Pages

Wednesday, March 30, 2016


Tajuk   :   Pengenalan Diri

Teks    :   Rasidah bt Sarmani

Assalamualaikum W.B.T. Salam Perkenalan.

   "Jangan takut jatuh kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah . Jangan takut salah kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua,"- HAMKA.

   Nama diberi Rasidah bt Sarmani.Saya merupakan anak kelima daripada tujuh adik-beradik. Dilahirkan dalam keluarga besar mencorakkan rencah suka duka dalam kehidupan. Tidak seperti generasi Alfa,zaman kanak-kanak saya amat menggembirakan. Sebelah pagi saya dan rakan-rakan akan ke sekolah dengan berjalan kaki,petang beriadah di padang. Menjelang malam pergi ke surau dan pulang setelah penat seharian tidur dengan lena. Tidak perlu tertekan dengan kelas tuisyen,peperiksaan,godaan gadget mahupun pelbagai aturan yang mengekang kehidupan seorang kanak-kanak.Namun,saya berupaya melakar angan-angan,memasang cita-cita serta membina harapan menjalani rutin harian sehingga usia menjenguk remaja.


   Setelah 12 tahun menetap di Ipoh,Perak,maka kami sekeluarga berhijrah ke kampung halaman di Seremban setelah abah bersara. Kepulangan kami ke tanah adat pusaka ibunda ibarat gagak pulang ke benua. Kini,bermulalah episod baru saya di sekolah menengah. Semasa di sekolah rendah saya merupakan kanak-kanak yang periang dan ceria.Namun, masuk sahaja ke sekolah menengah,karakter saya berubah 360 darjah.Saya lebih gemar menyendiri dan semakin pemalu serta sukar untuk mencari rakan yang sesuai dengan saya. Saya juga tidak aktif dalam aktiviti dalam dan luar kelas. Sikap pasif saya ini menyebabkan dunia saya asing dan sunyi dengan gelak tawa rakan-rakan. Tetapi, saya tidak ambil pusing atau ralat dengan situasi tersebut. Saya hanyut dalam dunia saya sendiri. Teman-teman akrab saya hanyalah novel-novel yang bercorak sastera dan buku motivasi. Adakalanya saya asyik dan terbuai dengan frasa-frasa indah dan melankolik. Tatkala membaca novel Badai Semalam, saya dapat menyelami keindahan dan kedinginan puputan bayu Selat Tebrau. Setidak-tidaknya saya amat menjiwai watak Mazni dan Zaki. Sesungguhnya,karya-karya sasterawan saat itu amat mempengaruhi hati nurani saya sehingga saya amat menghargai kehidupan ini yang penuh dengan warna-warni yang mencorakkan masa depan. Mungkin ada yang berpendapat saya banyak berkhayal dan tidak rasional,namun buat saya inilah hakikat dan kenyataan dalam hidup saya yang sukar diterjemahkan! Adakalanya saya cuba-cuba menghasilkan puisi namun lebih banyak diperap dan hilang begitu sahaja.

