang tajam setelah membaca akhbar mengenai dua peristiwa yang menyayat hati.Hati saya bertanya di manakah hilangnya rasa ihsan sesama manusia waima singa yang ganas juga mempunyai sifat kasih sayang terhadap anaknya Saya ingin kongsi sebuah hadis mengenai nilai kasih sayang sesama makhluk di muka bumi ini.

Rasulullah SAW pernah bersabda,Tuhan menciptakan rasa kasih sayang itu 100 bahagian(sebanyak) 99 bahagian daripadanya disimpan-Nya di sisi-Nya(Hanya) satu bahagian (kasih sayang) sahaja yang diturunkan-Nya ke dunia. Dengan kasih sayang satu bahagian(itulah) para makhluk berkasih sayang sehingga kuda pun mengangkat kakinya kerana takut anaknya terpijak.

   Iktibar daripada hadis di atas, dapat kita simpulkan bahawa Allah yang Maha Berkuasa lebih mempunyai sifat Rahim daripada kita yang hanya makhluk hina dan bergelumang dengan noda. Renungkan hadis tersebut agar kita dapat menyucikan jiwa kita dalam bulan yang ,mulia ini menjadi hamba-Nya yang kaya dengan sifat ihsan.

   Berbalik kepada peristiwa yang saya sentuh sebentar tadi iaitu mengenai kedangkalan seorang pembantu rumah yang disyaiki penyebab kematian seorang warga emas yang tidak berdaya menjadi mangsa rompakan. Warga emas tersebut dipercayai mati akibat dicekek sebelum mukanya diselubung dengan sehelai kain.Cuba kita fikirkan perasaan anak-anak atau waris apabila melihat ibu tua mereka diperlakukan sebegitu rupa. Cuba kita fikirkan juga perasaan anak-anak atau waris menjalani ibadah puasa dan lebaran tanpa orang tersayang.Sudah hilangkah sifat kasih sayang yang Allah campakkan dalam hati manusia? Tidak takutkah pelaku jenayah dengan hukuman Allah yang  Maha Adil semasa hari pembalasan kelak? Dalam hal ini saya hilang kata-kata untuk disusun menjadi jawapan yang dapat diterima akal. Peristiwa yang kedua juga tidak kurang penangannya kepada kita insan yang waras. Kali ini mangsanya kanak-kanak yang juga tidak berdaya untuk berbuat apa-apa. Kes pedofil warga British Richard Huckle,30 tahun yang berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup akibat kesalahan mencabul dan membuat serangan seks terhadap kanak-kanak.Huckle didakwa atas 91 kesalahan termasuk pencabulan ke atas 23 kanak-kanak yang berasal dari Kuala Lumpur. Kejadian ini dilakukan ketika dia bertugas sebagai guru tuisyen mengajar kanak-kanak miskin di sekitar ibu kota. Sekali lagi saya menarik nafas panjang, begitu banyak kesalahan yang dilakukan baru sekarang dibongkar dan dihukum. Sungguhpun dihukum penjara seumur hidup tidak dapat menebus kesalahan yang dilakukan lantaran maruah kanak-kanak yang menjadi mangsa telah dicarik-carik oleh  tangan manusia bertopeng haiwan 'buas'.

   Sebenarnya kejadian  jenayah yang berlaku di negara kita sehingga meragut kedamaian warganya berlaku saban hari,cuma tidak terdaya untuk saya paparkan di sini. Cukuplah dua peristiwa tersebut sudah membuatkan kita terkedu sehingga tidak mampu untuk berkata-kata. Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada warga yang bertanggungjawab,marilah kita kembalikan kedamaian yang pernah kita kecapi dengan menguatkan institusi keluarga dan kemasyarakatan. Marilah kita berpegang teguh kepada agama serta menghormati dan menghargai orang lain yang punya hak untuk menjalani kehidupan yang selamat dan selesa.Biarkan anak-anak cucu kita bebas untuk menjalani zaman kanak-kanak mereka dengan puas tanpa rasa takut-takut. Biarkan mereka menikmati keindahan dan kedamaian bumi yang bertuah ini tanpa ada sebarang sekatan bahaya.Biarkan mereka mempunyai rasa percaya kepada orang dewasa yang berperanan melindungi mereka. Barulah negara kita akan lahir suasana 'baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur'   











Tuesday, June 7, 2016

Hari Mantai


Tajuk   :   Catatan  Harian

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri  21

Assalamualaikum. Salam Ramadan

Ramadhan Bulan Berkat

Bulan Ramadhan bulan yang berkat
Bulan rahmat dan bulan utama
Pahala digandakan, doa diterima
Bulan Lailatul Qadar yang istimewa

Isilah bulan ini, banyakkan amalan
Beribadah malam, siang berpuasa
Banyakkanlah sedekah jangan dikira
Moga ia menjadi penebus dosa
Membaca Al-Quran jangan dilupakan
Zikir dan Tasbih elok disertakan
Meriahkan Ramadhan dengan bermacam cara
Agar Ramadhan tidak sia-sia...
                                                       (Nasyid Kumpulan Hijjaz)

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT atas kurniaan usia yang masih bersisa hingga kita diberi peluang menghirup udara Ramadan yang mulia.Sedangkan saban hari kita lihat ada sahaja sahabat kita yang dipanggil Allah sebelum sempat bertemu Ramadan Al-Mubarak.Lantaran itu,sewajarnya kita mengisi Ramadan ini dengan amalan yang diganjari pahala yang berterusan.