   Tamat sahaja peperiksaan STPM,maka saya mula terjun dalam kerjaya sebagai pendidik.Seorang remaja yang pasif akhirnya tercampak dalam dunia 'public figure',agak melucukan tetapi itulah takdir. Saya mengajar di sebuah sekolah tadika,meskipun usia masih setampuk pinang,namun saya gembira kerana dapat mendidik anak-anak yang pelbagai dan mencuitkan. Saya belajar bersabar untuk melayan karenah anak-anak kecil dan saya berasa bangga dan puas apabila dapat mengenalkan mereka dengan huruf ABC. Tiga tahun kemudian, saya mendapat tawaran mengajar di sebuah sekolah rendah swasta di Seremban. Saat ini saya tidak berpaling ke belakang lagi apatah lagi saya ditugaskan mengajar murid-murid yang akan mengambil peperiksaan UPSR. Walaupun agak tertekan tetapi saya sedar bahawa bahu ini menggalas amanah yang besar,harapan ibu bapa, pihak sekolah mahupun murid-murid sendiri. Alhamdullilah,kerja keras saya tidak sia-sia sebaliknya membuahkan hasil yang indah apabila pencapaian dalam subjek Bahasa Melayu melakar prestasi yang cemerlang pada setiap tahun. Hampir tujuh tahun saya mengajar di sekolah rendah, maka pada tahun 2000 saya ditugaskan mengajar di sekolah menengah. Mengajar kelompok remaja amat mencabar kesabaran dan daya juang saya sebagai seorang pendidik. Saya mengajar subjek Bahasa Melayu,Sejarah (PMR) dan bertanggungjawab sebagai Guru Disiplin. Bukan mudah menarik minat dan komitmen murid-murid untuk belajar Sejarah yang dianggap 'purba' dan ketinggalan zaman. Saya sedar untuk menyediakan generasi yang mempunyai jati diri dan patriotik terhadap negara,mereka perlu minat dengan sejarah tanahair terlebih dahulu. barulah masalah sosial dalam kalangan remaja dapat dibanteras. Oleh itu, pelbagai pendekatan dan teknik yang saya belajar dalam kursus-kursus perguruan diaplikasikan dalam bilik darjah. Dengan bantuan Allah, maka murid-murid semakin berminat dan teruja untuk belajar Sejarah. Akhirnya, saya berjaya membantu meletakkan kedudukan sekolah dalam senarai 'Top 10' dalam subjek yang saya ajar. Terima kasih ALLAH. Hampir 17 tahun saya bergelumang dalam kerjaya pendidikan,saat itu prestasi saya berada di puncak. Namun,hati kecil saya sedikit berkocak,saya berasa seolah-olah kehilangan sesuatu yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Kepuasan bekerja hanya bertahan di dalam bilik darjah sahaja selebihnya saya ingin berlari mengejar bayang-bayang yang semakin sirna,kebebasan! Mungkin ini jua perancangan-Nya,yang tak mampu kita singkap sebagai manusia biasa. Akhirnya,saya nekad menjatuhkan hukuman tidak bersalah,berhenti 24 jam. Sesuatu yang tidak saya fikirkan,datang keberanian tiba-tiba.

   Sesuatu yang pelik dan tidak masuk akal kerana rata-rata kaum wanita mengambil keputusan berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada anak-anak dan suami. Tetapi saya berhenti kerja semata-mata mahu bebas melakukan apa sahaja mengikut gerak hati saya. Duduk di rumah,melakukan kerja-kerja harian dan masa senggang membaca dan membaca dengan sepuas hati. Setelah berhenti kerja,saya mengajar tuisyen di rumah. Sungguhpun pendapatan tidaklah selumayan dahulu namun saya tetap bersyukur akan rezeki yang diberi oleh ALLAH. Setelah hampir empat tahun kerja goyang kaki di rumah,awal tahun 2016 saya terbaca info mengenai Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR). Ada perasaan minat dan teruja untuk mencuba menjadi ahli keluarga ABDR, mungkin 'jodoh' saya di sini,siapa tahu!.Saya berminat dengan ABDR atas beberapa sebab,antaranya saya dapati projek ini menyediakan jurulatih yang sangat-sangat mesra pelanggan konsisten membimbing kami pelajar baru yang serba kekurangan. Di samping itu,mungkin di sini impian saya untuk menjadi penulis akan dapat direalisasikan dengan adanya mentor dan otai-otai yang berpengalaman. Sudah lama saya ingin sumbangkan sedikit tenaga untuk membantu remaja di luar sana melalui medium blog. Saya juga ingin menyuburkan saham akhirat saya melalui mata pena. Saya amat berharap agar mentor-mentor dalam ABDR dapat menunjuk ajar dan membimbing saya yang serba kekurangan. Mungkin saya akan mendatangkan sedikit masalah kepada jurulatih kerana saya kurang menguasai IT,maklumlah remaja antik! Jangan serik menegur dan mengajar saya.

"Saya bukan manusia luar biasa tetapi biasa-biasa yang mempunyai kekuatan dan kekurangan diri."