  Sehari sebelum kedatangan Ramadan umat Islam di seluruh negara akan membuat persiapan untuk memasuki madrasah Ramadan.Begitu juga bagi kebanyakan masyarakat di Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih mereka akan menyambut kedatangan Ramadan dengan satu amalan yang diwarisi turun-temurun yang dikenali sebagai Hari Mantai.Acara ini menurut dialek Negeri Sembilan berasal daripada perkataan 'membantai' iaitu hari atau malam menyediakan daging sembelihan sebelum menyambut Ramadan,Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha.Kebiasaannya,masyarakat di sini akan bergotong-royong melapah daging yang telah disembelih,membakar lemang atau masak rendang.Adat ini masih dikekalkan oleh kebanyakan masyarakat di Rembau,Tampin,Jempul,Seremban dan Jelebu.Pada era 50-an,penduduk kampung akan berbincang untuk menumbangkan lembu atau kerbau untuk acara ini.Daging yang dilapah akan dimasak secara beramai-ramai dan dinikmati dengan penuh semangat ukhuwah yang kukuh oleh setiap penduduk kampung.Buat golongan fakir pula daging akan diagih kepada mereka dengan disampaikan oleh Tok Sidang sendiri sebagai simbolik tanggungjawab seorang ketua masyarakat kepada anak buahnya.Namun,hari ini setelah kita menikmati kemajuan amalan mulia tersebut semakin berkurangan,masyarakat lebih selesa mendapatkan bekalan daging dari pasar atau pasar Ramadan yang dibuka setiap kali menjelang bulan mulia ini.Keprihatinan kepada golongan miskin ini semakin terhakis,kita sudah tidak ambil pusing maslahat yang dialami jiran sebelah rumah lantaran sikap mementingkan diri sendiri.

   Menurut Tan Sri Dr Rais Yatim berhubung sambutan Hari Mantai ini ialah terdapat tiga signifikan yang penting dalam amalan acara ini iaitu memuliakan Allah,berpuasa untuk memanfaatkan Ramadan serta membantu masyarakat yang tiada habuan daging.Rasionalnya,Hari Mantai bukanlah sahaja dirai untuk menyambut kedatangan Ramadan bahkan juga meraikan golongan fakir agar mereka turut merasai keberkatan Ramadan sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.

   Tidak ketinggalan saya sekeluarga turut mengambil kesempatan berkumpul menyambut Hari Mantai dengan cara kami yang lebih kepada merapatkan hubungan kekeluargaan.Kami masak juadah secara bekerjasama dan menikmati hidangan sambil berbual-bual bertanya khabar kerana masing-masing sibuk dan jarang berkumpul.Kami manfaatkan Hari Mantai yang diraikan meskipun berbeza cara sambutannya.Saya juga berharap adat turun-menurun ini tetap dikekalkan sehingga ke anak cucu cicit.Bak kata pepatah

'Tak lekang dek panas,tek lapuk dek hujan,gemuk berpupuk,segar bersiram,dianjak laju,dicabut mati.'









Tajuk   :   Catatan Harian - Syria,Kami Peduli.

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Entri   2.

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah.

Sabda Nabi SAW

   "Barang siapa yang tidak ambil tahu hal orang Islam yang lain,maka bukan dalam kalangan kami, dan ingatlah selalu akan tempat kembali bagi mereka yang zalim."

Pagi yang indah dan damai disinari sang mentari menguak tirai lelangit ufuk timur.Kicauan sang beburung memecah kesunyian alam sibuk mencari sejemput rezeki buat anak-anak yang ditinggalkan.Seperti hari-hari semalam,saya mengorak langkah dari peraduan,membersihkan diri seterusnya menunaikan solat fajar sebagai tanda syukur atas kurniaan usia.Usai solat dan berzikir maka saya meluangkan masa menonton rancangan Tanyalah Ustaz yang disiarkan di TV9. Setelah kenyang dengan sarapan minda,seterusnya saya menjenguk dapur untuk menyediakan sarapan pagi.Bermulalah rutin harian saya pada hari itu. Sambil bersarapan dengan ahli keluarga,sesekali mata menjeling ke arah rancangan Assalamualaikum yang sedang ke udara di TV Al-Hijrah.tiba-tiba,ada satu daya tarikan magnet sehingga memaksa kanta mata saya tertumpu ke arah slot yang sedang dibincangkan.
   Topik yang sedang dibualkan mengenai pergolakan yang sedang berlaku di Syria sehingga isu ini menjadi sorotan hangat dunia pada masa kini. Saya amat teruja untuk mendengar tentang perkembangan umat Islam yang berada dalam kancah peperangan.
Seorang wakil jurucakap dari Syria menceritakan situasi sebenar yang berlaku di sana.Atas arahan pemerintah diktator iaitu Presiden Bashar al-Assad umat Islam terutama kaum lelaki ditangkap, dipenjara dan dibunuh.Manakala anak-anak kecil disembelih tanpa ada sedikit pun rasa belas ,kaum hawa diperkosa kehormatan mereka sehingga melahirkan ribuan anak-anak tanpa mengetahui status bapa mereka..Dimaklumkan juga setakat dua tahun kebangkitan rakyat Syria seramai hampir 200 000 orang terbunuh dan beratus-ratus ribu cedera tanpa menerima rawatan atas sebab kekurangan doktor dan ubat..Rakyat Syria juga dikatakan sedang mengalami krisis kebuluran yang amat serius. Bantuan makanan sukar dibawa masuk sehingga mereka terpaksa makan daun-daun,rumput-rumput serta ada yang terpaksa makan kucing untuk meneruskan kehidupan. Ibu-ibu yang mempunyai anak-anak kecil tidak dapat memberi bayi mereka susu disebabkan tubuh badan mereka kekurangan zat.Hal ini menyebabkan setiap hari dua orang kanak-kanak akan mati akibat tidak mendapat susu.Mendengar cerita sedih ini menyebabkan selera makan saya tumpul.Saya bermewah-mewah makan,sedangkan saudara seislam saya kebuluran.Ya Allah,aku bersyukur atas rezeki dan nikmat yang Engkau berikan kepada kami.Ya Allah,Engkau berikanlah  umat Islam di Syria ketabahan menghadapi ujian-Mu dan gantikan penderitaan di dunia dengan kesenangan di akhirat sana.,Insya-Allah kami umat Islam di Malaysia akan berusaha sedaya upaya membantu kalian. Itulah janji saya pada pagi itu.
   Sepanjang malam saya menghabiskan masa melayari internet untuk mendapatkan sebanyak mungkin info yang sahih berhubung penderitaan penduduk Syria.Semakin saya membaca paparan yang terdapat pada skrin semakin remuk dan pilu perasaan saya menguatkan lagi rasa simpati dan empati terhadap kesusahan yang dihadapi oleh mereka.Betapa teguhnya hati mereka memelihara dan mempertahankan iman dan aqidah biarpun nyawa mereka menjadi galang ganti. Sebagai saudara seislam, kita harus membantu mereka dengan mendoakan ketabahan dan kesejahteraan saudara kita di Syria.Di samping itu,bagi mereka yang berkemampuan hulurkan bantuan kewangan,mudah-mudahan dapat mengurangkan penderitaan mereka. Manakala individu yang terlibat dalam media massa ataupun blogger-blogger sebarkan berita sebenar  yang berlaku ke atas rakyat Syria  kerana media barat lebih banyak menyembunyikan perkara yang sebenar kepada dunia.Sekurang-kurangnya tindakan yang diambil dapat menunjukkan semangat kebersamaan dan ukhuwah yang kukuh. Syria,kami peduli! 
   Terubat sekelumit kesedihan apabila membaca sepotong hadis Rasullulah mengenai peristiwa akhir zaman ini. Nabi bersabda, 'Beruntunglah kepada penduduk Syam(Syria),beruntunglah kepada penduduk Syam,beruntunglah Syam kerana malaikat al-Rahman sentiasa menghamparkan sayapnya ke atas ahli Syam.(Riwayat Ahmad).Lantaran keberkatan bumi Syam menyebabkan para sahabat berebut-rebut peluang untuk tinggal dan mati di sana. Maklumat sahih mencatatkan terdapat lebih 10 000 ribu sahabat disemadikan di sana. Antaranya ialah Bilal bin Rabah,Khalid al-Walid,Muawiyah bin Abu Sufiyan,Abdullah bin Ummi Maktum dan Abu Darda.Rasulullah SAW pernah memberitahu kepada para sahabat akhir zaman kelak Nabi Isa AS akan turun di Syria bertujuan membantu tentera Islam di bawah pimpinan  Imam Mahdi untuk menghapuskan tentera bersekutu yang berhasrat meluaskan kuasa mereka dari Syria hinggalah ke Makkah dan Madinah.Saya menamatkan bacaan panjang saya dengan penuh lelah sambil mengharapkan penderitaan umat Islam di Syria dapat dihentikan.Moga-moga mereka dapat menuai kebahagian dan ketenteraman yang sudah lama mereka lupakan.Ingatlah janji Allah itu pasti tiba tidak lama lagi                                                                                                                                           
                           Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan